mk-logo
Berita
'Sidang Dewan Rakyat tanpa perbahasan boleh dicabar di mahkamah'
Diterbitkan:  May 15, 2020 1:25 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Kesahihan sidang Dewan Rakyat selama satu hari yang telah disingkatkan dengan agenda hanya untuk mendegar titah diraja tanpa sebarang perbahasan boleh dicabar di mahkamah, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.

Dalam satu tulisan di Facebooknya hari ini, Haniff berkata kali terakhir Parlimen bersidang pada 5 Disember tahun lalu dan sidang berikutnya perlu diadakan dalam tempoh enam bulan yang mana tarikh akhirnya pada 5 Jun seperti peraturan Dewan Rakyat.

"Persidangan Dewan Rakyat yang dimaksudkan di dalam Perlembagaan Persekutuan semestinyalah satu persidangan sebenar melibatkan perbahasan dan persoalan serta jawaban oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih semasa PRU-14 yang berjumlah 222 orang itu

"Maka, dengan cuma adanya pembentangan 'Titah Diraja' oleh kebawah duli Yang di-Pertuan Agong, tanpa ia dibahaskan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat langsung, boleh membawa maksud, sekiranya dicabar di mahkamah, bahawa tiada mana-mana persidangan Dewan Rakyat yang sebenar yang berlaku pada 18 Mei itu kelak.

"Dan ini akan mendedahkan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof kepada risiko ketiadaan pengadaan apa-apa persidangan Dewan Rakyat yang sah dalam tempoh enam bulan selepas tarikh 5 Dis 2019 itu," kata Haniff dalam tulisannya itu.

Untuk rekod, Haniff sememangnya dikenali telah mewakili pelanggan berprofil tinggi dalam kes-kes politik, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini mendesak agar persidangan parlimen diadakan secara penuh.

Mahathir baru-baru ini telah mengemukakan notis usul untuk undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Haniff memetik bahawa di bawah undang-undang negara, kegagalan mengadakan persidangan Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan akan mengakibatkan pembubaran Parlimen ke-14 secara automatik.

"Ini akan membuat negara berisiko terpaksa mengadakan pilihan raya umum ke-15 segera setelah itu, walaupun kita belum sepenuhnya keluar dari situasi Covid-19."

Dewan Rakyat pada awalnya dijadualkan bersidang pada 9 Mac untuk sesi pertamanya tahun ini, tetapi tarikhnya ditangguhkan setelah Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas krisis politik "Langkah Sheraton".

Bulan lalu, Dewan Rakyat mengeluarkan notis lain bahawa persidangan yang telah dijadualkan semula pada 18 Mei ini, hanya akan diadakan selama satu hari kerana negara masih terkesan dengan Covid-19.

Sebelum ini, persidangan dijadualkan berlangsung selama 15 hari antara 18 Mei dan 23 Jun.

Bagaimanapun sidang Parlimen disingkatkan dan hanya mempunyai satu agenda iaitu titah diraja pada pembukaan sidang oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia sekaligus menyaksikan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional tidak akan berlaku.

Dalam satu kenyataan pada 13 Mei, speaker dewan mengatakan bahawa dia telah menerima surat dari Muhyiddin sebagai Ketua Dewan yang mengatakan bahawa disebabkan wabak Covid-19 yang berterusan di negara ini, Dewan Rakyat hanya akan bersidang untuk titan pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong pada pukul 10 pagi dan persidangan akan berakhir sejurus selepas itu.

Sementara itu Haniff berkata pandemik Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan pematuhan terhadap keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Kesemua urusan tadbir urus negara Malaysia, walaupun berhadapan dengan apa jua musibah mahupun bahaya, masih wajib dilaksanakan dalam pematuhan tegas keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Dan sekiranya tidak, ianya boleh menjadi tidak sah dan tercabar serta wajib diperbetulkan kelak, dengan rakyat yang sekali lagi perlu mengalami kesan buruk dan kerugian nanti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS