Muktamar PAS dijangka terima usul keahlian bukan Islam
Perwakilan ke muktamar PAS yang ke-52 di Kota Sarang Semut, Kedah pada 6 hingga 9 Jun ini dijangka menerima dan meluluskan usul menerima orang bukan Islam sebagai ahli parti itu.
Perwakilan ke muktamar PAS yang ke-52 di Kota Sarang Semut, Kedah pada 6 hingga 9 Jun ini dijangka menerima dan meluluskan usul menerima orang bukan Islam sebagai ahli parti itu.
Beberapa orang tokoh PAS berpendapat ahli-ahli parti itu tidak mempunyai masalah dengan syor yang dicetuskan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat sebelum ini.
"Ini bukan isu baru, ia sudah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini....cuma kali ini ia akan dibincangkan dengan serius dan satu keputusan dijangka dibuat," kata tokoh PAS dari Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob.
Beliau yakin ahli-ahli PAS sudah cukup matang dan terbuka untuk membincangkan dan menerima cadangan Menteri Besar Kelantan itu.
"Menerima atau menolak usul Tuan Guru Nik Aziz bukan isunya lagi. Yang menjadi tandatanya sekarang ialah status keahlian itu, sama ada diterima sebagai ahli bersekutu atau ahli biasa.
"Ini satu isu besar. Saya rasa, sebahagian ahli PAS boleh menerimanya, cuma masalahnya sekarang ialah dari segi teknikal, apakah bentuk dan status ahli bukan Islam itu," katanya.
Dr Rosli berkata lagi, ini adalah satu idea yang agak radikal dari Tuan Guru Nik Aziz yang tentunya akan membuka mata dan minda ahli-ahli PAS.
Masyarakat majmuk
"Sebagaimana tahun lalu, beliau juga melontarkan cadangan yang radikal iaitu mensyorkan wanita dibenarkan bertanding jawatan naib presiden. Cadangannya itu diterima para perwakilan dan telah dilaksanakan," tambahnya..
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub juga menyokong cadangan Nik Aziz itu, yang disifatkannya sebagai suatu yang praktikal dengan senario politik negara.
"Saya percaya topik ini akan dibincang dengan teliti dan bijaksana. Kita kena melihat cadangan itu dengan prespektif yang luas. Ajaran Islam itu sendiri amat luas, jadi kita kena lihat realiti masyarakat majmuk di negara kita," tambah ahli Parlimen Kubang Krian itu.
Menurutnya, idea ini pernah dibincangkan secara umum sebelum ini tetapi kali ini mungkin satu keputusan tegas akan diambil.
"Kali ini kita akan buat keputusan. Kerana ia dicetuskan sendiri oleh Mursyidul Am PAS, maka mungkin satu keputusan tegas akan dibuat. Kita akan bahaskan sama ada hendak diterima bukan Islam sebagai ahli bersekutu atau ahli biasa," tambahnya.
Seorang ahli biasa akan mempunyai hak mengundi dan kelayakan bertanding menjadi pemimpin parti manakala ahli bersekutu sekadar ahli sahaja, tetapi tidak mempunyai hak dan kelayakan tersebut.
Isu dinar Kelantan
Salahuddin tidak menjangka sebarang masalah bagi menerima dan melaksanakan usul Nik aziz itu kecuali perlu dilakukan sedikit pindaan perlembagaan.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS, Nasarudin Abdul Rahman menyatakan, muktamar kali ini juga dijangka membincangkan beberapa pindaan perlembagaan bagi mengemaskini jentera pentadbiran parti, antaranya mewujudkan jawatan timbalan setiausaha agung di peringkat pusat dan negeri.
Selain itu, jumlah ahli Majlis Syura yang merupakan badan penggubal dasar parti, juga akan ditambah daripada 15 sekarang, kepada 17 orang.
Perkara-perkara lain yang dijangka dibangkitkan ialah isu pilihanraya umum akan datang, termasuk soal strategi dan memperkuatkan kerajaan PAS Kelantan yang kini hanya memiliki majoriti satu kerusi sahaja.
Tiada usul ekonomi akan dibincangkan, kecuali penerangan tentang pengguna dinar Kelantan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri itu baru-baru ini.
"Dinar Kelantan bukan satu isu lagi, malah konsepnya sudah ada dan hanya menunggu pelaksanaannya sahaja," kata Dr Rosli.

