Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden Datuk Hassan Ali dikritik secara terbuka oleh perwakilan di muktamar ke-52 parti itu kerana didakwa gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

Wakil PAS Perlis, Zolkharnain Zainal berkata setakat ini, beliau tidak nampak peranan atau agenda yang dimainkan atau diperjuangkan oleh kedua-dua tokoh berkenaan untuk membantu presiden parti dan mengukuhkan parti.

"Kita nampak naib presiden yang datang dari Kelantan, berkerja keras mempertahankan kerajaan Kelantan manakala naib presiden dari Pulau Pinang berjuang menegakkan demokrasi. Tetapi naib presiden yang berasal dari Selangor tidak nampak apa tugas dan agendanya.

"Begitu juga dengan Timbalan Presiden (foto), kita tidak nampak sumbangan dan peranan beliau kepada parti setelah diangkat ke jawatan itu sejak setahun lalu," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.

Naib Presiden yang berasal dari Kelantan ialah Datuk Musa Husam. Dari Pulau Pinang ialah Mohamad Sabu. Naib Presiden manakala Hassan (foto) dari Selangor.

Turun padang

Zolkharnain berkata, ahli dan penyokong PAS di seluruh negara mnengharapkan barisan kepimpinan muda ini membawa perubahan kepada perjuangan parti, tetapi nampaknya ada di antara 'mereka yang duduk di atas' gagal mmemainkan peranan masing-masing.

Beliau mahu smua pucuk pimpinan turun padang memperjuangkan isu-isu semasa termasuk memulihkan demokrasiyang menjadi agenda muktamar tahun ini.

Menurutnya lagi, pemimpin utama parti perlu menunjukkan contoh yang baik dengan turun padang bersama para penyokong, dan bukan sekadar berucap atau berceramah.

Muktamar ke-52 PAS masuk hari kedua hari ini dan akan berakhir esok. Malam ini satu ceramah perdana akan diadakan di tapak muktamar di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. Dua tokoh utama yang akan berceramah ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Penasihat Parti Keadilan Nasional, Datuk Seri Anwar Ibrahim.