Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bicara panjang dengan Daim - dari ekonomi hingga pertanian
Diterbitkan:  May 23, 2020 5:40 AM
Dikemaskini: 9:41 PM

Di bawah adalah teks wawancara penuh dengan Daim Zainuddin, mantan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan kepada perdana menteri sebelum ini Dr Mahathir Mohamad.

Daim, yang mengaku bersara dari politik dan perniagaan dan menjadi pekebun kecil, menyentuh pelbagai isu.

Beliau mengulas isu-isu ekonomi, politik, parlimen, agenda perubahan, Dasar Ekonomi Baru (DEB) hinggalah kepada bidang pertanian.

Ekonomi

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggelar krisis kewangan yang kita hadapi sekarang sebagai The Great Lockdown. Mereka mengatakan ia bukan seperti krisis kewangan yang kita pernah lihat sejak beberapa dekad. Adakah Tun bersetuju dan bagaimana patut kita mengurusnya?

Bagi saya, Covid-19 telah memaksa masyarakat kita menukar gaya hidup yang telah menjadi kebiasaan kita selama ini. Ia juga mendedahkan kepada kita segala kelemahan yang ada di dalam bidang perniagaan, dalam kerajaan, dan masyarakat umum. Kita sekarang diberi peluang untuk berfikir dan mengkaji situasi semasa, diberi peluang untuk menilai diri kita sendiri, menilai perhubungan kita sesama manusia dan menilai semula keutamaan kita. Ini adalah peluang kita untuk mencari langkah yang boleh diambil supaya kehidupan kita akan menjadi bertambah baik demi masa depan kita bersama

Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 – 1998 itu berlaku kerana ekonomi yang tidak seimbang, iaitu pelaburan spekulatif yang berlebihan di pasaran saham dan harta tanah, kepenggunaan domestik dan pelaburan yang sia-sia; dan pengurusan Kewangan yang tidak cekap dan lemah (currency mismatch and maturity mismatch). Kemudian Krisis Kewangan Global pada tahun 2008 – 2009 itu pula, punca krisis adalah kerana kelonggaran pinjaman kepada mereka yang tidak layak (sub-prime), aset yang toksik dan sebagainya.

Kesan daripada Covid-19 ini amat besar; bukan saja ramai yang meninggal dunia, tetapi juga ramai yang hilang punca pencarian disebabkan ekonomi yang merudum. Perniagaan yang telah bertahun didirikan runtuh hanya dalam masa beberapa bulan sahaja. Rakyat yang terdiri dari pelbagai kelompok umur tiba tiba hilang kerja. Bekalan makanan juga kita bimbang tidak cukup, jika kita tidak berhati-hati. Sekarang ini pun kita dengar rungutan bahan makanan tiba-tiba jadi mahal. Bawang besar, bawang putih, halia naik 30%. Perkara seperti ini akan menyebabkan berlaku jurang ekonomi dan sosial yang bertambah besar.

Tetapi, bukan semua industri terkesan secara buruk atau negatif. Sebab, kita boleh lihat ada syarikat-syarikat yang menggunakan teknologi tetap boleh berkembang maju.

Bagaimana kita menguruskan keadaan ini? Saya rasa kita kena lihat semula kepada perkara-perkara yang asas. Kita perlu beri perhatian untuk memastikan rakyat ada peluang pekerjaan, dan pada masa yang sama kita mesti menyediakan peluang latihan semula kepada mereka yang menganggur. Jenis latihan semula yang macam mana? Mulai sekarang, sistem pendidikan mestilah disesuaikan kepada kaedah semasa. Misalnya pembelajaran di atas talian akan lebih digunakan tetapi kita juga mesti ingat, ramai pelajar yang tiada capaian internet ataupun komputer di rumah.

Kita selalu bercakap mengenai masalah kekurangan bahan makanan. Cuma, adakah ini waktu yang paling sesuai untuk merancakkan semula industri pertanian dan industri pengeluaran makanan? Mungkin sekarang kita boleh buat dengan lebih bagus, sambil menggunakan lebih banyak teknologi dan robotik. Adakah kita perlu menekankan pembelajaran asas tani dari peringkat sekolah rendah dan menggabungkannya dengan pembelajaran robotik dan kepintaran buatan (AI)? Apa yang jelas, saya tidak boleh jawab dengan terperinci bagaimana kita boleh menghadapi situasi ekonomi ini. Tetapi saya fikir kita kena beri keutamaan kepada asas-asas pembangunan negara. Contohnya, bagaimana mahu mengembalikan pekerjaan kepada rakyat? Bagaimana kita menaikkan pendapatan mereka? Bagaimana kita memastikan PKS terus berkembang, dan tidak ditutup? PKS ini adalah kumpulan majikan terbesar. Dan bagaimana untuk mengurangkan harga bahan makanan?

Tun pernah menguruskan dua krisis kewangan yang besar sebelum ini. Apakah pengajaran yang Tun dapat dari kedua-dua pengalaman tersebut?

