Teguran terbuka golongan muda terhadap pucuk pimpinan PAS bukan bertujuan untuk menyingkir sesiapa tetapi mahu mengajak semua pihak muhasabah diri demi kebaikan parti, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

"Kita tidak berniat untuk menjatuhkan pemimpin, tetapi mahu menguatkan PAS. Harapan ahli-ahli parti pada pucuk pimpinan baru cukup tinggi...mereka mahu melihat perubahan.

"Setakat ini tidak nampak apa-apa agenda atau cetusan idea yang besar dari mereka. Diharapkan selepas muktamar ini, selepas mendengar teguran perwakilan, mereka akan bekerja lebih kuat," katanya kepada malaysiakini di Komplek PAS Kedah di Kota Sarang semua, Alor Star hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian, mengulas kelantangan para perwakilan PAS semalam mengkritik pucuk pimpinan parti, termasuk Timbalan Presiden dan Naib Presidennya yang dianggap kurang berkesan dalam memimpin parti sejak setahun lalu.

Beliau menjelaskan, kritikan terbuka terhadap kelemahan pucuk pimpinan itu telah disuarakan dalam mesyuarat Dewan Pemuda Selasa lalu dan disambut oleh para perwakilan di muktamar ini.

Muhasabah diri

"Ini menunjukkan, bukan Pemuda PAS sahaja yang tidak puas hati dengan prestasi pucuk pimpinan baru malah ia adalah sentimen dari seluruh akar umbi parti," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, sudah sampai masanya bagi pucuk pimpinan PAS muhasabah atau dan menilai prestasi mereka dengan menerima segala kritikan dengan hati terbuka.

"Kritikan ahli-ahli PAS adalah kritikan ikhlas dan membina kerana ini adalah tradisi parti. PAS adalah parti yang bersifat terbuka dan telus, ahli-ahli bebas mengkritik. Budaya inilah yang mengukuhkan PAS selama ini.

"Muktamar PAS bukan pentas ampu mengampu, keterbukaan antara penyokong dan pemimpin menjadikan parti lebih dinamik," jelasnya lagi.

Menurut beliau, pemimpin dan ahli-ahli PAS perlu bergerak dalam atu pasukan yang berkesan selepas muktamar ini, dengan melaksanakan agenda dan perubahan yang lebih besar.

Salahuddin juga meminta pucuk pimpinan membuka lebih peluang dan ruang kepada golongan muda menerajui parti dan program parti.