Jangankan kemampuan untuk membeli data, kemampuan untuk membeli barangan makanan pun ada keluarga yang menghadapi kesukaran sekarang ini. 

Begitulah masalah yang menampakkan wujud jurang digital dalam pengajaran atas talian. Hal ini dijelaskan ibu bapa ketika diminta berkongsi pengalaman menjadi guru interim sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagi suri rumah Jumiati Ilyas, 42 tahun, hidup sewaktu tempoh PKP memerlukan beliau melakukan penjimatan dan hanya memberi keutamaan kepada keperluan asas keluarga sahaja.

Disebabkan langkah penjimatan itu banyak benda yang terpaksa dikorbankan Jumiati, ini termasuk langganan produk jalur lebarnya.

Bagaimanapun, langkah tersebut memberi kesan kepada anak-anaknya dalam meneruskan sesi pembelajaran secara atas talian yang disarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tempoh PKP yang berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu itu.

Risau makan-minum anak

"Saya sedar keperluan anak-anak untuk belajar di rumah sepanjang tempoh PKP ini. Namun dengan kemampuan yang kami ada dengan suami yang tak boleh keluar bekerja memerlukan saya bertindak sedemikian.

"Lagi pun saya lebih risaukan makan minum anak-anak saya. Lagi pun sekarang ni bolehlah kita harapkan majikan suami untuk terus bayar gaji, tapi esok-esok kita tak tahu.

"Soal belajar anak-anak tak apalah, saya boleh perlahan-lahan ajar mereka guna buka sekolah sedia ada," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu kepada Malaysiakini.

Bagi jururawat sebuah klinik swasta, Suriayana Mohamamad, 38 tahun, meskipun kerajaan memberikan data percuma sepanjang PKP namun kesukaran untuk mendapatkan akses internet tetap ada selain kekurangan kemudahan seperti tablet atau telefon mudah alih.

Ibu kepada dua orang cahaya mata, masing-masing berumur 12 dan 11 tahun, berkata akses internet yang tinggi diperlukan bagi menyediakan pembelajaran secara dalam talian itu.

Katanya, lebih-lebih lagi golongan ibu bapa terpaksa memuat turun pelbagai dokuman yang diperlukan sebagai ulang kaji dan latihan harian anak-anak.

"Memang kerajaan bagi internet percuma, tapi dalam keadaan sekarang yang semua orang kena duduk di rumah sudah pastinya capaian akan menjadi perlahan sekali gus menyukarkan kami untuk memuat turun aktiviti anak-anak.

"Itu masalah kami yang duduk di bandar, bagaimana mereka yang duduk di kampung-kampung?" Soalnya.

"Belum lagi yang kita dengar dari ibu bapa yang tidak ada kemudahan seperti komputer riba atau telefon canggih sikit, itu pasti satu kesukaran.

"Macam saya, anak sulung akan ambil UPSR tahun ini, jadi saya perlu beri lebih fokus pada dia dan adiknya terpaksa mengalah dan hanya ulang kaji dengan buku latihan sedia ada saja dulu," kongsi Suriayana.

Sementara itu, Nadirah R, 36, berkata masalah utama yang dihadapinya adalah terpaksa membahagi-bahagikan tugas antara kerja pejabat, kerja rumah dan mengajar anak-anak.

"Bila nak kena multitask anak waktu kerja dan waktu dia orang sekolah, itu yang bertembung.

"Banyak kerja rumah itu tak jadi masalah, yang jadi masalah ialah bila hang nak kena masak, hang nak kena jaga anak kecik lain, hang nak kena urus rumah, dan pada masa yang sama, hang kena buat kerja kalau tak bos marah. Itu macam mana?" Soalnya.

Selain itu, Nadirah berkata beliau juga bimbang dengan kemampuannya dalam mengajar.

Rezeki kais pagi, kais petang

"Anak-anak dalam waktu yang normal akan dapat pendedahan, pengenalan dan pelajaran asas dari sekolah.

"Jadi, bila balik rumah, ibu bapa boleh ambil-alih sebab dia orang dah faham sikit dalam kelas. Tapi dalam tempoh PKP ini, setting tak sama. Anak-anak tak dapat proper introduction to the subject dan lain-lain.

"Semuanya ibu bapa yang kena buat dan kita nak kena galas lebih tanggunjawab (sekarang sebagai cikgu yang haram tak ada teknik mengajar), buat kita berfikir betul ke apa yang kita ajar ni?" Soal Nadirah.

Jelasnya lagi, dia tiada masalah sekiranya guru-guru memberikan kerja rumah yang banyak pada anak-anak sepanjang tempoh PKP ini.

Bagi Noraini Abdullah pula kehidupan keluarganya umpama "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang" yang bergantung rezeki hasil tangkapan di laut.

Noraini (kanan) bersama suaminya Zamri.

Katanya, dia tidak mampu membeli data pada waktu-waktu gawat sekarang.

"Lagi pun kita orang pakai top-up (prepaid), bukan pakai line (postpaid). Ada top-up, ada lah buat pembelajaran (akses internet). Kalau tak ada top-up memang susah.

"Ini pun selalu beli dalam RM5 sahaja, tambah pula sekarang ini kita tak ada lagi ke laut (keluarga mereka cari makan sebagai nelayan). Jadi, kadang-kadang beli kadang-kadang tak.

"Ada telefon mudah alih tapi tak ada kredit. Kalau beli pun bila ada hal kecemasan tapi kalau setakat nak belajar itu tak adalah," kata Noraini yang tinggal di Kampung Orang Asli Pulau Indah, Klang.

Bagi penuntut tingkatan lima, Nurul Aini Zamri pula dia lebih merasa bimbang berbanding pelajar lain kerana tahun ini dirinya akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nurul Ain yang tinggal di perkampungan Orang Asli, Pulau Indah, Klang, berkata dia turut berdepan dengan masalah yang lebih besar apabila gagal memahami subjek yang dipelajarinya.

"Sepanjang PKP ini memang dapat buat ulang kaji pelajaran tapi saya tak berapa boleh faham subjek yang saya cuba buat ulang kaji. Malah saya juga bimbang dengan penguasaan saya dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah. Kerana subjek-subjek ini kena lulus.

"Cikgu juga ada bagi kerja rumah, tapi tak boleh buat. Sebab tak (ada cikgu) terangkan," kata Nurul Aini (gambar, bawah) yang bersekolah di SMK Pulau Indah, Pelabuhan Kelang, Selangor.

Azizi Ardi yang juga pelajar tingkatan lima di perkampungan yang sama turut berkongsi kebimbangan dengan Murul Aini.

"Saya berasa bimbang kerana tidak dapat ke sekolah kerana covid-19. Saya juga bimbang dengan penguasaan saya dalam mata pelajaran saya Bahasa Melayu dan sejarah sebab dua mata pelajaran itu sangat penting. Saya harap dapat luluslah tahun ini.

"Kita juga tak ada (laptop, internet di rumah untuk ulang kaji pelajaran), ada pun telefon mudah alih tapi tak tahu guna juga. Jadi kita guna WhatsApp biasa sajalah," katanya.

Kementerian Pendidikan baru-baru ini menyediakan garis panduan untuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar menjalankan pembelajaran atas talian kepada pelajar semasa PKP, terutama melalui portal pembelajarannya.

Platform itu menyediakan pautan kepada alat komunikasi seperti Google Classroom dan Microsoft Team untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Bagaimanapun, bermula dengan kekurangan akses internet oleh ibu bapa dan pelajar, pembelajaran secara atas talian terbukti menjadi cabaran kepada guru yang berjuang untuk memastikan pengajaran berterusan.

"Kami guru-guru sambut baik usaha kerajaan dan kami juga lega bila dapat bantu pelajar meneruskan pembelajaran walaupun sepanjang tempoh PKP ini.

"Namun, tidak semua pelajar mempunyai akses kepada internet atau tablet di rumah. 

"Terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah, jadi kami tidak dapat memantau semua pelajar,” kata seorang tenaga pengajar yang enggan namanya disiarkan.

Kekangan kawasan luar capaian Internet

Guru itu berkata dia tetap berusaha membantu para pelajarnya seperti menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Tapi itulah, ia tetap bermasalah bila ada di kalangan ibu bapa yang tidak mempunyai telefon yang boleh akses kepada internet, khususnya suri rumah tangga sepenuh masa," katanya.

Masalah yang sama turut dikongsi seorang lagi tenaga pengajar yang enggan dinamakan.

"Pembelajaran secara dalam talian bagus kerana ia membuatkan pembelajaran sentiasa berlaku walaupun berada di rumah ketika PKP dan murid-murid tidak akan ketinggalan.

"Cuma sedikit kekangan jika pelajar berada di luar kawasan capaian internet atau pun pelajar yang tidak mempunyai kemudahan seperti telefon atau laptop dan juga keluarga yang mempunyai anak sekolah yang ramai, mungkin ada sedikit keterbatasan," jelasnya.

Turut berkongsi pandangan Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohamad Ali Hassan.

Menurut Mohamad Ali (gambar, bawah), beliau juga sudah menjangkakan ibu bapa, pelajar dan guru akan berdepan cabaran dalam proses pembelajaran secara dalam talian itu.

"Saya lihat ia (pembelajaran secara dalam talian) satu perkara yang amat baik tetapi ia ada cabarannya. Pertama liputan jalur lebar itu sendiri yang kita sedia maklum tidak meliputi semua kawasan.

"Keduanya, mungkin guru tidak bersedia sepenuhnya dan yang ketiga ada juga keluarga yang tidak ada sumber yang secukupnya untuk membantu anak-anak meneruskan pembelajaran di rumah.

"Barang kali ada juga keluarga yang tidak biasa menggunakan teknologi," katanya kepada Malaysiakini.

Mohamad Ali berkata beliau turut menerima maklum balas dan mendengar keluhan pelajar, ibu bapa dan guru berhubung permasalahan tersebut.

Beban kerja sekolah menimbun

"Kita melihat dan mendengar ramai kalangan ibu bapa yang terbeban dengan pelaksanaan PKP ini, yang mana ada yang terpaksa berjimat cermat dalam berbelanja namun terpaksa pula mendapatkan akses jalur lebar bagi sesi pembelajaran anak-anak.

"Secara keseluruhannya kita mengharapkan perlunya ada perancangan rapi bagi melaksanakan sistem pembelajaran ini kerana saya percaya ia merupakan satu keperluan sistem persekolahan sekarang," katanya.

Ketika diminta mengulas rungutan ibu bapa terhadap beban kerja sekolah yang menimbun, Mohamad Ali mencadangkan Kementerian Pendidikan mencari jalan penyelesaiannya.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan satu pasukan penilai atau pakar pembelajaran bagi setiap subjek pelajaran.

"Dengan adanya pakar tersebut mereka akan meneliti dan memantau sekali gus dapat menyelaraskan pembelajaran dan tidak terlalu melampaulah beban pembelajaran itu di waktu-waktu sebegini yang memerlukan pertimbangan yang lain sedikit dari kebiasaannya.

"Kerana kita mengharapkan sistem pembelajaran dalam talian ini memberikan kesoronokan dan dapat mengisi waktu lapang terutamanya dalam waktu-waktu sebegini selain tidak membebankan pelajar," katanya lagi.

Bagi Yang di-Pertua (YDP) PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Paya Rumput Melaka, K Vishvam, beliau juga turut mendapat rungutan dari kalangan ibu bapa berhubung permasalahan yang sama.

TV pendidikan

"Sebenarnya ia bagus, bagi dia orang sibuk sikit dan waktu-waktu PKP begini dan ibu bapa boleh bantu mereka belajar. Aktiviti tersebut juga boleh eratkan hubungan sesama keluarga selain kita boleh tahu tahap pembelajaran setiap anak.

"Selalunya ibu bapa hanya diberikan keputusan atau markah setiap ujian sajakan tapi sekarang kita boleh pantau dan tahu lebih jelas sejauh mana anak-anak menguasai satu-satu subjek yang dipelajari.

"Bagaimanapun soal kemampuan juga jadi isu besar, di mana bukan semua orang mampu mendapatkan akses internet. 

"Malah ada keluarga yang tak ada telefon agak canggih pun sebab saya difahamkan banyak dokumen yang perlu dimuat turun dan bukan semua keluarga ada komputer dekat rumah.

"Tambah pula bilangan anak yang bersekolah juga ramai. Jadi, ramai juga yang mengeluh telefon mereka hang (tersekat-sekat)," katanya.

Menjelaskan lanjut, Vishvam berpandangan adalah lebih baik untuk kerajaan mengguna pakai dan mempertingkatkan pembelajaran melalui televisyen.

Katanya, itu pilihan terbaik memandangkan semua orang ada televisyen di rumah dan itu lebih membantu.

"Walaupun kita dapat akses internet percuma buat masa ini tapi kita tetap ada masalah, kerana bila ramai orang cuba akses internet ia secara automatik akan perlahan.

"Ia juga turun beri kesan kepada mereka yang berkemampuan untuk mendapatkan akses internet yang lebih bagus. Jadi, mungkin pembelajaran melalui televisyen boleh dipertingkatkan kerana saya yakin semua orang ada televisyen di rumah itu lebih membantu dan satu pilihan yang terbaiklah," katanya.

Buat masa ini TV Pendidikan disiarkan melalui saluran TV Okey selama dua jam sehari dan ia menyiarkan pembelajaran bagi murid tahun satu, empat lima dan enam, selain tingkatan empat serta lima.

Paling Popular
Terkini