Kita membangun sebelum ini, dan mendapat banyak pelabur kerana keadaan sosiopolitik negara yang stabil, polisi yang jelas, kepimpinan yang teguh dan dihormati, serta kedaulatan undang-undang. Tanpa keempat-empat ciri asas ini, pelabur akan lari. Kita mesti ingat bahawa 40% pelaburan di dalam negara ini disumbangkan oleh pelabur asing. Sekarang adalah masanya untuk menarik mereka ke sini. Kita tahu pelabur-pelabur Jepun dan Amerika Syarikat sedang memindahkan operasi mereka dari China. Indonesia dan Vietnam sedang berusaha menarik perhatian para pelabur ini untuk berpindah ke negara mereka. Dan Amerika telah memutuskan untuk melabur di Indonesia. Kita akan ketinggalan jika tidak serius di dalam hal ini. Malahan, pelabur tempatan juga akan melabur di negara lain jika kita tidak berhati-hati.

Jika kepimpinan kita di Malaysia kelam kabut, penuh dengan polisi u-turn dan tidak terurus, kita akan lihat para pelabur ini akan pergi ke tempat lain. Contoh u-turn yang paling mudah adalah kes moratorium pinjaman kereta dan rumah baru-baru ini. Terlampau banyak penyataan yang bercanggah. Undang-undang juga nampak berbeza antara mereka yang miskin dan kaya. Kalau curi sepaket Milo, kena masuk penjara. Tetapi jika curi berbilion ringgit, boleh lepas bebas ke mana saja. Rule of law ini penting.

Untuk menghidupkan semula ekonomi, kita perlu ada maklumat tepat dan terkini mengenai keadaan ekonomi dan perniagaan di negara ini. Semasa krisis kewangan 1998, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bermesyuarat setiap hari untuk memantau, mendapatkan maklumat harian/mingguan dan keadaan akar umbi di bawah. Perbincangan kerap diadakan bersama pelbagai industri, persatuan, dewan perniagaan dan sektor-sektor ekonomi. Ini membolehkan kita melaksanakan program-program tindak balas untuk membantu rakyat dan para peniaga.

Kita mesti ada pelan dan pasukan yang cekap untuk melaksanakan pelan tersebut. Kita mesti ada objektif dan matlamat jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang. Kita mesti tahu cara untuk merealisasikan matlamat tersebut, cara untuk memantau kemajuan program-program ini. Kita mesti tahu melaraskan pelan ini jika terdapat perubahan kepada keadaan semasa, dan bagaimana cara untuk berhubung dengan rakyat di bawah untuk memberitahu mereka apa yang sedang dilakukan.

Kerajaan juga harus ingat, mengendali krisis ekonomi memerlukan koordinasi dan kerjasama kesemua cabang kerajaan. Ia bukan saja tanggungjawab menteri kewangan. Ia adalah tanggungjawab seluruh kerajaan yakni, kesemua kementerian bekerjasama menggembleng tenaga bersama kerajaan-kerajaan negeri bagi memastikan pelan tersebut dapat dijayakan secara berkesan. Amat sukar untuk menghidupkan semula ekonomi jika usaha kerajaan tertumpu kepada agenda-agenda lain yang boleh mengalihkan perhatian dari masalah ekonomi yang sedang berlaku.

Kerajaan dan bank negara seluruh dunia sedang melakukan apa saja untuk menghadkan renjatan ekonomi melalui pakej rangsangan. Tetapi ada yang berpendapat pakej rangsangan ini tidak efektif. Orang ramai tidak banyak berbelanja dan perniagaan tidak melabur seperti yang sepatutnya bagi memacu perjalanan ekonomi. Apa pendapat Tun terhadap pakej rangsangan ini?

Kerajaan seluruh dunia telah mengumumkan perbelanjaan fiskal berjumlah trilion ringgit. Bank Negara masing masing telah memotong kadar faedah hingga ke peringkat paling rendah; ada juga yang menyuntik kecairan kewangan tanpa had. Rizab Persekutuan Amerika Syarikat telah mengaktifkan semula Quantitative Easing. Begitu juga dengan Bank Negara England.

Namun fakta yang tidak boleh dipertikaikan ialah pemotongan kadar faedah yang sedang berlaku kini agak terhad berbanding ketika krisis di dalam tahun 2008 – 2009 dahulu kerana kadar faedah sudah sememangnya rendah sejak kebelakangan ini. Sesetengah Bank Negara sudah lama terperangkap di dalam haluan kadar faedah yang negatif seperti di dalam kes Bank Japan dan Bank Pusat Eropah (ECB). Ekonomi Jepun dan Eropah belum menunjukkan pengembangan ekonomi yang meyakinkan walaupun ada Pelonggaran Kuantitatif dan kadar faedah yang negatif. Ini menambah kerisauan bahawa pakej rangsangan mereka sebenarnya tidak berkesan.

Kejayaan rangsangan fiskal dan kewangan bergantung kepada respons rakyat dan golongan peniaga terhadap pakej rangsangan ini, serta keyakinan orang ramai tentang pembendungan Covid-19.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Malaysia berjumlah RM260 bilion, tetapi jumlah suntikan fiskal adalah RM35 bilion. Ia dijangka dapat mengurangkan kemelesetan ekonomi dan mengurangkan impak buruk terhadap rakyat dan para peniaga dari segi ekonomi dan kewangan, tetapi kesannya itu hanya bersifat sementara.

