BERITA

Tun dan PH: Sahabat atau musuh?

Khalid Samad

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Apr 2020, 1:45 tengahari

ULASAN | Rentetan daripada artikel saya sebelum ini mengenai pertemuan saya dengan Dr Mahathir Mohamad, saya telah dibanjiri dengan pelbagai soalan dan komen daripada banyak pihak dan daripada spektrum politik yang berbeza. Ada yang memuji artikel tersebut dan berterima kasih kerana berkongsi pandangan serta pengalaman saya dengan mereka.

Sementara itu, ada juga yang menyuarakan rasa tidak percaya bahawa saya masih sanggup bersusah payah untuk berjumpa dengan “lelaki tua tersebut”, kerana pada mereka, sejak dari awal lagi Tun juga terlibat dengan pengkhianatan yang berlaku. Dan tentunya ada juga sebahagian daripada mereka yang sukar membuat keputusan, samada Tun ini adalah kawan atau musuh. 

Sebagai penambah rasa, ada pula yang berkata, "Semua ini membuang masa sahaja. Perkara ini tidak relevan, kerana Tun sekarang tidak lagi relevan!"

Bagi mereka yang merasakan bahawa Tun daripada awal lagi terlibat dengan pengkhianatan yang berlaku, mereka akan berkata, "Mengapa Tun letak jawatan? Peletakan jawatan itu adalah bukti yang jelas bahawa dirinya sendiri sebagai pelaku pengkhianatan tersebut!" 

Tetapi ditambah pula kemudiannya, bahawa dia selepas itu rasa bersalah sehingga menyebabkan dia menarik diri di saat akhir lalu tidak bersama dengan Muhyiddin, sebaliknya memaksa Muhyiddin menjadi PM. Ia adalah teori yang baik sekiranya anda anggap dakwaan berlakunya rasa bersalah kemudiannya, adalah sesuatu yang munasabah.

Memandangkan banyak sangat persoalan dan teori, maka saya ingin mengupas isu ini dalam tulisan saya kali ini, dengan harapan ia dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang mengapa Tun meletakkan jawatannya dengan cara ia dilakukan, sehingga menyebabkan kita berada dalam keadaan yang sepertimana kita dapati diri kita hari ini. 

Persoalan ini tidak dijelaskan secara panjang lebar oleh dirinya sendiri, tetapi selepas beberapa kenyataan berasingan oleh Tun, beberapa perkara seperti berikut telah saya simpulkan.

Tetapi sebelum itu mari kita tinjau kembali persitiwa-peristiwa yang membawa kepada peletakan jawatan Tun.

Pada malam hari Jumaat, 21 Februari yang lalu, Majlis Presiden PH telah bermesyuarat dan seperti yang dijangka, mungkin untuk pertama kalinya, isu peralihan kuasa telah dibincangkan secara serius. 

Mesyuarat menjadi 'panas' daripada biasa tetapi tidaklah sampai ‘terbakar’. Tidak ada meja yang dihentak atau kenyataan menghina dikeluarkan; yang berlaku adalah satu perdebatan, iaitu sama ada lebih baik kesannya kepada PH dan rakyat serta pelabur sekiranya tarikh peralihan PM ditetapkan, atau sebaliknya.

Pendirian Bersatu mengenai perkara itu adalah untuk diputuskan sendiri oleh Tun bila beliau mahu melepaskan jawatan dan tiada tarikh yang perlu ditetapkan untuk peletakan jawatannya. Azmin lebih spesifik, beliau mahu Tun kekal sebagai PM sehingga tempoh penggal berakhir.

Semasa perbincangan tersebut, ada juga beberapa tuduhan yang dibuat, khususnya terhadap Anwar; bahawa dia adalah dalang sebenar di sebalik serangan penyokong beliau terhadap Tun untuk memaksa Tun meletakkan jawatannya. 

Anwar menjawab secara tenang, "Saya ingin menyatakan kekesalan saya kerana tidak dapat mengawal sesetengah daripada anggota parti saya, seperti yang jelas dapat saksikan sendiri oleh ahli mesyuarat ini" sambil mengisyaratkan kata-kata tersebut kepada Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang hadir dalam mesyuarat tersebut atas tiket PKR tetapi jelas menyuarakan pandangan bercanggah dengan pandangan PKR mengenai perkara itu.

'Tun dibuli sampai nangis'

Akhirnya, dipendekkan cerita, perbincangan itu bertemu jalan buntu kerana tiada persetujuan dapat dicapai sehinggalah salah seorang daripada pemimpin Bersatu berkata: "Bersatu perlu mempertimbangkan semula kedudukan parti dalam PH sekiranya isu berkaitan peralihan ini tidak boleh dipersetujui". 

Ini sudah tentunya memanaskan lagi keadaan dan timbul suara bantahan terutama daripada mereka yang memilih agar tarikh transisi ditetapkan.

Tetapi Anwar telah mencelah meredakan keadaan dan menyatakan persetujuan untuk menerima pendirian Bersatu mengenai isu tersebut dan akur bahawa Tun harus dibenarkan untuk terus kekal sebagai PM selagimana beliau inginkan dan tidak ada tarikh yang ditetapkan untuk beliau meletakkan jawatan.

Dengan sebab itu, mesyuarat tersebut tidak berakhir dengan perpecahan PH dan satu kenyataan akhbar telah dibuat bagi memaklumkan kepada umum tentang apa yang telah dipersetujui oleh ahli mesyuarat. 

Ringkasnya ia berakhir dengan baik dengan ramai menganggap perpecahan PH telah dapat dielakkan. Tetapi, sepertimana kita sekarang tahu, berlaku pula sebaliknya.

Pada pagi Ahad 23 Februari, Bersatu telah mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingginya. Dalam pertemuan itu, kami kemudiannya dimaklumkan, bahawa Tun telah ditekan supaya bersetuju Bersatu keluar daripada PH. 

Menurut Mukhriz Mahathir, Tun seakan-akan telah 'dibuli' oleh mereka yang menekannya sehingga membuatkan orang tua itu menangis.

Kami juga diberitahu bahawa Tun memohon agar beliau tidak dipaksa untuk memungkiri janji-janji dan melanggar prinsipnya tetapi permintaan tersebut tidak diendahkan. 

Tun memohon lagi dengan mengatakan bahawa mesyuarat hari Jumaat lepas telah bersetuju bahawa beliau boleh terus pegang jawatan selagi beliau mahu, maka sepatutnya tidak ada alasan untuk Bersatu keluar. 

Tun menyatakan lagi pada masa yang sama bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan kabinet sekarang. Yang mengecewakan Tun, setiausaha politiknya sendiri tidak bersependapat dan telah berhujah demi meyakinkan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk mengundi meninggalkan PH.

Tun pernah menyebut fakta ini dan bagaimana beliau sangat terkejut anggota Majlis Pimpinan Tertinggi lebih meyakini hujah-hujah setiausaha politiknya dari hujahnya!

Manakala pendirian Azmin dalam isu ini dapat dirumuskan dari peranan yang dimainkannya untuk membawa pemimpin-pemimpin Umno dan PAS ke KL untuk pergi ke Istana dan Hotel Sheraton. 

Maka menjadi terang lagi bersuluh bahawa dalam isu untuk kekal bersama PH, Tun sebenarnya bersendirian atau hanya mendapat sokongan yang minoriti.

Maka bermula pengakhiran PH. Apabila Tun meninggalkan mesyuarat yang berlangsung selama lima jam itu, beliau pulang ke rumah dan tidak menghadiri program di istana; yang menyaksikan kehadiran enam presiden parti, termasuk dari Sabah dan Sarawak. 

Walaupun Tun juga tidak hadir ke Sheraton bersama 'persidangan pencuri', tetapi hakikatnya beliau telah pun tersentak dengan apa yang telah berlaku.

Ketiadaan Tun dalam program-program yang dirancang lebih awal ini dan persidangan akhbar yang diatur selepasnya, pada pendapat saya, jelas menunjukkan bahawa Tun bukan sebahagian daripada perancangan ini. Program-program ini sebenarnya telah gagal, kerana Tun tidak hadir, tetapi semua perancangan dan konspirasi ini telah memberi kesan yang besar kepada Tun sendiri.

Untuk kita memahami kesannya terhadap Tun, kita mesti terlebih dahulu faham bagaimana beliau melihat kedudukan dirinya dalam PH. Walaupun beliau adalah pengerusi PH, sebenarnya beliau beranggapan beliau tidak mempunyai sokongan sebenar, kecuali daripada Bersatu dan Azmin serta sekutunya. 

Sejarah telah tertulis bahawa PH telah dibentuk oleh penyokong-penyokong Anwar, dan waktu itu Azmin antara pihak yang membantahnya. Tun menyertai PH kemudian dan Azmin pula, sebenarnya, menyusul selepas itu.

Mesyuarat terakhir

Dalam Majlis Presiden PH yang terakhir pada malam Jumaat itu, mengikut persepsi Tun, pada pandangan saya, realiti tersebut semakin jelas apabila penyokong Anwar menyuarakan pendapat bahawa tarikh peralihan jawatan harus ditetapkan sambil penyokong Tun tidak bersetuju. 

Walaupun persetujuan dicapai pada akhirnya, tetapi bagi Tun, beliau semakin yakin penyokongnya hanyalah Bersatu, Azmin dan sekutunya.

Berdasarkan tanggapan itu, apabila Bersatu dan Azmin menuntutnya untuk membawa Bersatu keluar dari PH, ia bermakna bahawa beliau tidak lagi mempunyai penyokong dalam PH. 

Semua penyokongnya akan keluar. Memandangkan keadaan ini, pada pandangan saya, Tun percaya beliau tidak lagi boleh kekal sebagai perdana menteri kerajaan PH kerana beliau tidak mempunyai sokongan dalam PH. Dan inilah yang beliau sampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Malangnya bagi gabungan PH ini, wujudnya jurang perbezaan antara Anwar dan Tun adalah satu realiti. Azmin mungkin orang yang bertanggungjawab memastikan jurang ini terus kekal atau semakin melebar. 

Tun pada masa sama mempercayai bahawa semua yang lain tidak menyokong beliau tetapi mereka terpaksa bersama oleh kerana keadaan yang memaksa. Atas sebab itu jugalah beliau merasakan satu keperluan untuk mendapatkan sokongan Azmin.

Keadaan ini turut memperjelaskan mengapa Tun bekerja keras untuk mendapatkan ahli parlimen Umno yang ‘bersih’ agar menyertai beliau dalam Bersatu. Selain bagi memastikan impian beliau melihat Bersatu menggantikan Umno tercapai ia juga bertujuan untuk mengukuhkan sokongan terhadap beliau dalam PH. 

Langkah ini jelas disokong oleh Azmin tetapi perkara tersebut telah menimbulkan keraguan pada kaca mata penyokong Anwar. Hal sedemikian malangnya tidak membantu dalam membina kepercayaan antara Tun dan Anwar.

Melihat kepada situasi sedemikian rupa, Tun tidak mendedahkan kepada Anwar permasalahan yang dihadapinya. Sebaliknya selepas mesyuarat Bersatu tersebut, Tun pulang ke rumah dan cuba mencari jalan keluar tanpa tunduk kepada tuntutan Muhyiddin dan Azmin atau menyerahkan nasibnya kepada Anwar serta penyokongnya. 

Beliau yakin, pada pandangan saya, bahawa sebarang tanda kelemahan di pihaknya akan dieksploitasi oleh Anwar untuk menuntut tarikh peralihan kuasa.

Keberadaan Azmin yang sering di sisi Tun mungkin antara penyebab penting ketegangan di antara kedua-dua pemimpin itu berterusan. Keupayaan Azmin untuk memenangi kepercayaan Tun, meskipun Tun sedar bahawa Azmin tidak menyokong pencalonannya selaku perdana menteri pada peringkat awal, merupakan bukti akan kemampuan Azmin memenangi hati orang lain. 

Namun, untuk bertindak adil, mungkin bukan sangat persoalan kemampuan Azmin memenangi kepercayaannya, tetapi persoalan Tun sendiri yang sangat memerlukan sokongan.

Apa pun alasannya, Tun merasakan beliau berada dalam keadaan yang amat tersepit. Beliau tidak mahu bergantung kepada PH, kerana dalam fikiran beliau kesemua mereka merupakan penyokong Anwar, atau PN, yang walaupun sekarang dibenarkan untuk berada di bawah Muhyiddin Yassin, tetapi dalam masa yang singkat akan dikuasai oleh Umno/ BN.

Bagi saya, Tun beranggapan, beradanya Bersatu bersama PN sedikit sebanyak akan menjejaskan impiannya untuk menjadikan Bersatu sebagai pengganti Umno. Dilema ini menghantui beliau sepanjang hari, bermula pada saat beliau meninggalkan mesyuarat Bersatu tersebut sehingga pada larut malam. Dan beliau bergelut dengan persoalan ini, sepertimana yang saya fahami, seorang diri dan bersendirian.

Langkah Sheraton

Justeru pada awal pagi Isnin bersamaan 24 Februari, tanpa sebarang rundingan dengan PH mahupun PN, Tun telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Agong dengan menyatakan bahawa beliau tidak lagi layak untuk kekal sebagai pemimpin negara kerana beliau tidak lagi memiliki sokongan yang mencukupi.

Jelas daripada rentetan peristiwa selepas itu, yang akan saya huraikan dalam artikel lain, Tun merasakan dirinya mempunyai perancangan bagaimana hendak mempertahankan kepimpinan beliau walaupun tanpa PH mahupun PN. Pun begitu, sepertimana yang kita ketahui, apa yang diharapkan Tun tidak berlaku. Hasil dari itu kita sekarang berada di bawah pemerintahan kerajaan pintu belakang.

Pun begitu, apa yang ingin saya tegaskan ketika ini ialah peletakan jawatan Tun adalah disebabkan Langkah Sheraton dan kesan langkah tersebut terhadap beliau. Mereka yang mendakwa bahawa kerajaan PN hadir untuk menyelamatkan negara setelah Tun 'saja-saja' meletakkan jawatan secara jelas ingin memutarbelitkan fakta bagi menyembunyikan helah buruk yang mereka mainkan. 

Pengkhianatan serta politik tikam belakang yang diusahakan gabungan PN adalah sebab mengapa Tun meletakkan jawatan!

Bagaimanapun, isu sekarang adalah sama ada Tun adalah kawan atau musuh kepada PH. Saya percaya hakikat bahawa ramai yang tidak boleh bersetuju akan jawapan kepada soalan ini merupakan salah satu sebab utama mengapa Muhyiddin dan Azmin mampu menumbangkan pemerintahan PH.

Saya percaya bahawa ini adalah persoalan yang perlu kita jawab dengan yakin dan bertindak berdasarkan jawapan itu dengan konsisten dan berdisiplin. Atas sebab kita tidak dapat menjawab soalan ini dengan penuh keyakinan menyebabkan ada pihak berjaya memasakkan dinding pemisah antara kedua-dua pemimpin.

Sekiranya kita 'kuat dan kukuh di tengah', seperti yang suka dikatakan Liew Chin Tong, tiada siapa yang dapat mengalahkan kita. Tetapi hakikatnya, kita tidak kukuh.

Terdapat golongan yang percaya bahawa tumbangnya kerajaan PH kerana kita terlalu mempercayai Tun. Adakah itu benar? 

Mereka percaya bahawa Tun telah terlibat dalam usaha pengkhianatan ini sejak hari pertama lagi. Sekiranya demikian, mengapa beliau tidak datang untuk menuntut hadiah yang didambakan dan ketawakan mereka yang bodoh sangat untuk 'mempercayainya'? 

Kenapa beliau tidak berbangga dengan kemenangannya? Kenapa beliau sampai ke hari ini terus dalam kesedihan, mengingat kembali bagaimana beliau dikhianati oleh seorang yang paling beliau dipercayai?

Saya menghantar mesej kepada Muhyiddin pada 3 Mac memberi komentar berhubung pengkhianatannya dalam PH dan berikut antara jawapannya:

“Mungkin anda tidak sedar, saya telah mengangkat sumpah sebagai PM8.”

“Hormatlah sikit.”

“Siapa lebih bijak. Hehehe…”

Sudah tentu Tun juga ingin berbangga sepertinya jika beliau benar-benar berada bersama sejak hari pertama.

Maka, bertentangan dengan semua yang menyalahkan Tun dan berharap agar kita menjarakkan diri daripada beliau, saya percaya bahawa penyelesaiannya adalah sebaliknya. 

Kita membenarkan pengkhianatan tersebut berlaku kerana kita tidak merapatkan saf kita. Sekiranya kita ingin mendapatkan semula kerajaan dan mentadbir dengan berjaya dan berkesan, kita mesti belajar daripada kesilapan kita.

Saling tak percaya

Kesilapan itu bukan soal meletakkan kepercayaan kepada Tun tetapi membenarkan rasa saling tidak percaya tersebar bebas dan tidak berusaha membina kepercayaan sesama kita, terutama antara kedua-dua pemimpin ketika kita berpeluang melakukannya.

Pendek kata, mereka kata, “ketepikan Tun dan dengan itu masalah kita akan selesai!” Saya katakan sebaliknya. Jalan penyelesaian adalah terletak pada kita saling berganding dengan ikhlas dan secara bersaudara; termasuk bersama Tun dan untuk Tun turut bergandingan dengan kita dengan keikhlasan dan penuh persaudaraan. Saya percaya Tun telah melihat bahawa kita adalah orang yang beliau boleh percayai. Lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Azmin.

Anwar berkata semasa satu program setelah kejatuhan PH:

“Kalau kita kawan, kita kawan sungguh-sungguh. Kalau kita lawan, kita lawan sungguh-sungguh.”

Sekiranya PH ingin pulih daripada pengkhianatan ini dan mengambil alih semula kerajaan dalam beberapa bulan akan datang, Tun dan Anwar mesti bersama-sama dengan penyokong mereka, menguburkan perseteruan demi kepentingan negara. Kita hanya boleh mendapatkannya semula dengan Tun di pihak kita dan kita hanya boleh kekal memegangnya jika 'tengah' kita kukuh.

Kita mempunyai peluang yang baik untuk kembali kukuh kerana Azmin dan juga mereka yang telah mengkhianati kita, tidak lagi bersama kita untuk menjadi ‘batu api’ antara keduanya.

Jadi, jawapan kepada soalan adakah Tun kawan atau lawan? Saya katakan Tun adalah kawan, dan lebih baik sebagai kawan berbanding sebagai musuh.

Moga Allah memberi kita peluang untuk sekali lagi membuatkan Malaysia bangga.


KHALID SAMAD ialah ahli parlimen Shah Alam, pengarah komunikasi Amanah dan bekas menteri Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Bahagian 1: Ia belum selesai, kata Dr M

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.