Paling Popular
Terkini

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) untuk tahun ini dibatalkan.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata keputusan itu dibuat ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih berlanjutan yang menyebabkan sesi persekolahan diberhentikan.

Bagaimanapun beliau berkata satu mekanisme baru akan diperkenalkan bagi menilai murid tahun 6 dan tingkatan 3 tahun ini.

"KPM ingin memaklumkan bahawa UPSR dan PT3 bagi 2020 dibatalkan.

"Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

"Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baru akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan (ke tahap seterusnya)," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) and Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula, Radzi berkata peperiksaan itu akan ditangguhkan ke suku pertama 2021.

Bagi calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Radzi berkata peperiksaan semester dua ditangguh ke Ogos 2020, manakala peperiksaan semester tiga ditangguh ke suku pertama 2021.

Pada 12 April lalu, Malaysiakini melaporkan sumber KPM yang mengatakan tarikh peperiksaan utama akan ditangguhkan beberapa bulan, tertakluk kepada kelulusan kabinet.

Berikutan perubahan tarikh peperiksaan itu, Radzi berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi, diploma dan ijazah.

Kaedah baru ke tahap seterusnya

Radzi berkata, kaedah baru untuk menggantikan UPSR dan PT3 penting untuk kemasukan pelajar tahun 6 dan tingkatan 3 ke sekolah khusus untuk tahap seterusnya, misalnya sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah teknik.

dalam pada itu, beliau berkata keputusan itu terpakai untuk semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

"Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini," katanya lagi.

Berkenaan status Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), Radzi berkata persetujuan telah dicapai bahawa ia akan turut ditangguh selaras dengan keputusan KPM.

Sesi pembelarajan sekolah pada mulanya dijadual bermula 22 Mac, empat hari selepas PKP fasa pertama dikuatkuasakan.

Menurut takwim tahunan sekolah, pembelajaran sepatutnya diteruskan selama sembilan minggu sehingga 22 Mei, sebelum cuti pertengahan tahun dan cuti Hari Raya Aidil Fitri.

Lihat Komen
ADS