PAS mendesak kerajaan supaya mendedahkan perjanjian sulit antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan syarikat penjana kuasa bebas (IPP) bagi membolehkan rakyat mengetahui kepincangan yang berlaku.

"Andainya ternyata ia menganiaya kepentingan rakyat dan negara, batalkan sahaja perjanjian berkenaan dan buat perjanjian baru yang lebih adil,"tegas Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang ketika berucap di Muktamar PAS ke52 di Kota Sarang Semut di Alor Star.

Dalam ucapannya selama dua jam itu, beliau bertanya: "Adakah kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk meminda perjanjian berat sebelah yang ditandatangani TNB dengan IPP supaya ia lebih adil kepada kedua-dua pihak?"

Beliau juga mempersoalkan kenapa pengurusan TNB yang lemah, dipertanggungjawabkan

terhadap masalah kewangan yang dihadap oleh TNB sekarang.

Tegasnya, langkah kerajaan memindahkan kos yang tinggi akibat kelemahan pengurusan dan membebankan rakyat dengan harga elektrik yang tinggi, yang dibekalkan oleh syarikat kroni adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan zalim.

Bebankan rakyat

"Inilah yang dikatakan 'untung kroni punya, beban rugi rakyat tanggung' dalam projek penswsataan ala-BN. Inilah satu lagi kejayaan kerajaan BN," ujar beliau.

Katanya lagi, kenyataan Perdana, Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa keputusan menaikkan tarif elektrik sebanyak 12 peratus adalah adil kepada semua pihak, sebenarnya bertujuan menyelamatkan TNB dan melindungi syarikat kroni.

"TNB membayar sebanyak RM4 bilion setahun kepada syarikat penjana kuasa bebas milik kroni ini," tegasnya.

Hadi menegaskan, beban kanaikan tarif berkenaan dan kesan inflasi semakin

menghimpit kehidupan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, PAS menuntut supaya kerajaan menghentikan serta-merta perbuatan mendera rakyat dengan mebatalkan kenaikan tarif elektrik.

Hutang kerajaan

PAS juga katanya, akan terus mengetuai dan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyedarkan rakyat terhadap beban kenaikan harga petrol, tarif elektrik dan inflasi.

Dalam ucapan dasarnya yang bertajuk 'Memulihkan Demokrasi, Mendaulatkan Islam' itu, beliau turut menyentuh soal sistem pendidikan negara, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), hutang negara, rasuah dan modal insan.

Mengenai PLKN, beliau menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Menyiasat PLKN bagi menilai sama ada program itu relevan atau tidak.

Tentang hutang negara pula, Hadi berkata, hutang kerajaan pusat yang dianggarkan RM229 bilion atau 45 peratus daripada KDNK tahun 2005 adalah suatu yang membimbangkan.

Oleh itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan merangka satu pelan komprehensif untuk mengurangkan hutang awam dan hutang negara dan dilaksanakan dengan berkesan.