Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Masa depan politik Dr M kian malap, tapi ada '9 nyawa'

Susulan krisis dalaman Bersatu, penganalisis berpendapat masa depan politik Dr Mahathir Mohamad akan menjadi malap, terutamanya selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengesahkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi parti berkenaan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Awang Azman Awang Pawi, berpendapat berdasarkan percaturan semasa Mahathir seolah-olah sudah hampir gagal selepas meletakkan jawatan sebagai pengerusi partinya.

Hal yang sama, katanya, akam turut dialami oleh pengikut Mahathir.

Pun begitu, Awang Azman enggan mengetepikan kemungkinan lain atau memandang rendah kemampuan bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu.

“Mahathir dikenali kerana mempunyai 'sembilan nyawa politik' macam kepercayaan sesetengah orang pada kucing.

"Beliau akan berbuat apa sahaja untuk memenangi balik jawatan tersebut sehingga ke saat akhir," katanya kepada Malaysiakini.

Kecuali Mahathir memiliki perancangan sokongan, Awang Azman menjangkakan ahli parlimen Langkawi itu - bersama pengikutnya - akan tersingkir daripada Bersatu selepas ini.

Katanya, gelombang pembersihan Mahathir dan pengikut beliau oleh pemimpin Bersatu akan berlaku bagi memastikan tidak ada lagi ancaman dan perpecahan dalam parti.

Tarik beberapa ahli parlimen

Semalam, ROS mengesahkan bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, "berhak" menjadi pemangku pengerusi parti berkenaan setelah Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatan kepada beliau pada 24 Feb lalu. 

Surat itu memetik Fasal 16.9 perlembagaan parti untuk membuat keputusan berkenaan, yang menetapkan bahawa jika pengerusi mengundurkan diri atau dipecat, presiden akan mengambil alih jawatan sebagai pemangku sehingga orang baru dipilih.

Untuk rekod ketika berlaku krisis dalam kerajaan akhir Feb lalu Mahathir melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu namun menarik balik keputusan tersebut selepas ia ditolak majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti berkenaan.

Namun selepas itu Bersatu berdepan kesukaran apabila Mahathir tidak sependapat dengan Muhyiddin yang membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) sekali gus - dengan bantuan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan beberapa ahli parlimen PKR - meruntuhkan kerajaan yang dipilih rakyat pada pilihan raya umum (PRU) dua tahun lalu.

Awang Azman Awang Pawi

Baru-baru ini beredar surat mengenai mesyuarat MPT Bersatu yang disebut-sebut bertujuan untuk membincangkan kedudukan Mahathir beberapa sekutu beliau.

Kemungkinan yang ada, kata penganalisis, ialah Bersatu memecat Mahathir. Mesyuarat itu - yang tidak menjemput Mahathir dan timbalan presiden parti berkenaan, Mukhriz Mahathir - kemudian ditangguhkan.

ROS adalah jabatan yang terletak di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri. Menterinya ialah Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin, yang dilantik oleh Muhyiddin sebagai setiausaha agung Bersatu baru-baru ini.

Awang Azman mencadangkan, jalan terbaik untuk Mahathir dan pengikutnya agar kekal relevan dalam politik negara adalah dengan membawa beberapa ahli parlimen Bersatu yang lain untuk menyokongnya dalam undi tak percaya terhadap Muhyiddin.

Suara jadi kian sayup

Sementara itu Prof Jeniri Amir pula berkata ahli politik veteran itu sepatutnya memberikan laluan kepada orang lain untuk memimpin parti dan negara.

Katanya, kenyataan ROS semalam juga menunjukkan kedudukan Mahathir dalam Bersatu sudah tidak bermakna dan sekali gus mengukuhkan kedudukan Muhyiddin.

"Implikasinya kedudukan Muhyiddin semakin terjamin dan kukuh kerana duri dalam daging utama dalam Bersatu ialah Mahathir,” katanya.

Tambah bekas pensyarah Universiti Malaysia Sarawak itu lagi, Mahathir tidak mempunyai jalan lain lagi kerana mustahil beliau akan menyertai parti lain dalam PH seperti PKR atau DAP.

“Jadi mereka (Mahathir dan pengikutnya) sebagai ahli politik seperti melukut di tepi gantang.

"Jadi suara mereka akan jadi sayuplah dalam kepimpinan politik negara.

“Apatah lagi Mahathir yang sebenar sudah tidak relevan lagi. Apa dia nak kuasa sangat lagi? Dah beri kuasa dah lama dah... dah 22 tahun tambah 22 bulan. Dah lebih dah. Tak cukup?” katanya.

Terdahulu, Mahathir mempertikaikan kenyataan ROS yang mengatakan beliau bukan lagi pengerusi Bersatu melalui surat yang peguam yang mewakilinya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla. 

Dalam surat tersebut, menurut Haniff, Mahathir percaya bahawa ROS tidak mengambil kira beberapa faktor ketika memutuskan status jawatan pengerusi "berhak" dipangku oleh Muhyiddin dan mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi selepas tiada sesiapa mencabarnya dalam pencalonan pemilihan Bersatu yang tutup pada 16 Mac lalu.

Sementara itu, Prof Kartini Aboo Talib (gambar) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berpandangan supaya Mahathir harus bersara dari dunia politik dan pengikutnya boleh memilih untuk bersama dengan kepimpinan Muhyiddin dalam Bersatu atau tidak.

“Pilihan terbuka, pengikut boleh bersama PN (Perikatan Nasional) atau memilih untuk bersama barisan pembangkang,” katanya.

Namun, Kartini melihat adalah lebih baik sekiranya mereka bersama dengan blok pembangkang supaya wujud semak dan imbang dalam politik, agar setiap tindak tanduk kerajaan diperhati, dikritik dan sentiasa diperbaiki.

Ditanya sama ada Mahathir akan merancang strateginya sendiri untuk menyelamatkan keadaan, Kartini menjangkakan ia merupakan jalan yang sukar untuk pemimpin berusia 94 tahun itu memandangkan kebanyakan rakayat sudah dapat menerima PN.

Tambahnya, lebih-lebih lagi apabila gabungan itu dapat membuktikan hasil yang baik dalam berdepan dengan ancaman Covid-19.

“Mereka perlu menerima hakikat yang mereka kini kembali sebagai pembangkang,” katanya sambil meramalkan kemungkinan Mahathir tidak akan meneruskan hasrat mengemukakan usul tak percaya kepada Muhyiddin di sesi Parlimen akan datang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

ADS