Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir jangan hipokrit isu kes mahkamah Riza, kata Takiyuddin
Diterbitkan:  May 16, 2020 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata kerajaan berharap Dr Mahathir Mohamad tidak bersikap hipokrit dengan mengatakan beliau tertanya-tanya dan tidak faham dengan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, dalam kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Pemimpin PAS itu berkata ini kerana keputusan itu dibuat oleh peguam negara dan dilaksanakan oleh timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes tersebut pada akhir 2019.

“Saya merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir tentang tindakan Mahkamah Sesyen memberikan pelepasan tanpa pembebasan (discharge not amounting to acquittal) kepada Riza Aziz baru-baru ini.

“Kerajaan berharap Dr Mahathir tidak bersikap hipokrit dengan mengatakan beliau ‘tertanya-tanya’, keliru dan tidak faham terhadap suatu keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ini pada akhir tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Riza pada Khamis dilepas tanpa dibebaskan daripada lima pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Dalam persetujuan yang dicapai antara pihak Riza dan pendakwaan, beliau dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Ekoran itu, Mahathir antara lain menyuarakan kekhuatirannya berkenaan persetujuan itu dan mempersoalkan jika pihak yang didakwa atas tuduhan mencuri boleh terlepas daripada tindakan jika memulangkan semula apa yang dicurinya.

"Dia curi berbilion-bilion...Dia bagi balik kepada kerajaan. Dia kata kepada kerajaan, 'Nah, duit yang aku curi. Sekarang ini, jangan ambil tindakan terhadap aku.' Kita pun kata, 'Sudah bagi balik duit okey lah'," katanya.

Menjelaskan bahawa beliau tidak mempersoalkan keputusan mahkamah, Mahathir pada masa sama berkata ia menunjukkan undang-undang mungkin perlu dipinda.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata
kenyataan Mahathir tidak munasabah sebagai bekas perdana menteri.

"Kerajaan berharap Dr Mahathir tidak terus bertindak mengelirukan rakyat dengan mengatakan beliau ‘keliru’.

“Kerajaan PN akan terus bertindak mengikut undang-undang dan berpegang kepada prinsip kebebasan badan kehakiman dan proses perundangan yang sah,” katanya.

Lihat Komen
ADS