Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Marzuki perjelas keputusan mesyuarat MPT Bersatu 23, 24 Feb
Diterbitkan:  May 8, 2020 10:33 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 dan 24 Feb lalu sebulat suara memberi kepercayaan kepada pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan, maklum Marzuki Yahya yang mengaku masih setiausaha agung Bersatu.

Beliau berkata mesyuarat itu tidak pernah memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH) sebagaimana yang dipertikaikan sesetengah pimpinan Bersatu kini.

Sebaliknya, Marzuki berkata hanya dua perkara yang jelas telah diputuskan MPT dalam mesyuarat itu.

"Selaku setiausaha agung Bersatu saya ingin menegaskan hanya dua perkara yang amat jelas diputuskan dalam mesyuarat terakhir MPT sebagai badan eksekutif tertinggi Bersatu pada 24 Februari lalu.

"Yakni, sebulat suara menolak peletakan jawatan Dr mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan sebulat suara menamakan Mahathir sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri.

"Mesyuarat MPT yang bermesyuarat pada 23 Februari juga ingin saya ulangi bahawa tiada keputusan secara rasmi untuk Bersatu keluar PH, walaupun perkara tersebut dibahaskan.

"Tetapi pada akhirnya keputusan sebulat suara memberi kepercayaan penuh kepada Dr Mahathir selaku pengerusi parti untuk membuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Oleh itu, Marzuki menegaskan kenyataan yang mengatakan keputusan MPT adalah untuk Bersatu keluar dari PH adalah tidak tepat dan salah sama sekali.

“Ingin saya peringatkan pemimpin utama parti dan kuasa mutlak untuk memimpin Bersatu adalah Dr Mahathitr selaku pengerusinya, selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti.

"Segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir selaku pengerusi selain selaras Fasal 16.2," katanya.

Marzuki berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin memberi amaran mana-mana ahli parti yang membelakangkan keputusan parti dan menjalin kerjasama dengan parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahlian secara serta-merta.

Radzi semalam merujuk Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan keahlian anggota Bersatu gugur serta merta sekiranya “menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain”.

Tak timbul isu Dr M gugur keahlian Bersatu

Beliau juga mengingatkan keputusan sekumpulan anggota Parlimen Bersatu memilih Muhyiddin sebagai calon perdana menteri tidak boleh mengatasi keputusan MPT, dan parti tidak terikat dengan keputusan itu.

Dalam pada itu, Marzuki juga mengingatkan bahawa Dr Mahathir masih pengerusi parti yang sah dan mempunyai kuasa mutlak memimpin parti, seperti ketetapan perlembagaan Bersatu.

Justeru, katanya tidak timbul isu Dr Mahathir gugur keanggotaannya di dalam Bersatu.

"Di mana salah laku yang dilakukan oleh Dr Mahathir yang melanggar peraturan parti sehingga boleh menggugurkan keahliannya?

"Sebagai anggota parlimen Langkawi beliau berhak memutuskan apa jua keputusan berlandaskan mandat yang diberi oleh rakyat dan juga pengundi di Langkawi.

"Kenyataan bahawa gugur keahlian secara automatik menurut Fasal 10.2.3 adalah tidak terpakai langsung," tegasnya.

Sebelum Marzuki, ahli MPT Ulya Aqamah Husamudin (gambar, bawah) juga mendedahkan perkara sama dan berkata Radzi tidak telus serta menyembunyikan apa yang sebenarnya diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

Marzuki dipecat dari jawatannya pada hujung Mac lalu selepas Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Tempatnya digantikan oleh Hamzah Zainuddin, bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu pada Disember 2018, lapan bulan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Bagaimanapun, Dr Mahathir selaku pengerusi Bersatu mengesahkan Marzuki masih setiausaha agung parti.

Hamzah diketahui mendukung Muhyiddin sementara Marzuki memihak kepada Mahathir.

Bersatu terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan Dr Mahathir tidak merestui tindakan itu.

Bersatu kini membentuk gabungan atas nama Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), serta PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil di Sabah.

Rujuk fakta minit mesyuarat

Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla yang pernah bertindak bagi pihak parti dan Mahathir berkata, polemik mengenai kedudukan Bersatu ini boleh dijernihkan dengan merujuk pada minit mesyuarat berkenaan.

Katanya, minit mesyuarat itu boleh mengesahkan fakta yang sebenar.

“Jika pun ada keputusan MPT untuk keluar dari PH, adakah keputusan lanjut (oleh MPT) untuk bercantum dengan parti-parti lain untuk tujuan menubuhkan kerajaan baru.

“Di mana keputusan MPT Bersatu untuk bergabung dengan Umno, PAS dan sebagainya untuk menubuhkan kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional?” Soalnya, dalam satu kenyataan lisan di Facebooknya.

Haniff selanjutnya menyoal, sekiranya tiada keputusan MPT, tidakkah pemimpin dan ahli Bersatu yang kini menjalin kerjasama dengan Umno dan PAS juga telah melanggar perlembagaan parti seperti yang dirujuk oleh Radzi.

“Jangan lupa, lurus jarum lurus kelindan,” katanya, mengingatkan bahawa perlembagaan parti terpakai kepada semua ahli Bersatu.

Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Februari, selepas Muhyiddin bertegas mahu membawa Bersatu keluar dari PH, seperti yang dibahaskan dalam mesyuarat MPT sehari sebelumnya.

Muhyiddin mengumumkan tindakan Bersatu keluar PH tidak lama selepas Mahathir disahkan menyerah surat letak jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selepas kemelut politik hampir seminggu susulan peristiwa itu, Muhyiddin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri untuk mengetuai kerajaan gabungan baharu Bersatu bersama Umno dan BN, serta PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak. 

Lihat Komen
ADS