Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendekatan k'jaan tangani warga asing kurang memuaskan - Jomo
Diterbitkan:  May 10, 2020 8:54 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berkata pendekatan kerajaan terhadap warga asing dalam menangani wabak Covid-19 setakat ini kurang memuaskan.

Katanya, tindakan warga asing melarikan diri daripada pusat kuarantin akibat serbuan di sesetengah kawasan menunjukkan kerajaan perlu menggunakan pendekatan lebih menyeluruh menangani isu itu.

"Hampir 150 (warga asing) melarikan diri (di pusat kuarantin akibat operasi imigresen). Kita juga memberikan isyarat yang salah dengan memberitahu warga asing harus membayar untuk ujian Covid-19.

"Ini mungkin perkara buruk anda lakukan (takutkan mereka untuk menghadiri ujian saringan)," kata panelis itu dalam webinar 'Covid-19 vs Malaysia: The New Normal & The Path to Recovery' hari ini.

Sebaliknya, Dr Jomo yang merupakan penasihat ekonomi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan hari ini sepatutnya memberikan insentif agar warga asing tampil menjalani ujian Covid-19, tanpa mengambil kira sama ada mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau tidak.

"Ada antara kami memberi cadangan satu jenis program pengampunan awam selama setahun kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah dan permit kerja setahun kepada mereka yang berkerja di sini.

"Ini akan membuat banyak ejen pekerja asing tidak puas hati. Tapi, ia (insentif ini) sangat perlu untuk mereka tampil ke depan," katanya.

"Kita perlu ambil tindakan holistik. Malangnya, ia masih kurang memuaskan walaupun sudah lebih dua bulan negara kita di bawah PKP (Perintah kawalan pergerakan)," kata Dr Jomo ketika menjawab soalan moderator Mistika Idris.

Tindakan Jabatan Imigresen mengadakan operasi besar-besaran di kawasan Masjid India pada 1 Mei lalu menerima kritikan badan hak asasi manusia kerana menjejaskan usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19.

Langkah tersebut dikatakan memberi isyarat yang salah bahawa semua warga asing akan menjadi sasaran tangkapan jika tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Terdapat juga kes di mana pekerja asing melarikan diri selepas menjalani ujian saringan Covid-19 atau meloloskan diri ketika ditempatkan di pusat kuaratin.

Berkongsi kebimbangan Dr Jomo, pakar sistem kesihatan Dr Khor Swee Kheng berkata tumpuan tidak seharusnya terarah kepada warga asing semata-mata, sebaliknya turut diberikan kepada pelarian dan pencari suaka. 

"Saya nampak buat masa ini, kerajaan perlu menggunakan kepakaran individu-individu dari luar sektor awam untuk menangani isu warga asing.

"Bukan sahaja migran antara 2 juta hingga 4 juta yang sah dan tidak sah, kita juga perlu fikir 100,000 pelarian, lebih kurang 50,000 pencari suaka dan 20,000 orang tidak bernegara di Malaysia. 

"Mereka adalah penduduk Malaysia yang tidak mempunyai taraf warga negara. Kita perlu risau tentang mereka atas dasar kesihatan awam," katanya.

Menurutnya, kluster baru yang melibatkan warga asing merupakan salah satu kebimbangan berlakunya penyebaran wabak.

"Walaupun kita larang orang luar negara masuk ke negara kita pada masa ini,  kita masih perlu menjaga penduduk di sini termasuk warga asing atas prinsip kesihatan awam.

"Kita hanya boleh mengekang wabak ini dengan memastikan kesihatan semua penduduk Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS