Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendakwah bebas pertikai nikah online, memadai hantar wakil
Diterbitkan:  Apr 19, 2020 2:57 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Pendakwah bebas Mohd Rasyiq Mohd Alwi mempertikai pelaksanaan pernikahan secara dalam talian (online) kerana menurutnya ia boleh dilakukan secara menghantar wakil berdasarkan ketetapan empat mazhab muktabar.

Jelasnya, Islam tidak pernah menyulitkan umatnya dalam urusan perkahwinan sehingga terpaksa melakukan "pernikahan online" ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Agama Islam adalah mudah dan tidak susah sehingga terpaksa buat video akad (nikah) yang tersangkut-sangkut ketika akad (dilafazkan).

"Kejahilan pemimpin yang memimpin agama juga sangat menjijikkan dan menyusahkan serta menampakkan Islam seolah-olah agama yang main-main.

"Perkahwinan akad nikah bila pasangan saling berjauhan dibenarkan oleh Islam dengan pengantin lelaki atau wali perempuan mewakilkan untuk kabul atau ijab kepada wakil yang sah dengan cara yang sangat mudah," katanya (gambar) dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Malaysia mencatat sejarah apabila pasangan Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif diijabkabulkan secara dalam talian.

Mereka menjadi pasangan pertama di Malaysia dinikahkan melalui sidang video dalam talian yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Majlis akad nikah kedua-dua pasangan berusia 29 tahun itu diadakan di rumah keluarga masing-masing di Setapak dan Setiawangsa, sambil disiarkan secara langsung oleh saluran TV Al-Hijrah.

Dengan sekali lafaz, Muhammad Don Hadi Don Putra bergelar suami kepada Nahdatul Aishah Mohd Sharif selepas diwalikan bapa pengantin perempuan, secara atas talian.

Majlis itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail yang dilihat turut berada di rumah pengantin perempuan.

Permohonan kebenaran berkahwin online merupakan inisiatif Jakim dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri bagi memudahkan pasangan yang ingin diijabkabulkan berikutan pelaksanaan PKP. 

Antara negara yang melaksanakan nikah secara dalam talian berikutan wabak Covid-19 adalah Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Ada negeri tak benarkan nikah online

Selain Wilayah Persekutuan, Selangor merupakan negeri yang membenarkan pasangan melangsungkan"pernikahan secara online" ketika PKP dilaksanakan. Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut mengeluarkan carta khusus untuk panduan bakal pengantin mengenai proses pernikahan ketika PKP.

Bagaimanapun beberapa negeri masih berbeza pendapat mengenai ketetapan pernikahan ketika pelaksanaan PKP.

Di Perak misalnya, majlis akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Agama Islam Daerah selaras dengan lanjutan tempoh PKP.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Mohd Yusop Husin berkata majlis itu hendaklah dikawal selia oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya, untuk memastikan beberapa perkara dipatuhi.

Antaranya tidak berjabat tangan ketika lafaz Ijab dan qabul, tiada upacara lain seperti sarung cincin dan bergambar.

Pulau Pinang dan Kedah pula tidak membenarkan sebarang proses pernikahan diadakan sepanjang PKP dilaksanakan.

Bagaimanapun di Kelantan dan Terengganu, pasangan pengantin diminta menangguhkan perkahwinan mereka buat sementara.

Namun, majlis akad nikah dibenarkan jika mendapat keizinan pihak berkuasa dan mematuhi peraturan ditetapkan.

'Akad nikah secara wakil elak syubhah'

Sementara itu, Mohd Rasyiq atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berkata Nabi Muhammad SAW pernah mewakilkan Saidina Amr Umayyah untuk diijab kabul dengan Saidatuna Ummu Habibah ketika Baginda di Habsyah.

Begitu juga Saidina Abu Rofi juga diwakilkan Nabi Muhammad SAW untuk diijab kabul dengan Saidatuna Maimunah ketika berada di kawasan berlainan.

"Sistem akad secara wakil ini adalah diyakini halal terutama apabila timbul isu kesulitan bertemu dua pihak mempelai di sisi Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi.

"Ia lebih 'aslam'. Jauh dari syubhah bahkan dilakukan oleh baginda nabi sendiri untuk memberi panduan kepada kita.

"Manakala akad nikah 'online' seperti tersebar itu kebanyakan ulama melarangnya. Mengapa tinggalkan yang yakin, pilih pula yang syubhah," katanya.

Lihat Komen
ADS