Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abim: K'jaan perlu pandang serius penyingkiran wanita berwibawa dalam GLC

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Bahagian Hal Ehwal Wanita (Helwa) menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap isu pemberhentian wanita berwibawa dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menyifatkan ia sebagai tidak profesional dan mempunyai kecenderungan politik, Naib Presiden (Helwa) Abim, Fatin Nur Majdina Nordin berkata sebarang penyingkiran atau pemberhentian perlulah berdasarkan prestasi dan keberhasilan seseorang pemimpin.

“Pihak yang bertanggungjawab harus menyatakan sebab yang kukuh dan laporan prestasi sebelum membuat sebarang pemberhentian jawatan.

“Selain itu, calon pengganti juga haruslah seorang yang lebih baik dan berkemampuan dalam mengemudi jawatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, bekas ketua Wanita Umno yang pernah menjawat tugas sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz, menzahirkan rasa "meluat" beliau melihat tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggantikan pegawai-pegawai kanan dalam GLC.

Menyatakan pandangannya di Facebook miliknya, Rafidah mengecam keputusan PN menyingkirkan ramai "wanita berwibawa" daripada jawatan tertinggi GLC.

Sementara itu, Fatin turut berkata adalah tidak wajar dan tidak adil sekiranya pemberhentian seseorang itu bukan atas dasar kredibiliti individu dan masih dalam kontrak untuk merealisasikan perancangan yang telah dibuat.

“Usaha mewujudkan 30 peratus wanita dalam kepimpinan dan pembuat dasar harus diberi perhatian serta dipraktikkan secara lebih meluas.

“Sebarang perubahan haruslah membawa kepada kemaslahatan rakyat dan bukan kepentingan individu, organisasi atau kepartian,” jelasnya.

Sejak beberapa hari lalu sejumlah tokoh kanan dalam GLC diumum ditamatkan perkhidmatannya atau diganti oleh kerajaan.

Ia berlaku kurang dari dua bulan selepas PN mengambil alih Putrajaya melalui Langkah Sheraton, dan ketika negara masih bergelut untuk mengatasi ancaman wabak Covid-19.

Antara tokoh yang terbabit ialah Noripah Kamso (pengerusi Bank Rakyat), Hasnita Hashim (Mara) dan Farida Ariffin (Tabung Pembangunan Sumber Manusia).

Lihat Komen
ADS