Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri wajib pakai PPE masuk makmal, maklum PPUiTM Sg Buloh
Diterbitkan:  Apr 16, 2020 8:51 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara mengulas kritikan warga maya terhadap Noraini Ahmad selepas tular gambar beliau memakai PPE ketika lawatan ke PPUiTM.

Tindakan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) sememangnya mematuhi peraturan ketika beliau melawat makmal ujian Covid-19, kata Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (PPUiTM) Sungai Buloh.

PPUiTM berkata lawatan Noraini juga merupakan sebahagian daripada ikhtiar dan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengurangkan beban kerja yang ditanggung Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak virus korona baru Covid-19 di Malaysia.

Pusat perubatan itu menjelaskan hal tersebut pada suatu kenyataan hari ini yang mengulas kritikan warga maya terhadap Noraini apabila gambarnya memakai PPE ketika lawatan ke PPUiTM menjadi tular dalam talian.

"Menjadi satu peraturan yang wajib dipatuhi oleh setiap pelawat yang memasuki kawasan makmal untuk memakai PPE. Ini bagi tujuan keselamatan.

"Institute of Medical Molecular Biotechnology (IMMB) PPUiTM sememangnya amat menitik beratkan soal-soal kesihatan dan perlindungan kesihatan untuk individu yang memasuki kawasan makmal dan PPE sememangnya telah diperuntukkan khas untuk pelawat yang dibenarkan. ‘Pelawat yang dibenarkan’ merujuk kepada individu yang berkepentingan sahaja.

"Iaitu individu penting yang sangat perlu untuk memasuki makmal bagi tujuan mendapatkan gambaran, info, membuat penilaian dan kenal pasti apa sahaja penambahbaikan yang boleh diikhtiarkan," kata kenyataan itu.

Beri kelebihan, menteri ada akses rapat atasan

PPUiTM juga menjelaskan lawatan Noraini bagi "bertemu sendiri dengan petugas barisan hadapan dan memberikan sokongan moral dan motivasi agar mereka tabah, komited dan terus istiqamah dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik."

"Mendengar dan mengenalpasti permasalahan, kekangan dan isu yang dihadapi oleh pihak PPUiTM dengan khususnya berkaitan Pasukan Khas Makmal Covid-19 dengan harapan jalan penyelesaian dapat dicari dengan membawa perkara kepada pihak atasan (PM/ MKN/ KKM).

"Isu-isu atau kekangan yang dikenalpasti secara terus oleh YB Menteri sememangnya menjadi satu advantage kepada pihak PPUiTM kerana menteri mempunyai akses dan hubungan yang lebih rapat diperingkat pentadbiran atasan negara.

"Mungkin kapasiti ujian Covid-19 dapat dipertingkatkan dengan ikhitiar dan inisiatif oleh menteri," jelas PPUiTM.

Menurut pusat perubatan itu lagi menteri pengajian tinggi "amat prihatin dan mengambil berat" terhadap PPUiTM usaha membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak Covid-19.

"Adalah menjadi tanggung jawab menteri KPT untuk ambil maklum, mengetahui dan mengenalpasti apa sahaja aktiviti yang berlaku di Universiti Awam khususnya aktiviti yang melibatkan usaha (kerja sama ini).

"PPUiTM adalah salah satu pusat yang hadir dengan inisiatif yang amat cemerlang dan terus mengorak langkah ke hadapan dengan berkolaborasi dengan agensi luar untuk memantapkan lagi usaha menangani COVID-19.

"... beliau merasa puas hati jika dapat hadir sendiri melihat usaha yang sedang rancak dijalankan," jelas kenyataan itu.

Dilaporkan terdapat warga maya yang mengkritik Noraini kerana melawat makmal ujian itu ketika tempoh PKP dan memakai PPE ketika terdapat masalah kekurangan peralatan sedemikian kepada petugas barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19.

Beberapa orang doktor juga menyuarakan keprihatinan mereka mengenai orang kenamaan memakai PPE, termasuklak pakar jantung Dr Beni Rusani yang berkata peralatan demikian sepatutnya diperuntukkan untuk pekerja kesihatan sahaja.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS