BERITA

Petempatan sekitar Pasar Borong KL lokasi terbaru PKPD

Hariz Mohd

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Apr 2020, 7:02 pagi

Kawasan petempatan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur kini menjadi lokasi terbaru yang diletakkan di bawah perintah kawalan pegerakan diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu diambil atas nasihat menteri kesihatan dan berlangsung mulai 20 April hingga 3 Mei dan membabitkan lapan kawasan yang dikenal pasti.

"PKPD keenam dilaksanakan untuk membentung jangkitan Covid-19 dan langkah ini membolehkan pengesanan dan saringan dapat dilakukan ke atas penduduk di kawasan tersebut," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau yang juga menteri pertahanan menambah, orang ramai di kawasan terbabit diminta bertenang dan memberikan kerjasam kepada pihak berkuasa.

"Sila duduk dan jangan lari. Kita tak mahu ada yang lari kerana ia mungkin akan menyebarkan penyakit ini kepada orang lain," katanya.

Ketika butiran mengenainya belum rasmi, lawatan Malaysiakini ke lokasi itu sebentar tadi mendapati kawasan seluas beberapa kilometer persegi telah dikawal ketat oleh anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Kawat berduri juga dipasang di sekitar kawasan ini, dari pintu masuk pasar borong berhampiran bulatan Batu Caves sehingga ke pangsapuri kediaman Sri Murni.

Anggota keselamatan pantau keadaan

Polis dan tentera juga dilihat mengawal dan membuat sekatan jalan di setiap persimpangan, dan mengarahkan orang ramai yang ingin memasuki kawasan itu supaya berpatah balik.

Rombongan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendy Buang kelihatan keluar dari kawasan itu sekitar jam 1 tengah hari ini.

Beliau dipercayai berada di lokasi untuk memantau keadaan.

Menurut beberapa anggota keselamatan yang ditemui, lokasi tersebut akan ditempatkan di bawah PKPD bermula tengah malam hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan peniaga akan berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan dari pasar borong berkenaan, Ismail Sabri berkata, isu tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Kita tidak tutup pasar borong, kita tutup kawasan perumahan di sekitar pasar itu, terutamanya kerana ramai penduduk di situ terdiri daripada rakyat Rohingya yang memegang kad UNHCR.

"Jadi kawasan petempatan kita tutup sedangkan pasar borong masih lagi dibuka seperti biasa," katanya.

Menurut Ismail Sabri, kawasan yang dikenakan PKPD itu ialah:

  1. Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  2. Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  3. Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  4. Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  5. Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
  6. Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
  7. Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur
  8. Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.