Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan PKS cadang sistem penggiliran berniaga semasa PKP

Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan satu sistem bagi membolehkan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro menjalankan perniagaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Antaranya, sistem penggiliran yang dicadangkan Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang Hua Keong, bagi memberi ruang pengusaha PKS mikro berniaga dan memperoleh pendapatan dalam tempoh PKP yang berbaki tujuh hari lagi.

“Kami harap kerajaan boleh, dalam tempoh PKP ini, bagi orang buat sikit berniaga, mungkin boleh buat penggiliran (rotate), (supaya) dia akan ada income (pendapatan), boleh tingkatkan dia punya aliran tunai.

“Kalau macam di bandar, (contohya) ada 5,000 pengusaha mikro, mungkin hari Isnin 1,000 boleh berniaga, hari Selasa 1,000 lagi. Gilir-gilir lah.

“Macam ini (mereka) ada kerja, boleh berniaga, boleh ada pendapatan. Ini dapat membantu mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Bergelut teruskan hidup

Dalam tempoh PKP yang bermula 18 Mac lalu, semua perniagaan dikehendaki berhenti operasi, melainkan yang terlibat dengan perkhidmatan penting.

Hal ini menyebabkan ada rakyat yang hilang punca pendapatan dan bergelut untuk meneruskan kehidupan, terutama yang bergantung hidup pada aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan.

Tempoh PKP sepatutnya berakhir 14 April ini namun ia mungkin akan dilanjutkan.

Keluhan golongan peniaga, termasuk peniaga PKS mikro dilaporkan di pelbagai platform berita dan media sosial.

Ia mendapat perhatian kerajaan apabila semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bernilai RM10 bilion yang khusus untuk membantu pengusaha PKS.

Antaranya, mewujudkan Geran Khas Prihatin buat PKS mikro yang layak, berjumlah RM3,000 untuk setiap syarikat mikro, merangkumi peruntukan RM2.1 bilion untuk hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

Selain itu, kadar faedah berjumlah RM500 juta bagi Skim Kredit Mikro di bawah Bank Simpanan Nasional dimansuhkan, manakala skim pinjaman mudah bagi syarikat mikro dipanjangkan kepada Tekun Nasional dengan had pinjaman maksimum RM10,000, pada kadar faedah 0 peratus.

Bayaran sewa turut dikecualikan atau diberikan diskaun untuk peniaga runcit PKS yang menyewa di premis kerajaan, manakala pemilik bangunan persendirian akan diberikan potongan cukai jika mengambil tindakan sama.

Michael Kang Hua Keong.

Pakej itu disambut baik oleh Kang yang menyifatkannya sebagai “sangat bagus” kerana menjaga golongan berpendapatan rendah, serta tidak mengetepikan kedua-dua pengusaha PKS dan pekerja.

“Yang penting, kita hendak kerajaan jaga PKS mikro, sebab mereka ada banyak masalah. Dalam tempoh PKP, mereka dah tak boleh berniaga, tiada pendapatan,” katanya yang menjelaskan terdapat lebih 700,000 jumlah PKS mikro di seluruh negara, iaitu merangkumi 76 peratus daripada jumlah keseluruhan sektor PKS.

“Kalau tak bantu, semua PKS mikro tak ada pendapatan. Dia tak ada wang nak beli makanan. Mereka tak ada pendapatan, tapi (mujurlah) mereka ada bantuan dari kerajaan,” tambahnya lagi.

Kata Kang juga, bantaun daripada kerajaan berupa bantuan wang dan beberapa kemudahan pinjaman tanpa faedah akan sangat dapat membantu peniaga meneruskan perniagaan mereka setelah wabak Covid-19 surut nanti.

Perkara senada dikongsikan Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas), Amir Hakimin Che Razali yang melihat pakej itu sangat-sangat membantu PKS yang terpaksa menutup premis perniagaan masing-masing.

Namun, katanya, terdapat juga aduan daripada sebahagian pengusaha PKS berhubung prosedur permohonan geran khas sebanyak RM3,000 buat syarikat mikro.

“Selain perlu berdaftar dengan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), rata-rata syarikat (pengusaha) masih belum faham saiz syarikat mereka sama ada dikategorikan sebagai syarikat permulaan, mikro atau kecil.

“Cadangan saya, LHDN perlu mengeluarkan FAQ (soalan lazim) yang jelas berkenaan perkara tersebut bagi memudahkan syarikat memohon,” katanya ketika dihubungi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS