Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kontrak sedia internet di sekolah: YTL fail permohonan ketepi keputusan KPM

YTL Communications Sdn Bhd memfailkan permohonan di mahkamah untuk mengenepikan keputusan menteri pendidikan dan dua pihak lagi pada tahun lalu, untuk mengambil khidmat tiga pembekal perkhidmatan internet bagi sekolah, di saat syarikat itu menawarkan untuk berbuat demikian secara percuma.

YTL memfailkan permohonan izin semakan kehakiman menerusi firm guaman Tetuan Malik Imtiaz Sarwar, di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Sept tahun lalu.

Pada 3 Julai 2019, YTL Communications mendakwa Kementerian Pendidikan, di bawah menterinya Maszlee Malik ketika pentadbiran PH, memberikan kontrak kepada Telekom Malaysia Bhd, Celcom Axiata Bhd dan Maxis Broadband Sdn Bhd, walaupun pihaknya telah menawarkan untuk melakukannya secara percuma.

Permohonan izin semakan kehakiman itu menamakan menteri pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kerajaan, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebagai responden pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Menurut salinan permohonan yang dilihat Malaysiakini semalam, YTL Communications meminta perintah certiorari, mengikut Perintah 53 Peraturan 8 (2) Peraturan Mahkamah 2012, untuk membatalkan keputusan tiga responden pertama, yang memberikan kontrak membekalkan perkhidmatan internet ke sekolah kepada Telekom Malaysia, Celcom Axiata dan Maxis Broadband.

Menurut salinan afidavit sokongan yang ditandatangani pengarah eksekutif YTL Communications Yeoh Seok Hong, syarikat itu mendakwa responden telah melakukan kesalahan undang-undang dan/atau fakta dalam membuat keputusan berkaitan yang dipertikaikan.

“Saya telah dinasihati oleh peguamcara pemohon (YTL) dan sesungguhnya percaya bahawa keputusan-keputusan responden-responden telah dicemari oleh niat jahat serta pertimbangan yang tidak rasional dan tidak wajar.

“Oleh itu, saya sesungguhnya percaya bahawa keputusan-keputusan responden-responden adalah tidak sah, tidak rasional dan/atau tidak menurut prosedur yang patut.

“Saya turut dinasihati oleh peguamcara pemohon dan sesungguhnya percaya bahawa keputusan-keputusan responden-responden adalah satu penyalahgunaan kuasa, tidak seimbang, dan memungkiri keadilan asasi.

“Dengan itu, saya sesungguhnya percaya bahawa pemohon mempunyai asas untuk memulakan prosiding semakan kehakiman,” kata Yeoh dalam afidavit tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah masih belu mendengar permohonan itu sejak ia difailkan September lalu, memandangkan pihak terlibat berusaha menyelesaikannya di luar mahkamah.

Menurut surat dari Tetuan Malik Imtiaz kepada Mahkamah Tinggi bertarikh 30 Oktober 2019, peguam syarikat memohon pendengaran permohonan - yang dijadual pada 31 Oktober 2019 - untuk ditangguhkan.

Ia bagi membolehkan pihak terlibat mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Usaha penyelesaian di luar mahkamah itu dilihat menerusi surat firma guaman kepada mahkamah bertarikh 3 Disember 2019, berkenaan permohonan penangguhan pendengaran yang dijadual pada 5 Disember, atas sebab pihak yang terlibat masih lagi dalam perbincangan.

Surat terakhir antara firma guaman dan mahkamah adalah pada 15 Januari lalu, berkenaan penangguhan perbincangan secara sementara sehingga pelantikan menteri pendidikan yang baru.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak yang terlibat, bagi memastikan sama ada masih terdapat sebarang perbincangan berlangsung antara YTL Communications dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, atau tidak.

Sumber yang dekat dengan perkara itu berkata, perbincangan penyelesaian telah dimulakan semula antara syarikat dan responden kerajaan baru, dan pendengaran permohonan izin semakan kehakiman akan terus ditangguhkan bagi perbincangan antara pihak terlibat.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS