Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Riza rela serah aset demi kebebasan mulakan hidup kembali - Najib
Diterbitkan:  May 22, 2020 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Najib Razak berkata, pada dasarnya beliau lebih suka jika anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz, meneruskan proses mahkamah bagi pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi.

Pun begitu, kata bekas perdana menteri berkenaan, beliau faham mengapa Riza memilih untuk membuat penyelesaian dengan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Menurut Najib selama lima tahun Riza menghadapi pelbagai kesukaran ekoran kes yang melibatkan dirinya sehingga tidak boleh melakukan sebarang perniagaan baru.

"Jadi, kalau meneruskan tindakan mahkamah, dia mungkin akan memakan masa empat tahun lagi. Jadi (semuanya) 10 tahun, satu dekad dalam hidupnya, dia tak boleh buat apa-apa.

"Jadi dia kata, tak apalah, saya serah balik semua aset ni dalam penyelesaian ni. Saya nak my freedom (kebebasan saya), kebebasan untuk saya memulakan hidup semula.

"Dia nak hidup dia, dan dia kata dengan pengalaman saya (Riza), insya-Allah dia yakin dia boleh mulakan hidup baru," katanya dalam sesi temu bual secara langsung The Outlook di Facebook malam tadi.

Menurut Najib lagi atas alasan itulah Riza rela menyerahkan semua harta yang dimilikinya kerana dengan itu dia mendapatkan kebebasan yang dimahukan.

Riza - merupakan anak Rosmah Mansor hasil perkahwinannya sebelum Najib - dikenakan lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Bukan kerana mencuri, tapi menerima 

Mengikut pertuduhan jumlah wang yang terlibat dalam kes itu ialah sebanyak AS$248 juta (RM1.25 bilion).

Hasil persetujuan dicapai di antara Jabatan Peguam Negara dan Riza, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan DNAA ke atas tertuduh pada 14 Mei lalu.

Persertujuan itu dijangka membolehkan kerajaan Malaysia menerima pelbagai aset dengan nilai anggaran sebanyak AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Menurut Najib lagi, jika perbicaraan diteruskan ada banyak "fakta" berhubung kes berkenaan dapat dikemukakan kepada mahkamah.

Katanya antara fakta yang perlu difahami ialah, Riza tidak didakwa kerana mencuri wang atau sebarang kesalahan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Riza juga, kata Najib, tidak didakwa megikut Kanun Keseksaan.

"Dia dibawah mengikut Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001). Amla ni (membabitkan) pengubahan wang haram," katanya.

Maknanya, kata Najib, Riza hanya menerima dana dan bukannya mencuri.

Untuk mengukuhkan hujah itu, Najib menegaskan Jabatan Keadilan AS (DOJ) juga tidak menyaman Riza atas tuduhan mencuri, sebaliknya kerana "menerima".

Buat filem untung besar pulak tu

"Dia menerima sebab dia menerima pelaburan drpd Aabar, syarikat yang telah diarahkan oleh keluarga diraja UAE (Emiriah Arab Bersatu). Dia (Aabar) kata nak melabur dalam produksi filem dia (Riza).

"Jadi dia melabur melalui Aabar dan Aabar ni sebuah syarikat yang bertaraf AAA. Jadi apabila dia (Riza) terima duit daripada Aabar, dia berasakan ini memang duit Aabar, dan bank-bank pun tak ada bagi apa-apa teguran pada dia ataupun red light (amaran) pada dia bahawa ini duit ada kaitan dgn 1MDB ke apa.

"Setakat pengetahuan Riza, ini duit Aabar dan tak ada orang bagitau dia sebaliknya.

"Jadi dia terima in good faith (tanpa sebarang syak wasangka), dia buat filem, filem dia untung pulak tu... untung besar.

"Jadi apabila untung besar, dia belilah apa-apa aset tertentu," kata Najib.

Kemudian apabila menyedari ada kemungkinan wang berkenaan datang dari punca yang diragui, kata Najib, maka Riza mengalah dan rela menyerahkan asetnya sebagai jalan penyelesaian.

Untuk rekod Aabar Investments PJS ialah anak syarikat kepada International Petroleum International Company (IPIC). Sebahagian daripada dana yang dipindahkan kepada syarikat penerbitan filem Riza, Red Granite Productions Inc, datang dari syarikat lain yang mempunyai nama sama, Aabar Investments PJS Ltd, manakala selebihnya daripada syarikat Good Star Ltd.

Aabar Investments PJS Ltd ialah syarikat yang diperbadankan oleh Low Taek Jho - atau lebih dikenali sebagai Jho Low - dan sekutunya di British Virgin Islands (BVI).

Ahli perniagaan dikehendaki pihak berkuasa banyak negara itu juga merupakan pemilik tunggal Good Star Ltd.

Najib juga mendakwa SPRM, kerajaan dan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas, sedar sukar untuk mereka memenangi kes mahkamah ke atas Riza kerana ia berlaku di luar negara.

"Jadi kalau dibicarakan pun, ada kemungkinan tak boleh menang, dan mungkin mendapatkan semula aset juga lambat.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS