Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangkitan Covid-19 di Perak beri gambaran cabaran pembukaan semula ekonomi

Ketika Putrajaya membuat keputusan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP), kisah jangkitan Covid-19 yang gagal dikesan dalam sebuah keluarga di Perak memberi sorotan cabaran yang dihadapi dalam membendung wabak itu ketika rakyat sudah mula kembali bekerja.

Sebuah keluarga dari Perak - terdiri daripada tujuh orang - mematuhi PKP ketika berada di Manjung selama hampir dua bulan namun menerima kejutan apabila seorang ahli keluarganya yang baru ingin kembali bekerja di Johor telah disahkan positif Covid-19.

Anak kedua keluarga tersebut, berumur 29, telah membuat saringan pemeriksaan Covid-19 di sebuah hospital swasta di Johor Bahru pada 5 Mei lalu ekoran syarat yang ditetapkan majikannya untuk kembali bekerja.

Keputusan saringan tersebut mendapati dia “positif lemah” (weak positive). Keputusan tersebut selalunya dikesan pada pesakit Covid-19 yang hampir sembuh.

Tidak jelas berapa lama dia telah dijangkiti atau adakah dia dijangkiti virus tersebut di tempat kerjanya di Johor, atau dijangkiti di Perak ketika dia pulang sejurus sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

Penemuan jangkitan tersebut mendorong pihak berkuasa untuk membuat saringan terhadap enam ahli keluarganya pada 9 Mei dan sehari selepas itu, didapati kakaknya - berusia 30 tahun - turut positif Covid-19.

Sepanjang PKP, keluarga tersebut tidak megesyaki mana-mana ahli keluarga yang terkesan dengan wabak tersebut. Kedua-dua kakak tersebut juga tidak menunjukkan apa-apa gejala.

Jangkitan itu mungkin tidak dapat dikesan jika bukan kerana syarat saringan pemeriksaan yang dikenakan oleh syarikat.

Jangkitan itu turut menyebabkan kembalinya Covid-19 di Perak setelah hampir dua minggu tiada kes di negeri itu.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama kedua-dua individu dalam ahli keluarga itu bagi menghormati privasi mereka.

Anak ketiga dalam keluarga itu - yang bercakap dengan Malaysiakini - Nur Farhana Fazlin, berkata kakaknya yang berusia 29 tahun telah difitnah oleh netizen yang mendakwa kakaknya membawa virus tersebut dari Johor ke Perak.

“Dia disahkan positif di Johor dan kini berada di Johor.

“Tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) tetap merekodkan kesnya di Perak (statistik),” katanya ketika dihubungi.

“Kesemua ahli keluarga lain telah dibawa untuk kuarantin setelah kakak saya (yang berusia 30 tahun) positif di sini (Perak),” tambahnya.

Farhana berkata dia kini berada dalam kuarantin bersama kedua-dua orang tuanya, adik dan dua anak saudara lelaki di sebuah fasiliti di Ulu Kinta.

Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming semalam menjelaskan bahawa dua kes yang direkodkan di daerah tersebut melibatkan dua adik-beradik tersebut dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berhubung jangkitan tersebut.

PKP mula berkuat kuasa pada 18 Mac. Bagaimanapun, susulan penurunan kes baru-baru ini kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), yang menyaksikan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan bahawa PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun.

Muhyiddin turut menganggarkan bahawa 6.64 juta orang awam telah kembali bekerja sejak awal bulan ini atau anggaran sebanyak 43.6 peratus tenaga kerja rakyat Malaysia.

 

Lihat Komen
ADS