Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Armada tolak Umno, mahu kembali kepada PH
Diterbitkan:  May 6, 2020 10:23 AM
Dikemaskini: 10:33 AM

Sayap Pemuda Bersatu (Armada) membuat keputusan menolak kerjasama dengan Umno, sebaliknya kembali bekerjasama dengan PH.

Armada berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri, serta pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

"Ahli-ahli mesyuarat telah berbincang dan pada akhirnya bersetuju untuk menetapkan pendirian rasmi sayap Armada, iaitu menyokong penuh pendirian Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan Umno.

"(Serta) mengembalikan mandat rakyat sebagaimana yang telah diberi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan," kata Armada dalam satu kenyataan hari ini.

Armada berkata, pendirian itu dicapai berdasarkan undian dengan dua pertiga anggota mesyuarat menyokong, dan selebihnya mengambil pendirian berkecuali.

Keputusan itu di tengah-tengah seruan agar Bersatu kembali kepada PH, seperti yang disuarakan timbalan presiden Mukhriz Mahathir.

Seorang lagi pemimpin Bersatu, Marzuki Yahya pula berkata PH merupakan pasukan terbaik seperti yang terbukti pada PRU ke-14.

“Ini jalan yang terbaik supaya bersatu kembali ke PH untuk tangani masalah negara yang ditinggalkan BN,” katanya. Jawatan Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu kini dalam pertikaian, susulan pergeseran antara Mahathir dengan presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Armada berkata Bersatu telah bersama PH sejak tempoh awal penubuhannya.

"Susah dan senang akan kita hadapi bersama sebagai satu keluarga," kata Armada.

Untuk rekod, sayap pemuda itu diketuai bekas menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang merupakan antara pemimpin parti yang menyokong Mahathir.

Pada Februari lalu, Muhyiddin Yassin selaku presiden membawa keluar Bersatu daripada PH, mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH.

Bersatu bakal mengadakan pemilihan parti, di mana Mukhriz dikatakan bakal mencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden.

Lihat Komen
ADS