Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Digantung jumpa Azmin, ketua wanita PKR persoal Anwar temui PM

PKR menggantung jawatan ketua wanitanya, Haniza Talha sementara menunggu siasatan lembaga disiplin selain menghantar surat tunjuk sebab kepada naib presidennya, Tian Chua.

Menurut Haniza, beliau digantung kerana bertemu bekas pemimpin PKR Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang tidak dinyatakan secara khusus.

Seuhubungan itu Haniza mempersoalkan penggantungan tersebut sedangkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin. 

Muhyiddin merupakan tokoh penting yang memainkan peranan dalam kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), manakala Azmin dan Zuraida keluar PKR untuk menyertai Bersatu.

"Zuraida dan Azmin berada dalam parti yang sama seperti perdana menteri. Mengapa saya tidak boleh bertemu dengan Zuraida dan Azmin tetapi presiden boleh bertemu dengan Muhyiddin. Apa ni?" katanya kepada Malaysiakini.

Haniza berkata adalah aneh apabila surat penggantungan itu tidak menyatakan bila beliau bertemu dua bekas pemimpin PKR berkenaan.

Tambahan pula, katanya, surat itu juga menyebut keputusan kepimpinan pusat PKR pada Mac 21 lalu untuk mengarahkan Haniza dan Chua menunjukkan surat tunjuk sebab tetapi tidak menggantung mereka.

"Kamu tak boleh buat perkara seperti ini. Kamu buat satu keputusan, tetapi mengambil tindakan yang berbeza," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan kekal bersama PKR.

Adun Lembah Jaya itu berkata surat berkenaan dihantar kepada beliau pada Isnin lalu, iaitu kira-kira satu jam sebelum mesyuarat biro politik PKR.

Justeru kehadiran surat itu menghalang beliau daripada menyertai mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Ketua Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim menegaskan bahawa Haniza dan Chua tidak dipecat daripada PKR.

Katanya, penggantungan Haniza masih disiasat oleh lembaga disiplin.

"Dia tidak dipecat. Apabila siasatan lembaga berakhir, mungkin lembaga akan berpuas hati dengan jawapan beliau dan penggantungan itu akan ditarik balik dan dia akan menjadi ahli semula," katanya ketika dihubungi.

Lihat Komen
ADS