Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) memberi tempias buat peniaga seluruh negara yang ternanti-nanti lubuk rezeki yang menjanjikan pulangan berganda setiap kali tibanya musim berpuasa.

Di kala sesetengah peniaga berharap akan ada usaha alternatif oleh kerajaan bagi menyediakan ruang buat mereka tetap berniaga sepanjang Ramadan nanti, ada peniaga yang beralih membuka tapak bazar di platform media sosial.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, banyak grup bazar Ramadan mula ditubuhkan di Facebook mewakili pelbagai kawasan seluruh negara, antaranya grup Bazar Ramadan Online Terengganu (Original) (kini 30,000 ahli), Bazar Ramadan Online Muar (kini 14,100 ahli), Bazar Ramadhan Online Permaisuri & BTR (kini 5,000 ahli) dan banyak lagi.

Menariknya, grup-grup ini didapati baru ditubuhkan dalam tempoh PKP, iaitu sejak akhir Mac dan awal April lalu bagi membolehkan peniaga terus menjalankan perniagaan menjelangnya bulan puasa nanti.

Menurut Tengku Ahmad Silmi Tengku Azizan, 45, atau lebih dikenali sebagai Abang Bob, yang merupakan pengendali grup Bazar Ramadhan Online Permaisuri & BTR (Bandar Tun Razak), dia menubuhkan grup itu ikhlas bagi membantu rakan peniaga yang buntu tercari-cari tempat memasarkan produk mereka menjelang Ramadan nanti.

Abang Bob, pemilik restoran Cik Melur di Bandar Sri Permaisuri itu berkata dirinya cukup memahami masalah dihadapi peniaga, terutama peniaga kecil, memandangkan dia sendiri bermula dari bawah dan sentiasa menyewa tapak di bazar Ramadan saban tahun sejak 20 tahun lalu.

Bagi melancarkan urusan di grupnya, dia menyediakan satu hantaran khas di mana penghantar makanan boleh meninggalkan nombor telefon masing-masing, sekaligus memudahkan peniaga berhubung dengan mereka untuk urusan penghantaran makanan setelah menerima tempahan daripada pelanggan.

“Saya memang tak ambil apa-apa (yuran). Sebab saya mengenangkan orang nak berniaga, (dan) yang nak beli barang, banyak sangkut.

“Saya tak sangka, rider (penghantar makanan) pun PM (hantar pesanan peribadi) kepada saya, banyak yang kata bagus, dapat banyak tempahan. Dia (peniaga) memang tak tahu nak cari rider dekat mana,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Selangor cadang dapur terpusat

Malah, Bob turut merancang beberapa kelainan untuk grupnya, antaranya menganjurkan hari diskaun yang menyaksikan semua peniaga menurunkan harga produk masing-masing, bagi memastikan grup bazar Ramadan berbeza berbanding khidmat perniagaan online yang lain.

Mengakui perniagaannya merosot terus sejak PKP, namun Bob masih bersyukur kerana setidak-tidaknya masih dibenarkan membuka kedai makannya, berbanding peniaga kecil dan penjaja yang kini tidak mempunyai apa-apa pendapatan.

Dia turut memantau grupnya dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya produk berkaitan “puasa dan raya” sahaja dipasarkan, manakala hantaran tidak berkaitan, mempunyai gambar tidak bersesuaian dan berunsur politik pula akan dipadam.

Sebelum ini, Selangor dan Wilayah Persekutuan bercadang menganjurkan e-bazar Ramadan berkonsepkan e-hailing yang mempunyai dapur pusat (central kitchen) tersendiri, bagi membolehkan peniaga terus berniaga dalam bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, pada 16 April lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sebarang bentuk bazar Ramadan adalah tidak dibenarkan walaupun yang berbentuk e-hailing sekalipun.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pula pada keesokannya harinya memberitahu e-bazar Ramadan itu akan tetap dilaksanakan, statusnya setakat hari ini masih belum benar-benar dapat dipastikan dan masih ada peniaga yang keliru mengenainya.

