Saranan PAS jumpa Majlis Raja-Raja Melayu
Kepimpinan PAS pusat digesa supaya mengadakan pertemuan dengan para mufti dan Majlis Raja-Raja Melayu agar mengambil tindakan terhadap usaha mana-mana pihak untuk mencabar kedaulatan Islam dan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Kepimpinan PAS pusat digesa supaya mengadakan pertemuan dengan para mufti dan Majlis Raja-Raja Melayu agar mengambil tindakan terhadap usaha mana-mana pihak untuk mencabar kedaulatan Islam dan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Sehubungan itu juga, Wakil Dewan Pemuda, Wan Azhar Wan Ahmad mengesa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan masyarakat Malaysia agar memahami dan menghormati kebebabasan beragama dan menghayati prinsip sebenar Artikel 11 perlembagaan Malaysia.
Ketika membentang usul murtad di Muktamar PAS ke-52 di Kota Sarang Semut, Alor Setar petang semalam, beliau juga menyarankan PAS mengarusperdanakan gerakan dakwah dan memberi penerangan dan kefahaman tentang Islam kepada masyarakat terutamanya bukan Islam.
Beliau juga mendesak PAS pusat supaya mempertegaskan prinsip parti kepada lawan atau kawan serta memastikan setiap prinsip Islam tidak dikompromikan apatah lagi dikorbankan dalam sebarang bentuk politik.
Selain ini, pihak berkuasa Islam di Wilayah Persekutuan juga didesak supaya mewujudkan kumpulan sukarela bagi membantu usaha dakwah, tarbiyah dan penguatkuasaan bagi membendung penularan gejala sosial.
Wan Azhar berkata, PAS perlu bersungguh-sungguh dan bertegas menangani gejala murtad dan gerakan-gerakan anti-Islam kerana ia adalah benteng terakhir Islam di negara ini.
Nazri jadi sasaran
Usul tersebut telah disokong oleh Dewan Ulama PAS dan diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan.
Sebelum itu, Wan Azhar juga mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz menjadi sasaran perwakilan di Muktamar PAS kerana menyokong forum anjuran Kumpulan Article 11 di Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.
Beliau menyifatkan Nazri sebagai tali barut kumpulan anti-Islam apabila menyifatkan mereka yang membantah forum anjuran Article 11 sebagai 'bodoh'.
Wan Azhar juga menyifatkan Nazri adalah menteri yang tidak mempunyai prinsip agama.
Pemuda PAS, katanya, juga menyesali tindakan menteri-menteri kabinet bukan Islam yang mempertikaikan hal ehwal Islam, moral dan sosial awam.