Yang jelas, Malaysia tahun ini tidak boleh lari dari kemelesetan ekonomi. Kita negara berdagang, jika prestasi ekonomi besar dunia tidak memberangsangkan, ekonomi kita turut terkesan. Ekonomi dunia diramalkan meleset sebanyak 3% tahun ini – yang terburuk sejak ‘The Great Depression’ di era 1930-an. Ekonomi terbesar dunia – Amerika Syarikat sudah pun mengalami kemelesetan ekonomi. Pada suku tahun pertama 2020, ekonomi mereka telah kuncup sebanyak 4.8% - yang terburuk sejak 2008. Setakat ini, sejak tujuh minggu yang lalu seramai 33.5 juta rakyat mereka telah hilang pekerjaan. Kadar pengangguran mereka adalah setinggi 15.5%, sama sewaktu era 1930an dulu. Minggu lepas sahaja, seramai 3 juta penduduk mereka mendaftar untuk mendapatkan bantuan pengangguran. Dalam masa yang sama, 21.7 juta pekerjaan hilang di dalam bulan April. Ini adalah 27 kali ganda lagi teruk dari kadar pengurangan pekerjaan semasa krisis kewangan tahun 2008 dahulu dan 11 kali lagi teruk dari rekod buruk di bulan September 1945 ketika Perang Dunia II berakhir.

China juga sedang mengalami kemelesetan ekonomi. Pada suku tahun pertama, ekonomi mereka menguncup 7%, pertama kali ia terjadi dalam tempoh yang amat lama. Ekonomi UK juga mengalami nasib yang sama di mana ia mengecut di dalam suku tahun pertama.

Malaysia juga tidak terkecuali. Kerajaan meramalkan kadar pertumbuhan KDNK akan meleset sekurang-kurangnya 2% tahun ini. Andaian saya ialah angka tersebut sepatutnya lebih besar. Cuba kita lihat pada suku pertama tahun ini. Walaupun sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan naik sedikit, masing-masing pada kadar 3.1% dan 1.5%, sektor-sektor lain semuanya negatif. Kita mesti ingat bahawa PKP hanya bermula pada dua minggu terakhir bulan Mac, tetapi hampir kesemua sektor ekonomi sudah terkesan teruk.

Kedudukan fiskal kerajaan akan menjadi lebih sukar, kerana ramai peniaga sedang bergelut untuk kekal bertahan. Satu kajian yang dibuat oleh Pertubuhan PKS pada bulan Mac lepas berkata bahawa lapan dari 10 syarikat PKS meramalkan akan mengalami kerugian di dalam tahun 2020. Statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hampir tujuh dari 10 syarikat di Malaysia tidak ada langsung pendapatan sejak PKP bermula. Pengangguran akan menjadi lebih tinggi. Akhirnya, jumlah rakyat yang boleh berbelanja berkurangan. Peniaga akan terjejas. Jika eksport pun tidak menggalakkan, jumlah pengguna bertambah kecil, dan jika peniaga tidak melabur, bagaimana ekonomi hendak berkembang? Kutipan hasil cukai kerajaan akan lebih rendah. Bagaimana kita hendak membiayai perbelanjaan dan pembangunan negara?

Bagi saya, antara isu utama yang perlu di beri perhatian serius adalah isu pengangguran. Jumlah yang tidak bekerja bulan Mac naik 17%, dan saya jangka angka ini akan naik lagi. Lagi beberapa bulan, 51,000 graduan akan keluar dari universiti tempatan, macam mana nasib mereka kelak? Sudah tentunya sukar mendapat kerja. Ini tidak bagus untuk kestabilan sosial dan ekonomi. Kadar kemiskinan juga akan bertambah.

Polisi kerajaan mesti memastikan para peniaga tidak menggulung tikar dan membuang pekerja. Pemantauan terhadap pelaksanaan polisi amat penting. Saya menerima banyak keluhan berkenaan proses birokrasi yang menyusahkan mereka mendapat bantuan.

Apabila saya membaca laporan terbaharu dari Kementerian Kewangan, tidak banyak PKS menerima bantuan. Walaupun 92% daripada peruntukan RM6.3 bilion pinjaman mudah kepada PKS telah dimanfaatkan, hanya 14,075 syarikat PKS yang menikmatinya. Itu tidak sampai 2% dari jumlah keseluruhan PKS.

Jumlah penerima subsidi gaji juga agak kecil. Setakat 17 Mei 2020, hanya 267,752 syarikat dilaporkan memohon program subsidi gaji tersebut, atau hanya tiga dari 10 syarikat PKS.

Jumlah pinjaman mikro yang disediakan oleh BSN dan TEKUN untuk perusahaan mikro juga kecil. Hanya 35% daripada RM700 juta telah diluluskan, dan jumlah perusahaan mikro yang mendapat bantuan adalah 15,641 berbanding jumlah keseluruhan perniagaan mikro sebanyak 693,670.

Pelaksanaan polisi terlalu perlahan dan yang dapat pula kecil sangat. Ini perlu diatasi segera. Keberkesanan pakej rangsangan Kerajaan ini bergantung kepada cara pelaksanaan dan bagaimana bantuan kewangan ini dimanfaatkan.

Apakah kerajaan bersedia dari segi kewangan untuk menghadapi krisis ini? perdana menteri mengatakan negara kerugian RM2.4 bilion sehari semasa PKP berjalan. Adakah kita tergesa-gesa untuk membuka semula ekonomi? Adakah ini bermakna kerajaan tidak mampu menampung ekonomi ketika keadaan mendesak?

Kewangan negara mesti cukup kuat untuk menghadapi krisis. Kita ada sedikit ruang fiskal dan keupayaan meminjam untuk membantu rakyat dan ekonomi naik kembali. Kerajaan sepatutnya berbelanja lebih banyak lagi. Apabila kerajaan mengumumkan RM260 bilion pakej rangsangan prihatin, suntikan fiskal secara langsung hanyalah RM35 bilion, ataupun 2% dari KDNK. Ini kecil untuk memberi apa apa kesan kepada rakyat dan peniaga. Malah, banyak negara di rantau ini yang menyuntik lebih banyak bantuan fiskal berbanding kita. Menurut Kementerian Kewangan, defisit fiskal dijangka bertambah dari 3.4% kepada 4.7%. Akan tetapi apabila KDNK berkurangan, dan pinjaman bertambah, defisit fiskal ini tentunya lebih besar.

Saya percaya kerajaan mampu menghadapi defisit yang lebih tinggi untuk membantu rakyat, terutamanya untuk memastikan rakyat tidak hilang kerja, dan syarikat tidak bankrap. Apabila ekonomi pulih, kita boleh menurunkan semula defisit tersebut. Kita pernah lakukan ini beberapa kali semasa krisis di era 80-an, akhir 90-an dan krisis tahun 2008 dahulu. Ketika itu apabila ekonomi pulih, kita kurangkan defisit. Kita tak boleh terlampau taksub mengenai defisit ini sampai tidak mahu berbelanja kerana takut defisit naik. Fokus utama kita adalah untuk menyelamatkan rakyat. Kita mesti lakukan apa saja untuk rakyat, isu defisit ini kita selesaikan bila ekonomi pulih kelak.

Saya faham kenapa kerajaan tidak sabar untuk membuka semula ekonomi. Tetapi saya rasa ada banyak pihak berkepentingan berbalah mengenai cara ia dibuka semula. Mereka merasakan ia dilakukan secara tergesa-gesa, tidak teratur dan tidak cekap.

Mereka cuma diberi dua hari untuk bersiap sedia sebelum ekonomi dibuka. SOP yang diberi pula berlainan antara satu sektor ke sektor yang lain. Malah, SOP tersebut bertukar beberapa kali selepas pengumuman di buat oleh Perdana Menteri. Banyak NGO dan badan perniagaan memberitahu bahawa mereka dirunding hanya selepas pengumuman dilakukan.

Terdapat banyak kelemahan dari segi bagaimana mereka melonggarkan perintah kawalan pergerakan. Awalnya, kawalan pergerakan begitu ketat hingga kita dapat melihat polis merata-rata. Sekarang, dah lain. Kenderaan sesak di jalan raya, pusat beli-belah penuh dengan orang ramai, semua bebas ke mana-mana. Sebab itu orang ramai tak berapa yakin tentang ada atau tidak strategi menyeluruh dan garis masa PKP Bersyarat ini.

Kepada soalan sama ada kerajaan ini tidak mampu untuk menampung ekonomi pada masa-masa terdesak, kita sepatutnya bertanya, “adakah kerajaan ini tahu apa yang sedang ia lakukan dan adakah mereka mempunyai orang-orang yang cekap dan mahir untuk menyelamatkan kita dan negara dari krisis ini?”

Adakah simpanan dana kita cukup untuk disalurkan kepada ekonomi atau adakah kerajaan perlu mencari dana tambahan? Bagaimana cara kita mengumpul dana? Jual aset, terbitkan bon, paksa bayaran dividen yang tinggi dari syarikat syarikat kerajaan, cukai baru yang lebih tinggi? Bagaimana pula kita patut imbangkan dengan hutang?

Sudah 23 tahun berturut-turut kerajaan mengalami defisit fiskal, iaitu sejak krisis matawang 1997/98. Ini bermakna, tidak banyak dana simpanan telah dapat dikumpulkan. Sebenarnya ada beberapa dana amanah yang boleh digunakan. PETRONAS boleh memberi sumbangan sama ada melalui cukai pendapatan petrol yang lebih tinggi ataupun melalui dividen kepada kerajaan, tetapi dengan harga minyak yang rendah, mungkin ia sukar ketika ini. Harga pasaran minyak dunia yang rendah akan memberi kesan kepada pendapatan Petronas dan juga kerajaan.

Apa pilihan yang kerajaan ada? Mari kita senaraikan satu per satu.

  1. Kena susun semula keutamaan dari segi perbelanjaan

  2. Pendapatan perlu ditingkatkan melalui penswastaan, penyenaraian aset GLC di dalam pasaran saham, dan penjualan aset (keutamaan harus diberikan kepada agensi GLICs) di mana ‘timing’ amat penting;

  3. Kerajaan boleh memperbaiki sistem percukaian. Masalah GST adalah ia dikenalkan pada kadar yang tinggi, duit yang dikumpulkan tidak digunakan untuk rakyat, dan rebat GST tidak dipulangkan semula kepada syarikat yang patut menerimanya. Oleh sebab itu kos sara hidup pun meningkat. Sistem percukaian harus dibaiki supaya ianya lebih adil dan progresif.

  4. Kerajaan boleh juga meminjam melalui terbitan bon domestik kerana selera pelabur terhadap bon masih lagi kuat. Tidak ada risiko turun naik mata wang asing, dan kos meminjam juga rendah kerana kadar faedah sekarang juga agak rendah. Untuk pinjaman luar negara, di bawah Akta Pinjaman Luar Negara 1963, hutang luar negara telah dihadkan kepada RM35 bilion di mana jumlah hutang sedia ada setakat Mac 2020 ialah RM29.4 bilion.

  5. Kaji semula had hutang negara di tahap 55% dari KDNK. Kali terakhir kerajaan menaikkan tanda aras ini ialah pada bulan Julai 2009 (kepada 55%) dari bulan Jun 2008 (45% dari KDNK), bulan April 2003 (40% dari KDNK).

  6. Kerajaan boleh meminjam dari Bank Negara Malaysia. Ini termaktub di dalam Akta Bank Negara (boleh lihat PART X - RELATIONS WITH GOVERNMENT, Section 71).

Kita sedang berhadapan dengan situasi luar biasa pada saat ini dan kita memerlukan cara penyelesaian yang luar biasa juga. Kita mesti fikir di luar kotak. 

IMF mengatakan terdapat hampir 100 buah negara telah meminta bantuan kewangan dari mereka. Patutkah Malaysia meminta pertolongan antarabangsa? Adakah itu salah satu pilihan kita?

Tidak. Berdasarkan pengalaman kita dan berdasarkan pemerhatian kita ke atas negara-negara yang menderita kerana pernah meminjam dari IMF, jawapannya tidak perlu.

Semasa krisis matawang 1997-98, Malaysia berjaya keluar dari cengkaman kemelesetan ekonomi (KDNK menyusut 7.4% dalam tahun 1998). Cara kita berbeza, tanpa meminta bantuan kewangan dari IMF. Cara kita tidak popular ketika itu namun ekonomi kita kembali berkembang selepas itu tanpa terikat dengan syarat-syarat IMF yang membebankan.

Kerajaan sekarang masih ada keupayaan dari segi fiskal dan Bank Negara Malaysia masih mempunyai banyak cara untuk menangani kesan buruk dari Covid-19. Soalnya ada atau pun tidak untuk mahu menyelamatkan negara.

Krisis ini memberi kesan kepada orang miskin dan yang senang terdedah kepada kemelesetan ekonomi seperti; pekerja upah harian, orang yang bekerja sendiri, industri pelancongan dan sebagainya. Ramai yang telah diberhentikan kerja dan industri PKS kebanyakan mengalami penutupan. Ini menyebabkan ramai hilang pendapatan. Apakah yang perlu dilaksanakan untuk mengelakkan jurang pendapatan dari membesar?

Saya rasa hampir semua orang akan terjejas kerana krisis ekonomi ini. Jadi, apa yang penting dan utama sekali ialah melindungi isi rumah dan perniagaan yang senang terdedah, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana. Bagi syarikat korporat, selain dari bantuan RM50 bilion yang diperuntukkan oleh Dana Jamin, mereka boleh memohon bantuan pembayaran pinjaman dari CDRC.

Krisis ini mendedahkan kepincangan di dalam jaringan keselamatan sosial kita. Saya bagi contoh, jika anda adalah seorang pekerja swasta dan menyumbang ke PERKESO, sebaik saja anda kehilangan kerja, anda boleh mendapat pendapatan melalui skim insurans majikan selama enam bulan. Tetapi jika anda bekerja sendiri, seperti Makcik Timah atau Pak Ali, anda tidak ada perlindungan langsung. Kita kena ingat bahawa separuh dari jumlah mereka yang bekerja sendiri telah pun hilang pekerjaan.

Buat masa ini kerajaan menyediakan subsidi upah kepada syarikat perniagaan. Sebenarnya bantuan yang sama patut diberikan kepada mereka yang bekerja sendiri juga. Semasa tempoh pemulihan selepas wabak Covid-19 berakhir nanti; bantuan seperti penempatan kerja, latihan kemahiran dan program bantuan pendapatan mesti diteruskan kepada mereka yang terjejas teruk. Ini harus di buat secara berterusan. Bantuan geran kewangan dan pinjaman mudah boleh diberikan kepada peniaga mikro, termasuk kepada peniaga e-dagang dan perniagaan atas talian.

Harga pasaran minyak dunia jatuh teruk dan kebiasaan baru mula bertapak di dalam ekonomi Malaysia. Dalam pandangan Tun, apakah yang akan jadi pemacu di dalam ekonomi Malaysia dalam ‘dunia baru’ ini.

Suka tidak suka; inovasi, teknologi, digitalisasi dan produktiviti tinggi adalah pemacu utama yang boleh jadi pemangkin kepada pertumbuhan Malaysia di masa hadapan. Ini termasuk sektor elektronik dan digital, e-dagang, pertanian pintar, proses pemakanan dan industri makanan halal, bioteknologi, khidmat data, nanoteknologi, dan banyak lagi.

Dalam masa yang sama, insentif kewangan serta strategi yang mampan amat diperlukan di dalam sektor infrastruktur pintar seperti digitalisasi, renewable energy, sistem 5G, pangkalan data yang besar, tenaga solar dan lain lain.

Wabak Covid-19 ini telah membuka mata kita untuk melihat sendiri proses digitalisasi dan teknologi di Korea Selatan dan Taiwan mampu membawa mereka keluar dari krisis tersebut dan mengurangkan gangguan terhadap dunia perniagaan. Untuk melangkah ke hadapan, inovasi dalam ekonomi baru adalah aspek kritikal di dalam pembangunan Malaysia.

Sememangnya inovasi dan ekonomi baru telah pun dikenal pasti sebagai kunci pertumbuhan Malaysia sebelum wabak Covid-19 terjadi. Kita mesti melipatgandakan usaha bagi memastikan kita mampu bersaing di padang lebih mencabar kelak. Pandemik ini telah menyedarkan kita akan keperluan untuk mempunyai Pelan B atau pelan back-up.

Lambat laun harga minyak akan pulih. Mungkin tidak di paras yang kita pernah nikmati dulu tapi ia akan pulih berbanding harga sekarang. Apa yang penting, kita mesti menjadi lebih cekap dari segi proses dan produktiviti. Kita tidak boleh kekal melakukan perkara yang sama. Sama ada kita sedar atau tidak, banyak industri tradisional seperti pertanian dan perkebunan masih relevan sehingga sekarang. Sama juga dengan sektor pembuatan dan pengilangan. Cuma, yang membezakan dulu dan sekarang ialah kadar kecekapan dan pengeluaran yang mesti ditingkatkan. Ia mampu tercapai dengan penggunaan perkakas robotik dan AI. Kita perlu menukar cara kita membuat kerja untuk menjadi lebih cekap. Jadi gandingan sains dan bidang pertanian misalnya akan menjadi lebih baik.

Ada banyak perkataan yang digunakan pada hari ini yang menggambarkan keadaan semasa. Naratif yang sering digunakan adalah ‘norma baru’ dan ‘krisis hebat yang tidak pernah berlaku sebelum ini;. Bagi pihak Tun, boleh Tun terangkan pada kita semua apa yang sedang berlaku?

Adakah krisis seperti ini tidak pernah terjadi? Kita perlu tengok kepada fakta dan sejarah. Saya suka belajar dari sejarah. Fakta yang kita dapati ialah, ini bukan kali pertama krisis seperti ini pernah berlaku. Kali terakhir pandemik peringkat dunia terjadi ialah dalam tahun 1918. Ia dinamakan ‘Spanish Flu Pandemic’. Tanah Melayu ketika itu pun terlibat sama dan terkena tempias wabak tersebut. Bagaimana ia boleh merebak ke seluruh dunia? Di sinilah peranan kita belajar dari sejarah untuk mendapat ilmu yang relevan. Sebagai contoh, bagaimana Philadelphia dalam Amerika membanteras penyakit Spanish Flu itu berbanding San Francisco? Apa kesan dan hasil dari cara mereka menyelesaikan masalah tersebut? Bagaimana Amerika Syarikat ketika itu mengendali krisis tersebut berbanding dengan cara mereka menanganinya sekarang?

Kita kena ingat, keadaan ketika itu berlainan dari masa kini. Hari ini, dunia telah berkembang maju dari segi sains dan teknologi tetapi itu pun sebahagian besar negara-negara dunia agak perlahan untuk menangani Covid-19. Kita tengok Bali, Kerala dan Vietnam, mereka berjaya memberi respons yang baik terhadap krisis ini. Bagaimana pun banyak negara-negara besar gagal melindungi rakyat mereka. Jadi, setiap negara ada cara mereka yang tersendiri untuk menguruskan krisis ini. Kita cuma perlu kaji dan lihat keberkesanan polisi yang mereka sedang laksanakan.

Sebenarnya ini adalah satu peristiwa ‘Black Swan’ yang mengakibatkan krisis ekonomi yang teruk, dan banyak negara terpaksa membuat pelbagai sekatan untuk membendung penyakit ini dari melarat.

Sebelum pun Covid-19 ini berlaku, ekonomi dunia sudah tertekan akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dan China. Menurut IMF, jumlah hutang dunia melonjak ke paras tertinggi iaitu AS$255 trilion pada tahun 2019. Itu melangkaui 322% dari KDNK dunia. Banyak negara mempunyai kadar hutang yang tinggi. Di negara-negara maju pula, kadar faedah hampir 0%! Jadi sebenarnya kita berdepan krisis Covid-19 ini dengan peluru yang sedikit. Tahap kewangan tidak sekuat mana.

Krisis ini, dari segi impak kepada ekonomi adalah lebih teruk dari krisis ‘The Great Depression’ di era 1930-an.

Hidup kita akan berubah pasca Covid-19 ini, akan menjadi satu kebiasaan apabila orang ramai dan para peniaga mula menerima penjarakan sosial sebagai sesuatu yang biasa dalam rutin hidup mereka. Mesyuarat atas talian akan lebih kerap. Platform e-dagang akan dimajukan lagi dengan teknologi 5G. Akan berlaku juga reverse-globalisasi di mana firma perniagaan akan cuba mengehadkan rantaian bekalan hanya kepada beberapa lokasi perniagaan mereka. Jadi ini semua perubahan baru. Inilah dia norma baru.

Walaupun proses menangani wabak ini amat sukar, dan mungkin berlarutan hingga berbulan-bulan, kita juga mesti berfikir bahawa ia juga akan membuka jalan kepada transformasi perniagaan secara besar besaran.

Apa pendapat Tun mengenai mata wang kripto? Adakah ia akan menjadi mata wang penting suatu hari nanti?

Pertumbuhan meluas mata wang kripto sejak beberapa tahun yang lalu telah mendorong lebih banyak pihak berkuasa di 130 negara untuk merangka dan mengikat penggunaan matawang ini dengan undang-undang. Kerajaan mesti merangka undang-undang untuk menguruskan matawang kripto dan bukan melarangnya sama sekali kerana ia akan membendung inovasi.

Salah satu cabaran yang diutarakan oleh bank bank pusat adalah bagaimana kita patut menyedarkan pengguna dan pelabur tentang perbezaan antara mata wang sebenar, dan mata wang kripto. Mata wang sebenar dijamin nilainya oleh bank pusat manakala matawang kripto tiada jaminan nilai. Terdapat misalnya risiko transaksi dan risiko pelaburan akibat nilai mata wang kripto yang turun naik kerana tiada undang undang yang mengawalnya. Tambahan pula mata wang kripto menggalakkan pasaran gelap dan aktiviti haram seperti pembersihan wang dan keganasan.

Di masa hadapan, bank pusat mesti mengawal mana mana bentuk mata wang baharu. Jika ada yang menggantikan wang kertas, ia mesti mendapatkan kebenaran dan sokongan dari bank pusat. Sekurang-kurangnya 18 bank negara sedang membangunkan mata wang digital. Cara yang paling berkesan untuk mengekang mata wang digital persendirian ialah melalui kerjasama semua pihak dalam menguruskan sistem kewangan dan mengekalkan kestabilannya.

Beberapa institusi meramalkan mata wang kripto akan memainkan peranan lebih besar selepas era Covid-19 ini nanti. Deutsche Bank meramalkan wabak ini akan mempercepatkan penggunaan pembayaran digital, dan mata wang kripto akan menjadi lebih penting kerana penggunaan wang tunai mempunyai risiko tersendiri. Ini akan menyebabkan ramai bertukar kepada mata wang digital. Penyelidik dari Oxford Universiti baru baru ini berkata mata wang kripto akan menjadi lebih penting di zaman kemelesetan ekonomi.

Walau bagaimanapun ramai juga yang masih menganggap mata wang kripto sebagai satu misteri. Tidak ramai yang faham akan terma seperti ‘Bitcoin’, ‘kripto’, dan ‘blockchain’. Pemahaman asas mengenai matawang kripto menjadi mustahak jika ingin berjaya selepas wabak Covid-19 ini berakhir. Pasaran mata wang kripto ini masih tidak menentu tetapi ia akan terus tumbuh dan melalui fasa matang apabila lebih banyak bank-bank pusat mengkajinya dengan lebih serius. Mata wang kripto bagi saya, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki agar ia boleh membangun dengan lebih rancak.

Politik

Tun pernah tidak bersetuju dengan penubuhan Perikatan Nasional. Adakah Tun masih berpendapat sebegitu? Apa pendapat Tun mengenai Umno dan PAS? Dan juga tentang perihal Bersatu, adakah mereka akan berdamai?

Prinsip saya masih tidak berubah. Ini adalah persoalan mengenai sah atau tidak sah perikatan tersebut. Parti-parti tersebut boleh bergabung untuk membuat sebarang perikatan. Tetapi bergabung untuk jadi kerajaan adalah tidak selari dengan kehendak dan mandat rakyat. Kita mesti hormat mandat yang diberi oleh rakyat, rakyat mengundi agar kerajaan PH memerintah selama 5 tahun atau sehingga pilihan raya umum. Kita kena hormat kehendak rakyat. Penubuhan Perikatan Nasional tidak menghormati mandat tersebut.

Satu lagi ialah isu kerajaan Melayu. Ya, kerajaan PN boleh kata mereka telah menjemput GPS, MIC dan MCA sertai mereka, tetapi bagi MIC dan MCA, pelantikan mereka di dalam kerajaan hanya lambang atau simbol. Ini kerana kedua-dua parti bukan Melayu ini tidak ada banyak kerusi di dalam Parlimen. Walaupun MCA telah melantik beberapa pemimpin mereka ke dalam GLC, mereka tidak ada suara di dalam hal ehwal kerajaan. Oleh itu, siapa sebenarnya yang mewakili rakyat bukan Melayu di dalam kerajaan? Untuk menjadi wakil, tidak boleh sebagai token saja. Ia tidak berkesan.

Umno dan PAS nampaknya telah menjalin satu ikatan yang kuat. Tapi masih terlalu awal untuk mentafsir kekuatan mereka kerana ada tiga tahun lagi sebelum pilihan raya. Bila pilihan raya menjelang, adakah mereka masih akan rapat jika mereka semua berebut kerusi yang sama di kawasan Melayu?

Saya tidak tahu jika Bersatu akan mencapai kata sepakat dan berdamai. Terserah kepada ahli parti untuk menentukannya.

Perikatan Nasional yang terdiri dari Umno, PAS dan Bersatu semuanya parti Melayu, dan akan berebut kerusi Melayu nanti. Saya tidak pasti bagaimana sebuah perikatan yang ada saingan antara tiga parti ini dapat memuaskan hati ahli-ahli mereka. Adakah agenda tolak menolak, tarik menarik antara ahli akan mengacau jentera kerajaan dan mengganggu semua inisiatif kementerian yang telah dirancang untuk rakyat? Jika mereka tidak dapat bekerjasama dalam satu kumpulan, bagaimana hendak untuk memulihkan ekonomi dan menaik taraf kehidupan rakyat di buat dengan berkesan?

