Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya masih MB - Mukhriz
Diterbitkan:  May 13, 2020 2:45 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Mukhriz Mahathir mempertahankan beliau masih menteri besar Kedah walaupun pembangkang mendakwa beliau telah hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Suasana politik di Kedah masih lagi terkawal, saya masih lagi menteri besar dan kerajaan masih lagi wujud, maka tidak benarlah dakwaan dari mana-mana pihak bahawa kerajaan ini telah jatuh semalam, katanya. 

"Ada beberapa proses lagi yang perlu dilaksanakan termasuklah yang melibatkan kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah sebelum perkara seperti itu boleh berlaku.

"Jadi, sebelum ia berlaku maka kerajaan ini masih lagi beroperasi seperti biasa dan sebab itu saya punya mesyuarat exco pun boleh berlangsung hari ini," katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah, hari ini.

Mukhriz berkata demikian setelah mempengerusikan mesyuarat exco hari ini, ketika menjawab soalan pemberita.

PH Kedah dan Mukhriz hilang majoriti selepas Adun Sidam dan Lunas mengumumkan keluar PKR (bawah) dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Susulan perkembangan itu, PAS Kedah mengumumkan PN mempunyai majoriti mudah, serta mendapat sokongan empat Adun Bersatu, untuk menubuhkan kerajaan baru.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Adun Jerlun berkata terdapat prosedur yang perlu diikut untuk menukar kerajaan.

"Kita tak buat keputusan berdasarkan sidang media, kita perlu ada koresponden secara rasmi daripada pihak yang berautoriti.

"Bukan daripada pihak pembangkang, melalui sidang media... kalau saya tengok sidang media saya maka anggap dah terjadi dah. Belum lagi, kita kena patuh pada Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri Kedah.

"Jadi, jelas dinyatakan di situ siapa yang akan menentukan dan sebagainya," katanya.

Menurut Mukhriz, mesyuarat Exco hari ini turut memutuskan akan mengesyorkan kepada Sultan Kedah bahawa isu sokongan kepada menteri besar perlu dipastikan melalui sidang Dewan Udangan Negeri (DUN).

"Saya ingat cara itu lebih terbuka. Pihak pembangkang sekiranya mereka berhasrat boleh mengusulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar atau pun pihak kerajaan boleh mengusulkan undi percaya. Kedua-dua cara itu sama sahaja.

"Jadi, di pihak sana sekiranya mereka mempunyai jumlah yang mencukupi maka hilanglah majoriti bagi kerajaan dan proses itu akan berjalan macam biasa," katanya.

Sidang DUN Kedah, gambar hiasan

Tambah Mukhriz, usul di sidang DUN lebih wajar kerana sokongan melalui akuan berkanun boleh diragui, apabila wakil rakyat berubah-ubah sokongan, seperti yang dilihat berlaku di Putrajaya sebelum ini.

Malah, katanya, semasa beliau disahkan kekal sebagai menteri besar selepas pertukaran kerajaan di persekutuan, semua wakil rakyat Bersatu dan PH juga menandatangani akuan berkanun menyokongnya.

"Sebelum ini sewaktu kerajaan PN ditubuhkan di peringkat persekutuan perkara yang sama dipersoalkan, adakah kerajaan di Kedah ini sudah tumbang. Jadi, saya balik ke Kedah dan buat perjumpaan dengan semua Adun-adun PH dan Bersatu dan semua juga tandatangan SD, menyokong saya sebagai menteri besar.

"Dan untuk mewujudkan apa yang dikenali sebagai kerajaan Bersatu-PH di Kedah ini. Jadi, isu SD ini bukanlah kata tak terpakai. Tapi, kadang-kadang itu dalam satu hari boleh tandatangan dua SD. Pagi sebelah sini, petang sebelah sana,” katanya.

Justeru itu, Mukhriz berkata beliau tidak boleh berpegang kepada apa yang dinyatakan ketua pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

"Saya tak bolehlah nak memegang kepada kenyataan ketua pembangkang yang menyatakan dia cukup (majoriti). Dia kena ikut proses yang betullah, bukan dengan hanya buat sidang media. saya pun tak nampak sidang media itu ada 22 atau 23 Adun.

"Jadi, macam mana saya nak pastikan? Setakat ini kita berfungsi seperti biasa," tambahnya.

Lihat Komen
ADS