Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu bapa terkandas di KL, bayi Rusia lahir di rumah terbengkalai

Pasangan Rusia, Yevgeny dan Natalia Pervin tidak menyangka impian mereka untuk mengelilingi Asia Tenggara akhirnya menyaksikan mereka terkandas di Kuala Lumpur dan anak kedua mereka Ivan dilahirkan di rumah terbengkalai di tengah-tengah bandar raya itu.

Mereka memulakan perjalanan pada 4 Okt 2019 dan merancang untuk kembali ke rumah mereka di Arkhangelsk, Rusia pada 22 Mac selepas melawat Thailand, Laos, Vietnam, China dan Malaysia.

Bagaimanapun, Yevgeny memberitahu Malaysiakini, perjalanan itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan pada 18 Mac.

"Kami datang ke Malaysia pada 9 Mac dan merancang untuk balik ke Rusia dari Thailand pada 22 Mac. Bagaimanapun, apabila PKP dikenakan kami bergegas ke sempadan Thailand tetapi mereka menyuruh kami patah balik kerana kami tidak mempunyai semua dokumen. Itu pada 20 Mac," katanya.

Apa yang lebih rumit adalah keadaan Natalia yang sarat mengandung. 

"Kami tidak mempunyai peluang untuk melakukan perjalanan lebih awal kerana anak pertama kami masih kecil. 

"Tetapi sekarang neneknya menjaga dia dan kami mempunyai peluang untuk berjalan di seluruh bahagian dunia, yang sentiasa menjadi impian kami," katanya.

Kembali ke KL

Pada mulanya, pasangan itu memutuskan untuk menunggu sehingga PKP berakhir sehingga 31 Mac. 

Bagaimanapun, apabila ia dilanjutkan pada fasa kedua, mereka sedar wang mereka mula kehabisan

"Pada 3 April kami menghubungi kedutaan Rusia untuk membantu kami pulang ke rumah. Pada mulanya mereka cuba membantu dan kami bergegas pulang ke Kuala Lumpur. 

"Saya juga mengakui ketika menghubungi mereka kali pertama, saya tidak menyebut bahawa isteri saya mengandung, "kata Yevgeny yang mempunyai Master dalam terjemahan dari universiti Northern Arctic.

Kedutaan itu meletakkan mereka di sebuah hotel di Jalan Ampang yang menurutnya sangat selesa.

Pada 4 April, Rusia mengumumkan pembatalan semua penerbangan pulang rakyatnya dari luar negara untuk menghalang kes import koronavirus.

Timbalan Perdana Menteri Tatyana Golikova kemudian mengumumkan bahawa ia hanyalah bersifat sementara bagi mengatur rakyatnya pulang dan kerajaan akan membuat jadual penerbangan baru untuk mereka.

Kementerian Luar Rusia berkata pada masa itu terdapat lebih daripada 26,000 rakyat Rusia di luar negara telah memohon untuk dipindahkan dan lebih separuh daripada mereka terkandas di Bangkok, Thailand.

Dilaporkan kerajaan Rusia telah memberikan Kementerian Luarnya 500 juta Rubles ($ 6.25 juta) untuk membantu rakyat dari negara itu yang terkandas dengan elaun harian sebanyak tiga kali makan.

Yevgeny mendakwa apabila kedutaan mendapat tahu bahawa isterinya sarat mengandung, mereka berubah fikiran.

"Pada 7 April mereka menawarkan satu dokumen yang tidak memihak kepada kami dan kami tidak menandatanganinya," dakwanya.

"Pada 11 April, kami diusir dari hotel dan tiada tempat untuk pergi.

"Kami diberi maklumat yang salah bahawa kelahiran di sini dikenakan bayaran AS$4,000 jadi kami ambil keputusan beranak di rumah. Tetapi kami malah tidak mempunyai rumah," katanya.

Rumah terbengkalai

Menariknya, pasangan itu menemui sebuah rumah terbengkalai di Jalan Mesra, Kuala Lumpur.

"Orang-orang begitu baik kepada kami. Pada mulanya kami masuk ke sebuah rumah secara haram, tapi kami bertemu dengan rakan pemiliknya dan mereka benarkan kami tinggal sebentar.

"Apabila orang-orang di sekitar mendengar keadaan kami, mereka menawarkan kami makanan, air - ada yang pasang kabel sehingga kami dapat elektrik. Saya harus membersihkan rumah dengan cepat."

"Rakyat Malaysia begitu baik kepada kami," kata Yevgeny dengan penuh emosi.

Pada 13 April, jam 6.15 pagi bayi Ivan selamat dilahirkan.

"Syukurlah semuanya baik-baik saja dengan kelahirannya. Sekiranya ada komplikasi, saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan."

Yevgeny mendakwa ketika kedutaan kembali kepadanya untuk menawarkan bantuan,ia sudah tidak diperlukan lagi.

"Saya bertemu dengan rakan Malaysia yang benar-benar hebat, seorang lelaki luar biasa bernama Ken yang melakukan penghantaran sayur-sayuran dari petani Cameron Highland. 

"Dia memberi saya beberapa kerja memuat dan memunggah di pangkalannya, jadi ini dapat membantu kami bertahan," jelasnya.

Pasangan itu juga dibantu oleh Inspektor Sinniah Rajoo dan Koperal Dayang Hartini Abang Ahmad dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur dengan membelikan lampin untuk bayi Ivan.

Bantahan kedutaan

Semalam, sejurus selepas Yevgeny bercakap dengan Malaysiakini, Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur memuat naik video selama 25 minit di Facebooknya mengenai kejadian ini.

Seorang kakitangan kedutaan yang hanya dikenali sebagai Pavel bercakap dalam Bahasa Malaysia dan memperincikan perbualan antara pasangan itu dan kedutaan.

Beliau mengatakan sebelum melahirkan bayi, Natalia diperiksa oleh doktor kedutaan yang mengesyorkan agar dia berjumpa pakar.

Namun, dia mengatakan cadangan itu ditolak pasangan tersebut, yang mengatakan mereka tidak mengambil insurans perubatan sebelum melakukan perjalanan panjang mereka.

Pavel juga mengatakan ketika menghubungi pihak berkuasa di kampung halaman pasangan itu, diketahui mereka dikategorikan sebagai kumpulan berpendapatan rendah dan menerima bantuan kewangan secara berkala.

Pavel mengatakan kedutaan menawarkan bayaran kepada pasangan itu untuk mengunjungi pakar tersebut tetapi tawaran itu ditolak dan mereka berkeras untuk melahirkan anak di rumah.

Pavel berkata pasangan itu juga marah dan mendakwa mereka ditekan oleh pihak kedutaan.

Beliau mengatakan hotel tempat mereka menginap telah meminta surat perubatan berhubung jangkaan tarikh kelahiran bayi, tetapi ditolak mereka.

Pasangan itu kemudian berpindah ke beberapa hotel yang berbeza, tetapi tidak ada hotel berminat memberikan tempat tinggal selepas diberitahu Natalia ingin melahirkan bayi di bilik hotel tanpa bantuan petugas perubatan, katanya.

Kedutaan bahkan menawarkan mereka untuk tinggal di kedutaan yang telah mereka persetujui.

Bagaimanapun mereka secara agresif berkeras untuk meninggalkan kedutaan itu pada jam 3.30 pagi, walaupun diberi amaran akan mendatangkan bahaya kepada bayi mereka, tambahnya.

Pavel mendakwa di kerajaan tempatan di Rusia secara sukarela mahu membayar bil hospital, tetapi pasangan itu tidak membalas mesej mereka.

Beliau mengatakan bahawa kedutaan juga berasa sedih kerana tidak dapat memahami pasangan berkenaan berhubung perkara itu.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS