Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Takiyuddin: Cadangan agar parlimen bersidang lebih sehari pramatang
Diterbitkan:  Apr 25, 2020 1:51 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata kerajaan mengambil maklum tentang pandangan dan cadangan yang disuarakan Pakatan Harapan (PH) supaya persidangan Dewan Rakyat dijalankan lebih daripada sehari.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata beliau percaya pandangan tersebut bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami susunan keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan dan negara ketika ini.

Sebaliknya, Takiyuddin berkata dalam konteks sidang Parlimen 18 Mei ini, bagi kerajaan isu paling utama adalah keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan.

"Pejabat ini merujuk kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan bertarikh 23 April 2020 berkaitan Sidang Parlimen yang ditetapkan pada 18 Mei 2020.

"Keputusan kerajaan adalah berdasarkan keadaan dan perkembangan semasa, khususnya yang melibatkan usaha mengawal dan menamatkan ancaman wabak Covid-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani kesan-kesan jangka pendeknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis presiden PH pada 23 April memaklumkan pihaknya akan menghantar wakil gabungan itu untuk bertemu speaker Dewan Rakyat bagi menggesa persidangan Dewan Rakyat dijalankan lebih daripada sehari.

PH juga dilaporkan membantah persidangan yang akan dijalankan tanpa sesi soal jawab lisan, waktu pertanyaan menteri serta usul daripada wakil rakyat, dengan menyifatkan ia melanggar kelaziman dan peraturan mesyuarat Parlimen.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata kerajaan tidak bersedia untuk mengambil risiko, terutama apabila ia didasarkan kepada pertimbangan serta keputusan negara lain “yang tidaklah lebih baik kedudukan mereka” dalam mendepani wabak Covid-19.

"Pada saat kita telah hampir berjaya dalam usaha menangani Covid-19 dengan cara dan pendekatan kita sendiri, kerajaan tidak bersedia untuk mengambil risiko sebaliknya, terutama sekali apabila ia didasarkan kepada pertimbangan serta keputusan negara lain yang tidaklah lebih baik kedudukan mereka dalam konteks mendepani wabak itu.

"Kerajaan percaya dalam keadaan hari ini, kita bukanlah berdepan pertandingan siapakah yang lebih popular, tetapi keutamaannya ialah siapakah yang lebih berkesan,” katanya.

Tambah Takiyuddin, kerajaan juga akan terus dipandu oleh nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga pakar berkaitan khususnya bagi menjamin keputusan dan tindak tanduknya adalah berdasarkan fakta dan pertimbangan sahih untuk manfaat dan keselamatan semua pihak.

Dewan Rakyat akan bersidang buat kali pertama sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 18 Mei depan.

Bagaimanapun, persidangan kali ini tidak akan ada sesi soalan jawab lisan, soalan bertulis, usul dan sidang khas.

Sementara itu, sesi parlimen tersebut juga akan menyaksikan bekas perdana menteri dan juga Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, duduk di barisan pembangkang, meskipun partinya sebahagian daripada kerajaan.

Lihat Komen
ADS