Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nadma sahkan enam warga asing lolos dari pusat kuarantin KL

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengesahkan bahawa enam warga asing yang sedang dalam siasatan berkaitan dengan kes Covid-19 telah melarikan diri dari sebuah pusat kuarantin di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Menurut seorang jurucakap yang dihubungi oleh Malaysiakini, kejadian itu bagaimanapun berada di bawah bidang kuasa polis kerana pasukan itu bertanggungjawab terhadap keselamatan di semua pusat kuarantin.

"Pada jam 5.34 petang 4 Mei, Kementerian Kesihatan telah membuat laporan polis mengenai kes di mana empat warga Indonesia dan dua orang Bangladesh melarikan diri dari pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Antarabangsa, di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

"Kawalan keselamatan di pusat kuarantin adalah di bawah tanggung jawab polisi, dan diselaraskan jawatankuasa bencana negeri dan daerah. Nadma yakin bahawa pihak polis telah menjalankan semua langkah keselamatan sesuai dengan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

"Namun, di sebalik kawalan keselamatan, siasatan menunjukkan bahawa orang yang disiasat (PUI) melarikan diri dengan memanjat pagar di belakang Blok 1 dan 4 (di bangunan itu) yang tidak dipasang dengan kawat berduri," kata seorang jurucakap dalam satu kenyataan ringkas.

Menurut jurucakap itu, terdapat sejumlah 242 PUI di pisat kuarantin ketika kejadian itu berlaku.

Susulan kejadian itu, kawalan keselamatan telah ditingkatkan di lokasi tersebut.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris malam tadi melaporkan bahawa sekumpulan warga asing, yang menghuni di Selangor Mansion, Menara City One dan Kampung Baru yang disyaki positif kes koronavirus telah ditempatkan di pusat kuarantin oleh pihak berkuasa untuk dipantau.

Akhbar The Star sebelum ini melaporkan bahawa kejadian itu membabitkan tujuh warganegara asing dan bukannya enam.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim untuk mendapatkan ulasannya berhubung kejadian itu.

Sementara itu, portal berita Free Malaysia Today melaporkan bahawa sekumpulan lebih 100 pekerja asing sedang bersembunyi setelah pihak berkuasa kesihatan menjalankan ujian saringan calitan Covid-19 ke atas mereka.

Memetik sumber yang tidak disebutkan namanya, portal tersebut melaporkan bahawa sekitar 145 orang asing sedang melarikan diri setelah pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan terhadap mereka yang mempunyai hubungan dengan pesakit positif Covid-19 di tapak pembinaan Pavilion Embassy di Kuala Lumpur.

“Mereka melarikan diri selepas pasukan perubatan melakukan ujian saringan dan ketika polis dalam perjalanan untuk mengepung kawasan itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa mempunyai butiran mereka yang diambil ketika ujian saringan dan keputusannya mungkin diketahui hari ini.

Menurut laporan itu, 11 daripada pekerja yang melarikan diri kemudiannnya berjaya ditemui dan ditahan.

Pada Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan bahawa pihak berkuasa kesihatan berjaya mengesan sekumpulan jangkitan virus baru di tapak pembinaan itu, setelah 28 pekerja di situ diuji positif dengan Covid-19.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS