story images
story images
mk-logo
Berita
'Jangan jadikan Covid-19 alasan sekat tugas media di Dewan Rakyat'
Diterbitkan:  May 9, 2020 10:56 PM
Dikemaskini: 4:15 PM

Kumpulan wartawan menggesa supaya kebenaran petugas media hadir membuat liputan sidang Dewan Rakyat yang akan datang turut diberikan kepada semua organisasi media lain.

Ini selepas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan bahawa hanya "media kerajaan" sahaja yang akan dibenarkan masuk ke bangunan parlimen, memberikan prosedur operasi standard (SOP) wabak Covid-19 sebagai alasan.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Farah Marshita Abdul Patah memberitahu Malaysiakini, langkah pencegahan Covid-19 masih dapat dilaksanakan tanpa mengekang kehadiran petugas media di Dewan Rakyat.

"Kami faham dan menghargai usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan ketika Covid-19 tetapi hal ini dapat dilakukan dengan cara di mana media diberi akses (sementara) mematuhi standard keselamatan pada masa yang sama [...]

"Mengapa tidak membenarkan akses kepada pengamal media (lain), mungkin dihadkan satu wakil media daripada setiap penerbitan?

"Dan pastikan jarak sosial diikuti sambil menyediakan penutup muka dan pembersih tangan?" Soal beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Indipenden (CIJ) Wathshlah Naidu berkata sekatan tersebut akan membatasi hak rakyat terhadap maklumat mengenai proses penggubalan undang-undang.

"Sekarang hanya akan ada satu pesan atau tanggapan, bahawa tidak diizinkan pendapat berlainan untuk diketahui masyarakat. Ini sangat membimbangkan kerana orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku dan dapat membentuk pendapat mereka sendiri berdasarkan pelbagai sumber maklumat [...]

"Sangat penting supaya keputusan itu yang mengekang akses media ditarik kembali dan semua media diberi kesempatan yang adil dan setara, serta akses wartawan untuk hadir sidang parlimen," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Lintas langsung di tv tak memadai

Menurut Wathslah walaupun langkah pencegahan Covid-19 sangat mustahak tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat hak wartawan untuk bertanya soalan kepada MP dan membuat liputan sidang Dewan Rakyat.

Kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) pula berkata "tiada keperluan jelas" untuk menyekat kehadiran wartawan selain daripada media kerajaan.

"Semua petugas media mematuhi SOP Kementerian Kesihatan bagi mencegah jangkitan Covid-19," katanya dalam suatu kenyataan.

Bagaimanapun, Ariff telah memaklumkan prosiding Dewan Rakyat pada 18 Mei ini akan disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen kerajaan.

Menurut Geramm, lintas langsung sidang parlimen "tidak memadai" kerana ia menghalang media bukan kerajaan daripada bertanyakan soalan.

Sidang Dewan Rakyat akan datang ditanggapi sebagai penting dari sudut pelaporan nilai berita kerana ia kali pertama diadakan selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pembentukan gabungan parti pemerintah baru, Perikatan Nasional (PN).

PN, yang dikritik kerana cuma mengadakan sidang singkat hanya satu hari sahaja, telah mengumumkan rancangan untuk mengemukakan empat usul dan dua rang undang-undang.

Bagaimanapun, semua mata tertumpu kepada sama ada usul tidak yakin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dibawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan berjaya dibahaskan Dewan Rakyat atau tidak.


Laporan tambahan oleh Anabelle Lee. 

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS