Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti P Pinang: Tiada masalah tangguh cuti umum Aidilfitri

Tiada masalah sekiranya kerajaan menangguhkan cuti sempena sambutan Aidilfitri bagi melindungi orang awam dari wabak Covid-19 seperti yang dilaksanakan Indonesia, kata Dr Wan Salim Mohd Noor.

Wan Salim menjelaskan, umat Islam sudah dianggap merayakan Aidilfitri selepas selesai berpuasa selama sebulan.

“Nak tangguh tu tak jadi masalah dari segi pandangan agama Islam. Kita boleh tangguh segala aktiviti itu cuma hari 1 Syawal tu, umat Islam jangan berpuasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini, Akademi Perubatan Malaysia menggesa kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga selepas sambutan Aidilfitri.

Kata kumpulan profesional itu, balik kampung secara beramai-ramai boleh memburukkan lagi penyebaran wabak Covid-19, memandangkan penjarakan sosial akan gagal diamalkan apabila mereka yang pulang beraya berkumpul di hentian serta kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya.

Tambah Wan Salim, begitu juga sekiranya kerajaan melanjutkan tempoh PKP sehingga tamat bulan Ramadan dan memerlukan umat Islam menyambut hari raya di kediaman masing-masing, orang awam wajib mematuhinya.

“Ikut arahan pihak berkuasa kerana dalam Islam perintah pihak kerajaan wajib dipatuhi oleh rakyat dalam perkara-perkara yang baik dan ada kepentingan awam,” katanya.

PKP yang bertujuan memutuskan rantaian penularan Covid-19 bermula pada 18 Mac. Ia kemudian dilanjutkan ke 14 April bagi fasa kedua dan seterusnya sehingga 28 April bagi fasa ketiga.

Wan Salim berkata, jika kerajaan mendapati wabak berkenaan semakin meruncing dan kemungkinan penularan masih berlaku, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengadakan upacara yang melibatkan perhimpunan ramai.

Namun katanya, penguatkuasaan itu bergantung pihak berkuasa.

“Cuma tiada aktiviti-aktiviti seperti rumah terbuka, ziarah-menziarahi, pertemuan dengan sahabat dan ahli keluarga.

“Sembahyang sunat hari raya tu kita boleh buat di rumah masing-masing,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa semua cuti terkumpul Aidilfitri dibenarkan diambil sehingga Disember.

Ramadan dijadualkan bermula pada 24 April. Manakala Aidilfitri, iaitu 1 Syawal pada 24 Mei.

Lihat Komen
ADS