Muktamar PAS lulus usul wajibkan pelajar Islam tutup aurat
Muktamar PAS meluluskan usul mendesak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya mewajibkan pemakaian pakaian menutup aurat di kalangan pelajar Islam di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Muktamar PAS meluluskan usul mendesak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya mewajibkan pemakaian pakaian menutup aurat di kalangan pelajar Islam di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Parti itu menyarankan agar peraturan tersebut dijadikan satu kewajipan atau etika berpakaian di kalangan pelajar Islam dan bukan lagi sebagai satu pilihan.
Desakan tersebut terkandung dalam usul yang dibawa oleh Dewan Muslimat PAS di muktamar PAS ke-52 di Kota Sarang Semut, Alor Star semalam.
Muslimat PAS juga mendesak kerajaan supaya mengarahkan pihak awam dan swasta serta sektor berkaitan yang mempunyai pakaian seragam sewaktu bekerja seperti MAS, AirAsia, hotel dan sebagainya, supaya memberi pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat.
Usul juga mendesak Majlis Mufti Kebangsaan supaya mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan secara serius dan tegas agar persoalan ini tidak menimbulkan sebarang salah faham yang berterusan.
Pihak mufti juga digesa supaya menyekat usaha pihak tidak bertanggungjawab mahu mengelirukan masyarakat berhubung isu ini.
K'jaan mesti tegas
Wakil Dewan Muslimat, Junainah Kassim berkata, akibat tiadanya ketegasan kerajaan dalam hal tersebut, terdapat majikan memberi kata dua kepada pekerja wanita beragama Islam berhubung soal pemakaian tersebut.
"Ini adalah suatu yang tidak wajar dan tidak adil.Kerajaan perlu bertegas bagi melindungi hak wanita Islam,"ujarnya.
Menurut beliau lagi, ketiadaan arahan kerajaan kepada pihak swasta atau sektor awam supaya memberi pilihan kepada wanita Islam untuk menutup aurat dalam kerjaya mereka, khususnya bagi organisasi yang mempunyai pakaian seragam rasmi, telah menimbulkan masalah dan dilema kepada wanita Islam.
"Tiadanya penegasan daripada pihak mufti mengenai kewajipan menutup aurat, juga menimbilkan polemik dan kekeliruan sehingga ada yang mengatakan menutup aurat hanya satu pilihan, bukannya kewajipan," tambahnya.
Dewan Muslimat PAS turut menyuarakan kebimbangannya terhadap percubaan pihak tertentu mempertikaikan pilihan memakai pakaian menutup aurat di sekolah.
Menurut Junainah, usaha-usaha mesti diambil bagi mematikan usaha-usaha yang mencabar prinsip Islam itu.

