Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai naik angin apabila mendapati lebih 700 bungkusan makanan yang ditaja kerajaan bagi membantu golongan terjejas akibat Covid-19, masih lagi dibiar tersadai di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Empat hari lalu, Tan sudah membangkitkan tentang makanan yang tak diagihkan itu.

“Ya Tuhan! Bantuan (makanan) tu masih di sini!” kata anggota parlimen Cheras itu ketika melawat kompleks sukan berkenaan petang semalam.

Mengikut perkiraan Malaysiakini, terdapat sejumlah 750 bungkusan makanan dan 750 paket beras 10kg di situ.

Bungkusan makanan itu mengandungi dua bungkus tepung gandum, tiga bungkus minyak masak, tiga bungkus gula, sebungkus mihun, sebungkus garam, tiga tin sardin, tiga tin susu sejat, sebotol kicap, sebotol cili sos, tiga bungkus biskut, sebungkus cili kering, sebungkus serbuk kopi dan sebungkus teh.

Berdasarkan pemeriksaan harga di laman web Tesco, setiap bungkusan makanan dianggarkan bernilai kira-kira RM110.

Tan memberitahu Malaysiakini bahawa dia menerima permohonan bantuan daripada penduduk kawasannya tetapi pihak berkuasa belum memberinya lampu hijau untuk mengagihkan bungkusan makanan tersebut.

Pengerusi DAP Kebangsaan itu kemudiannya menunjukkan beberapa e-mel yang diterimanya daripada orang awam, yang memohon untuk mendapatkan bantuan makanan. 

Tiada surat kelulusan

Kata Tan, sebelum ini dia menggunakan duit peruntukan sendiri serta sumbangan untuk membeli makanan buat mereka yang memerlukan, tetapi masih tidak mencukupi.

Dia turut mengadu tentang situasi berat sebelah dihadapinya apabila anggota parlimen Bandar Tun Razak Kamaruddin Jaffar dari parti pemerintah, telah mendapatkan kelulusan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengagihkan bungkusan makanan itu.

“Kami sekarang dah jadi pembangkang. Jadi tiada surat kelulusan diberikan kepada kami. Tanpa surat kelulusan, kami tak boleh nak ambil bantuan untuk diagihkan,” katanya yang turut menambah pegawainya berdepan kesukaran untuk menghubungi pegawai JKM berhubung isu itu. 

Tan turut menepis kenyataan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Maysrakat Rina Harun yang berkata bahawa tiada sesiapa yang diketepikan dalam pengagihan bantuan berkenaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Dia tipu. Kenapa kawasan Perikatan Nasional (PN) ada terima bantuan makanan, tapi tidak pula kawasan PH? Jadi apa masalahnya? Rina mesti beri penjelasan yang munasabah.

“Rakyat merayu meminta bantuan. Kenapa kerajaan berat sebelah dan menekan pihak pembangkang? Apakah ada beza antara penduduk di kawasan saya dengan kawasan mereka?” soalnya.

Malaysiakini sudah menghubungi kementerian bagi mendapatkan ulasan.

Jumaat lalu, Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendakwa bahawa sekurang-kurangnya 54 kawasan Parlimen pembangkang masih belum menerima peruntukan bantuan makanan untuk kawasan masing-masing.

Yeoh, yang merupakan mantan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, mendakwa bahawa kawasan Segambut hanya menerima 250 bungkusan sahaja.

Dilaporkan sebelum ini bahawa hanya satu kawasan pembangkang yang menerima kuota penuh 1,000 bungkusan makanan ialah Langkawi di bawah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara parlimen Kangar di bawah Noor Amin Ahmad dari PH, dan Kubang Pasu di bawah Amiruddin Hamzah dari Bersatu, telah menerima 900 bungkusan setiap satu

Dalam Bersatu, Amiruddin dilihat sebagai penyokong Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS