Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas duta khas ke China dakwa pengganti dapat 'habuan' taraf menteri

Pelantikan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing sebagai duta khas ke China dengan taraf menteri hanyalah 'habuan' kerana beliau menyokong pembentukan kerajaan PN, dakwa Pengerusi DAP Tan Kok Wai.

Tan yang memegang jawatan itu ketika pentadbiran PH berkata jawatan duta khas itu tidak perlu bertaraf menteri.

Katanya lantikan itu dibuat untuk memastikan sokongan berterusan kepada gabungan parti pemerintah, yang mula berkuasa berikutan kejatuhan kerajaan PH yang berusia 21 bulan kerana ada anggota parlimennya berpaling tadah.

Tan yang juga MP Cheras turut mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau telah menerima surat rasmi yang memintanya untuk mengosongkan jawatan duta khas itu.

Di bawah pentadbiran PH, Tan dilantik sebagai penjawat awam Gred A tanpa status menteri.

'Timb menteri perpaduan kurang sesuai'

"Kami dapat lihat kerajaan PN berusaha mendapatkan sokongan.

"Sekarang semua anggota parlimen (penyokong kerajaan) akan diberi jawatan di syarikat yang berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun.

"Mereka tidak peduli sama ada calon ini layak atau tidak, semua orang boleh mendapat 'habuan'," kata Tan lagi.

Menurut beliau, pelantikannya dulu sebagai duta khas ke China telah dipersetujui oleh kabinet PH tetapi hal ini tidak berlaku terhadap penggantinya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelantikan Tiong sebagai duta khas ke China bertaraf menteri.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing.

Bulan lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menawarkan jawatan timbalan menteri perpaduan kepada MP Bintulu itu tetapi telah ditolak.

Majlis tertinggi PDP berkata jawatan itu kurang sesuai untuk ahli politik kanan seperti Tiong.

Menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, gaji bulanan seorang menteri adalah RM14,900.

Selain itu, Malaysiakini difahamkan menteri juga boleh menuntut elaun tetap sehingga RM25,000 sebulan, termasuk untuk hiburan, perumahan, pembantu rumah, elaun pemandu dan sebagainya.

Sementara itu, Tan yang masih menjadi presiden Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China (MCBC) memaklumkan akan meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Tiong selepas pelaksanaan PKP berakhir.

Jelasnya, menjadi amalan biasa, duta khas ke China juga memegang jawatan presiden MCBC.

Dalam satu kenyataan berasingan, Tan mengucapkan tahniah kepada Tiong atas pelantikannya dan menyuarakan harapan supaya hubungan antara Malaysia dan China akan terus berkembang di bawah kepimpinannya.

Lihat Komen
ADS