Dewan Muslimat PAS ditegur kerana bertindak melulu menyokong pihak-pihak yang menentang konsep perkahwinan misyar sedangkan beberapa tokoh utama PAS menyokong perkahwinan tersebut.

Sayap wanita PAS itu juga diingatkan supaya jangan terikut-ikut dengan tindak-tanduk pertubuhan-pertubuhan wanita bukan Islam seperti Sister in Islam dan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Shahrizat Jalil yang didakwa dipengaruhi agenda Barat.

"Jangan terbawa-bawa dengan gelagat mereka yang terpengaruh dengan agenda Barat ini. Jangan kerana mahu menjaga sensitiviti satu pihak, kita lupakan prinsip perjuangan parti," kata wakil PAS Perak, Misbahul Munir Masduki.

Menurutnya, tidak wajar Muslimat PAS menentang perkahwinan misyar kerana Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri berpendapat konsep perkahwinan itu tidak salah.

"Malahan ulama terkenal dari universiti Al-Azhar juga bersetuju dengan perkahwinan misyar," ujarnya.

Beliau mengingatkan Muslimat PAS supaya lebih berhati-hati supaya tidak diperalatkan oleh agenda atau kumpulan-kumpulan yang di luar kerangka Islam.

'Ejen feminis'

Beliau membuat teguran itu kerana Ketua Dewan Muslimat PAS, Hajjah Azizah Khatib Mat baru-baru ini membantah konsep perkahwinan misyar yang disyorkan oleh seorang pensyarah pengajian Islam Universiti Malaya.

Wakil PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nazir Zakaria juga mengingatkan Muslimat PAS supaya tidak terlalu tertumpu pada isu kepekaan dan kesamarataan gender.

"Muslimat perlu berhati-hati supaya tidak terpengaruh oleh ejen-ejen feminis yang anti-Islam," ujarnya.

Nazir berkata, semua sayap dalam PAS perlu berhati-hati apabila membuat ulasan terutamanya berkaitan dengan hukum dan prinsip perjuangan dan jangan emosional dan mudah melatah.

Konsep kahwin misyar menjadi isu hangat selepas Prof Dr Mahmud Zuhdi menyarankan lelaki berkahwin dengan wanita lanjut usia atau janda berada atau berpangkat bagi mengurangkan masalah ibu tunggal dan andartu.

Kumpulan-kumpulan wanita, termasuk Shahrizat membantahnya kerana bimbang ia dieksploitasi oleh kaum lelaki untuk berpoligami.