Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK: Idea terima Bersatu kembali dalam PH tak bermaruah
Diterbitkan:  May 2, 2020 12:21 PM
Dikemaskini: May 3, 2020 1:52 AM

Pemuda PKR (AMK) membidas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) sedia menerima kembali Bersatu Johor.

Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Ab Razab berkata AMK secara tegas menolak idea untuk menerima kembali Bersatu sebagai anggota PH.

"AMK juga menyifatkan mana-mana idea untuk menerima kembali Bersatu ke dalam PH sebagai tidak bermaruah dan idea ini perlu ditolak oleh Majlis Presiden PH," katanya.

Ahmad Syukri juga menggesa pemimpin PH yang mahu menubuhkan kerajaan bersama Bersatu meninggalkan parti.

"AMK juga menggesa jika masih ada pemimpin dalam PH yang masih bermimpi untuk kembali menjadi kerajaan bersama Bersatu sama ada di peringkat pusat atau negeri, maka pemimpin tersebut boleh meninggalkan PH dan melompat ke Bersatu, Umno, PAS atau bersama gerombolan Azmin Ali," katanya.

Ahmad Syukri berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Salahuddin yang berkata PH bersedia menerima Bersatu Johor yang menurutnya dipinggirkan oleh pemimpin Umno dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Salahuddin membuat kenyataan itu semalam di tengah-tengah ketegangan antara Umno dan Bersatu di Johor susulan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan politik di agensi kerajaan.

Bersatu Johor sebelum ini mendakwa pelantikan politik, termasuk untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, tidak dilakukan secara adil dan menuduh Umno mengetepikannya.

Dalam kenyataan sama hari ini, Ahmad Syukri berkata pandangan Salahuddin itu adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili PH.

Katanya, sebarang keputusan atau pendirian berhubung jaringan strategik PH perlulah melalui Majlis Presiden PH.

"AMK juga menganggap kenyataan Salahudin itu sebagai tidak sensitif terhadap kekecewaan pendokong dan penyokong PH yang masih tidak boleh melupakan pengkhianatan sebilangan individu yang telah menyebabkan tumbangnya Kerajaan yang dipilih secara sah dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Bersatu sendiri telah memilih untuk keluar daripada PH bagi menjayakan pengkhianatan yang digerakkan oleh Mohamed Azmin Ali dan gerombolannya.

"Oleh itu adalah amat tidak wajar untuk Salahuddin secara mudah membuat kenyataan untuk menerima kembali Bersatu," katanya.

Sebaliknya, kata Ahmad Syukri, PH seharusnya menumpukan usaha untuk menjadi pembangkang yang kuat bagi memastikan mereka dapat kembali memerintah Malaysia tanpa ada risiko sabotaj daripada parti atau kumpulan yang kemaruk kuasa.

"Kekuatan PH ini perlu digarap di semua peringkat agar dapat menyentuh kembali akar umbi yang semakin keliru dengan pentadbiran Kerajaan hari ini yang dilihat bercelaru terutamanya pada masa negara berhadapan dengan ancaman wabak berbahaya," katanya.


Lihat Komen
ADS