Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TikTok boleh rosakkan penggunaan bahasa - PKAUM
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 10:45 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) menyifatkan cadangan penggunaan aplikasi TikTok boleh merosakkan penggunaan bahasa di kalangan belia.

Setiausaha PKAUM Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz berkata deikian sebagai merujuk cadangan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad sebelum ini.

"PKAUM membantah sekeras-kerasnya cadangan penggunaaan aplikasi TikTok yang bukan sahaja merosakkan penggunaan bahasa tetapi juga melekakan, lantas tidak membantu membentuk individu cemerlang dan proaktif yang menjadi aspirasi sesebuah negara maju dan membangun seperti Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas Noraishah, Noraini sebagai menteri pengajian tinggi sepatutnya iaitu memastikan mekanisma pembelajaran efektif berterusan boleh dilaksanakan di setiap kediaman dan ruang pengasingan mahasiswa dan pasca-ijazah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

"Di antaranya ialah memastikan kelengkapan, infrastruktur serta jalur gelombang internet mencukupi untuk penggunaan semua warga IPT merangkum pelajar, pensyarah dan guru bagi membolehkan matlamat dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan dengan komprehensif dan berkesan.

"Kekangan yang dihadapi oleh seluruh warga IPT (institusi pengajian tinggi) dengan bilangan keluarga dan saiz kediaman yang berbeza dalam melaksanakan kerja dari rumah juga perlu dihargai dan dipertimbangkan.

"Banyak yang perlu diselesaikan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang sempurna," katanya.

Noraishah juga menyorot bahawa penggunaan aplikasi Zoom oleh ramai warga IPTA/S menyebabkan data dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kini KPT sekali lagi bersifat tidak bertanggungjawab dengan menggalakkan penggunaan aplikasi TikTok yang diketahui umum sedang menghadapi proses saman perundangan di peringkat global disebabkan data peribadi pengguna disalahgunakan dengan begitu mudah oleh pihak ketiga.

"Lebih menakutkan apabila aplikasi TikTok ini dikatakan memberi ruang jenayah siber terhadap kanak-kanak," tambahnya.

PKAUM juga menyarankan Noraini mendapatkan nasihat daripada cendekiawan serta sarjana dalam mencari penyelesaian kepada masalah runcing yang dihadapi oleh negara dalam menjana idea-idea yang berkesan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan yang jauh lebih baik di masa akan datang.

Dua hari lalu, Noraini memuat naik hantaran poster dan video pertandingan TikTok di media sosialnya, yang terbuka kepada mereka yang berusia 18 hingga 26 tahun, dari semalam hingga 14 April.

Ia bagaimanapun mendapat kritikan pengguna maya yang menyifatkan perkara itu tidak harus menjadi keutamaan di kala mahasiswa berdepan pelbagai masalah sepanjang tempoh PKP, malah tidak kena masa dengan malam Nisfu Syaaban.

Bagaimanapun, hantaran mempromosi pertandingan TikTok yang turut menampilkan dua personaliti media sosial, Norreen Iman dan Iskandar Rahman itu sudah dipadam.

Lihat Komen
ADS