Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Beri pengundi pilihan jika wakil rakyat lompat parti - Penganalisis politik
Diterbitkan:  May 9, 2020 12:38 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Pengundi perlu diberikan pilihan untuk menyokong seseorang wakil rakyat yang melompat parti atau sebaliknya, kata penganalisis politik dari Sunway University, Prof Wong Chin Huat.

“Kalau mana-mana (wakil rakyat) lompat parti, bagi pengundi pilihan, sama ada mereka menyokong keputusan itu atau tidak. Kalau pengundi gembira dengan lompat parti itu, siapa kamu untuk menidakkan mereka?

“Kalau mereka tak gembira, biar (berikan peluang) mereka pecat wakil rakyat itu, dan dapatkan (wakil rakyat) yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar reformasi pilihan raya sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan menuju ke hadapan, anjuran Bersih 2.0, dengan kerjasama Kofi Annan Foundation dan Global Bersih.

Webinar itu turut disertai timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom; Presiden Kofi Annan Foundation, Alan Doss; pengerusi Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (Rose), Ann Teo, serta dikendalikan oleh pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann.

Sementara itu, Wong turut mencadangkan reformasi terhadap peruntukan sesebuah kawasan melalui dana pembangunan kawasan (constituency development fund).

Kata Wong, amalan kini memberi kelebihan buat kerajaan pusat apabila peruntukan di peringkat negeri hanya diberikan kepada wakil rakyat blok kerajaan.

Peruntukan untuk kawasan di bawah wakil rakyat pembangkang pula diagihkan menerusi penyelaras DUN, yang selalunya merupakan bakal calon kerajaan di kawasan tersebut pada pilihan raya akan datang.

Justeru, Wong mencadangkan peruntukan kawasan diberikan kepada semua wakil rakyat yang dipilih, dan diletakkan di bawah skop tugas dan bukannya sebagai pemberian ihsan atau budi bicara kerajaan.

Selain itu, Wong turut mencadangkan reformasi di parlimen supaya anggota parlimen diberikan hak untuk mencadangkan polisi, dan bukan hanya mengambil bahagian dalam perdebatan semata-mata.

Dengan itu, katanya, ia dapat memberikan lebih peranan dan persaingan buat ahli-ahli parlimen penyokong kerajaan, serta ahli-ahli parlimen pembangkang untuk turut serta dalam mengemukakan cadangan polisi.

Sementara itu, Azmi (gambar atas) dalam webinar sama, turut menceritakan mengenai apa yang telah dan sedang dilakukan oleh SPR untuk menambahbaik sistem pilihan raya.

Antara penambahbaikan yang sedang dikaji adalah berkenaan kaedah lantikan pesuruhjaya, yang katanya dibuat dalam cara “sangat misteri” pada masa ini.

Azmi membayangkan agar SPR mencontohi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang mempunyai prosedur telus dalam soal pencalonan dan pelantikan ahlinya.

Ini katanya, bersesuaian dengan status SPR itu sendiri yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik di negara ini.

“Kamu pun pasti tahu, kami pesuruhjaya, memang betul-betul bebas.

“(Kedudukan) Dijamin sepanjang tempoh lantikan. Mereka tak boleh pecat kami. Belum lagi,” katanya berseloroh. 

Lihat Komen