Sementara itu, bagi pengendali grup Bazaar Ramadhan Online Kuala Lumpur, Norhazlinda A Ghafar, 34, atau lebih dikenali sebagai Lynda Alang, grup itu semakin mendapat sambutan dan sehingga kini sudah mencatat 2,500 keahlian sejak dibuka 1 April lalu.

Kata Norhazlinda (gambar, atas) dia sering berniaga di bazar Ramadan sejak 10 tahun lalu menjual samosa di bazar Jalan Kuching dan Taman Tenaga, namun di bazar Ramadan online, dia meluaskan lagi perniagaan dengan turut menjual air jagung yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Banyak. Memang banyak (tempahan). Sampai tak cukup stok, tak cukup tangan.

“[...] Agen (air jagung) pun memang banyak ambil (dari kami), sampai pelanggan pun tak sempat nak beli,” katanya yang berkata kebanyakan ahli grup adalah peniaga dari Ampang dan Cheras.

Lynda yang merupakan peniaga wangian dan produk kosmetik itu, memberitahu, dia terpaksa menutup kedai sejak PKP dilaksanakan, dan kini memberi tumpuan pada jualan produk makanan seperti samosa dan air jagung.

“Percuma saja (menjadi ahli grup). Cuma di situ boleh iklankan makanan saja. Kalau benda lain, akan dipadam,” katanya lagi.

Bagi Azri Hatea, 36, dia menyertai Bazar Ramadhan Shah Alam Online Official 2020 bagi memasarkan laksa dan air teh ais yang diusahkannya setelah tahun ini tidak dapat membuka tapak bazar Ramadan di Seksyen 18 dan Seksyen 13, Shah Alam seperti kelazimannya.

Berbeza dengan grup lain, grup bazar Ramadan Shah Alam yang ditubuhkan 31 Mac itu meminta ahlinya membayar yuran sebanyak RM50 setahun, dan hantaran akan diselaraskan oleh pengendali grup yang kini mempunyai 9,300 keahlian.

Tak semua mahir niaga online

Selain memasarkan di grup berkenaan, Azri berkata, dia turut memasarkan produknya di Facebook peribadinya bagi memastikan perniagannya yang merosot teruk dalam PKP ini, dapat terus berjalan.

Bagaimanapun, perniagaaan dalam talian mungkin bukan medium yang mudah buat sesetengah peniaga.

Peniaga nasi ayam pasu, Wan Liza, 47 telah mendaftar ahli Bazar Ramadhan Online Warga Selayang 2020, tetapi dia mengaku agak sukar memasarkan produknya kerana tidak tahu bagaimana untuk memasarkannya secara dalam talian.

“Saya tak berapa pandai promosi online, sebab sebelum ini meniaga di kedai.

“Dah kita ini tak pandai pemasaran dalam talian. Takkan masa ni juga baru nak belajar. Sambutan tu tak boleh nak cakap, sebab semua orang pun guna online, jadi siapa yang nak percaya pada kita, sedangkan dia tak kenal kita, masakan kita.

“Susah saya rasa,” katanya ketika dihubungi.

Selain e-bazar yang dicadangkan Selangor dan Wilayah Persekutuan, antara inisiatif lain oleh kerajaan negeri adalah membenarkan peniaga makanan berniaga di rumah dan di bahu jalan pada bulan Ramadan ini, seperti diumumkan Perlis baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ismail beberapa hari lalu mengumumkan bahawa mesyuarat kabinet turut memutuskan bahawa sebarang bentuk perniagaan termasuk gerai Ramadan dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil, juga adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beberapa Datuk Bandar di Selangor menggalakkan peniaga tampil mengemukakan inisiatif perniagaan dalam talian sendiri, asalkan peniaga tersebut harus berdaftar dengan pihak majlis.

Malah, ada majlis perbandaran turut mempunyai perancangan untuk memulakan inisiatif e-hailing sendiri bagi membantu para peniaga, seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mohd Sayuthi Bakar ketika dihubungi Malaysiakini. 

Lihat Komen
ADS