Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masa PH pun Agong sebut ‘kerajaan beta’ - Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim membidas sesetengah pihak yang menggunakan ungkapan “kerajaan beta” oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dijadikan hujah pengiktirafan terhadap kerajaan sedia ada.

Katanya, istilah itu telah digunakan sejak pentadbiran perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman lagi.

“Masa kerajaan Tunku Abdul Rahman, dia kata kerajaan beta, dan puji memanda perdana menteri, kemudian masa Tun Razak, kerajaan beta, masa Pakatan Harapan (PH), kerajaan beta.

“Saya ingat ada tokoh pemuda Bersatu, yang sebelah sana (blok Muhyiddin), dia tak faham. Tengok? Tuanku kata kerajaan beta, maknanya ini dia iktiraf. Bukan,” katanya.

Anwar Ibrahim 

Meskipun tidak merujuk secara langsung, Anwar dipercayai merujuk tokoh pemuda Bersatu yang ada membuat satu hantaran memetik “kerajaan beta” dalam titah diraja, disertai perkataan Arab “khalas” (selesai).

Hantaran itu bagaimanapun didapati dipadam.

Menjawab beberapa soalan terpilih pengguna Facebook, Anwar berkata kebiasannya kumpulan yang mendraf titah diraja dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri.

Kemudian, kaanya, ia dibawa kepada perdana menteri untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Namun, katanya, ada juga beberapa perkara yang dimasukkan oleh Agong sendiri.

Secara berseloroh, Anwar mengimbau bahawa pernah terjadi sebelum ini apabila Agong sendiri memotong kata-kata pujian yang terlampau banyak terhadap perdana menteri dalam draf titah diraja.

‘Profesor madya apa pun saya tak tahulah’

Sementara itu, Anwar turut membidas tokoh akademik yang mempertikaikan gesaan pemimpin PH yang mahu membahaskan titah diraja, yang menurutnya, pandangan “keliru”.

“Ada saya baca profesor madya, saya kata profesor madya apa pun saya tak tahulah. Dia fahamkah perlembagaan? Dia fahamkah cara parlimen? Sistem kita, Agong menyampaikan pandangan, titah, dan titah itu adalah menjelaskan dasar kerajaan yang ada.

“[...] Ini apalah, sudah 62 tahun merdeka , ada yang madya belum bermaya untuk beri pandangan lebih objektif,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, kata Anwar, oleh kerana perbahasan titah diraja sememangnya menjadi amalan di parlimen, maka meminta untuk titah tersebut dibahaskan tidak boleh dianggap sebagai perbuatan derhaka kepada Agong.

Tambahnya lagi, ada keadaan di mana usul menyokong titah itu boleh juga dipinda bagi memberikan pandangan tambahan.

“Jadi kita sebagai pembangkang, menjunjung kasih kepada titah tuanku dan hargai sumbangan tuanku, pandangan tuanku, tapi beri juga pandangan tentang sanggahan terhadap kerajaan yang ada,” katanya lagi.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa ada pensyarah yang berpendapat bahawa ahli Dewan Rakyat tidak harus mempersoal titah Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan penggal parlimen, dan harus menjunjung kasih titah berkenaan.

Lihat Komen
ADS