Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri sahkan MP Sabak Bernam tidak dilantik pengerusi Perkeso

Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Sabak Bernam Mohd Fasiah Mohd Fakeh “tidak dilantik” sebagai Pengerusi Petubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Walaupun bagaimanapun, menteri itu tidak memberikan sebarang alasan di sebalik laporan sebelum ini yang menyebut bahawa Mohd Fasiah akan menggantikan Zakri Khir yang meletak jawatan sebagai pengerusi Perkeso pada 7 April.

"Tidak dilantik," kata Saravanan menerusi mesej WhatsApp ketika dihubungi Malaysiakini hari ini ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Mohd Fasiah.

Pada 7 April lalu, Focus Malaysia yang memetik sumber melaporkan bahawa Zakri menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada menteri itu dan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Zakri, yang adalah ketua pegawai eksekutif Allianz Malaysia, dilantik oleh Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan untuk menerajui Perkeso pada 8 Oktober 2018.

Beliau memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam industri insurans.

Turut dilaporkan bahawa Mohd Fasiah, pemimpin parti Bersatu bakal dilantik sebagai pengerusi baru.

Bagaimanapun, Focus Malaysia kemudian melaporkan bahawa pelantikan Mohd Fasiah tidak dapat dilakukan selepas penasihat undang-undang organisasi keselamatan sosial itu mendapati terdapat klausa yang “mengikat”.

Ia menyebut bahawa mana-mana ahli parlimen tidak boleh dipilih untuk jawatan itu.

Memetik sumber, portal business itu melaporkan bahawa Mohd Fasiah bertemu dengan Saravanan semalam berhubung perkara itu tetapi beliau diberitahu bahawa kementerian itu tidak boleh meneruskan pelantikannya kerana ia bertentangan dengan Akta Pertubuhan Perkeso.

Menurut Jadual Keenam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, seseorang tidak layak daripada dilantik sebagai ahli lembaga jika dia telah menjadi anggota parlimen mana-mana kawasan.

Lihat Komen
ADS