Adakah Tun fikir Tun Dr Mahathir melakukan kesilapan kerana meletakkan jawatan sebagai PM?

Kita perlu mendengar dan fahami penjelasan beliau. Dia dah terangkan bahawa beliau tidak ada banyak pilihan kecuali untuk meletakkan jawatan sebagai PM dan Pengerusi Bersatu kerana pada waktu itu, parti Bersatu tidak lagi menyokongnya dan tidak mahu mendengar nasihat serta gesaan beliau untuk tetap bersama PH. Pada malam itu, Bersatu, Umno dan PAS bergabung di dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel dan mengumumkan bahawa kerajaan telah jatuh (kerana Bersatu telah keluar dari PH). Keesokan harinya, atas sebab prinsip, beliau meletakkan jawatan. Hanya selepas itu, Bersatu memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatan tersebut. Ini semua atas sebab prinsip, dan keputusan telah pun dibuat.

Bukannya mudah untuk berkata adakah beliau buat kesilapan atau tidak. Kita mesti faham akan situasi ketika itu. Beliau buat keputusan berdasarkan waktu itu. Bukannya dia ada banyak masa, beliau kena buat keputusan secepat mungkin. Sekarang setelah melihat semua maklumat yang ada, amat mudah untuk berkata, beliau silap, atau tidak silap. Tetapi pada waktu itu, dan ketika ditekan dari semua arah, adakah ia satu kesilapan? Kita tidak berada dalam kedudukan beliau pada masa itu.

Terdapat banyak pelantikan ke dalam GLC/GLICs. Bukan suatu yang pelik bila ini berlaku tetapi tidakkah kita patut risau apabila ahli politik dibawa masuk dan teknokrat ditendang keluar? Adakah kita akan melihat semula perangai lama di mana kontrak projek diberi kepada pemimpin akar umbi parti semata mata untuk membiayai aktiviti politik?

Mungkin tidak pelik bila ada lantikan politik masuk ke dalam GLC atau GLIC tetapi amat luar biasa apabila terlampau ramai lantikan politik di buat membuta tuli. Ramai melihat ini terang-terang untuk membeli sokongan politik. Jemaah Menteri yang ada pun terlampau besar. Lebih 70 orang, termasuk mereka yang dilantik sebagai duta bertaraf Menteri. Kiraan terkini kita dapati seramai 31 lantikan politik telah menyertai pelbagai badan dan syarikat kerajaan sebagai Pengerusi. Ini belum lagi termasuk yang dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah.

Isu utama di sini ialah adakah semua lantikan politik ini ada pengalaman dan kemahiran untuk mengepalai syarikat-syarikat kerajaan tersebut? Kedua, adakah mereka boleh membahagi masa dan memberi komitmen sepenuh masa kepada tanggungjawab yang diberikan? Orang ramai juga bertanya kenapa kerajaan bersungguh-sungguh mahu mengkayakan ahli parlimen? Mengapa kerajaan ini mahu meletakkan begitu banyak kekayaan dan kuasa ke tangan golongan ‘istimewa’ ini walaupun tidak berkelayakan? Mengapa kek ekonomi ini semakin kecil dan hanya sedikit sahaja orang yang dapat? Kenapa kerajaan mengabaikan begitu ramai lagi mereka yang berbakat dan berkelayakan? Mengapa kerajaan menghina keupayaan golongan profesional yang sememangnya boleh menyumbang dengan lebih baik? Pihak media patut tanya kerajaan soalan-soalan ini.

Jika kerajaan mahu menolong ahli parlimen mereka dan mengekalkan sokongan dan kesetiaan, ada banyak lagi cara yang boleh dilakukan tanpa mendapat kritikan dan lebih penting lagi, tidak mencemar reputasi dan prestasi GLC dan GLIC.

Parlimen

Apakah pentingnya Parlimen ke atas proses pembaharuan dan apakah kesan ke atas proses ini apabila Parlimen hanya bersidang satu hari?

Di sini kita bercakap mengenai prinsip. Bila kita mahu bercakap mengenai konsep parlimen kita yang mengikut acuan Westminster, kita kena belajar dari sejarah permulaan Parlimen itu sendiri. Siapa yang mengawal parlimen sewaktu ia ditubuhkan? Ahli parlimen tidak dibayar ketika itu. Siapa pula para pengundi di waktu tersebut? Kemudian, banyak proses pembaharuan di buat, dan kenapa ia di buat? Hasilnya, kita mendapat Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Bagi kita, terutama orang muda, bagus juga jika kita mengimbau kembali ucapan YDP Agong di Parlimen di dalam tahun 1959. Mengikut pendapat saya, ia adalah ucapan yang sangat bagus. Akhbar patut siarkan ucapan tersebut.

Mengikut pemahaman kita, demokrasi ialah kerajaan oleh rakyat dan untuk rakyat. Rakyat yang memilih kerajaan sama ada baik ataupun buruk. Pilihan di tangan mereka dan kita mesti akur dengan keputusan yang mereka buat, sekurang-kurangnya untuk lima tahun atau apabila pilihan raya diadakan.

Janggal juga bila Perdana Menteri pun mengaku bahawa kerajaan ini tidak dipilih oleh rakyat. Rakyat mengundi ahli parlimen mereka, oleh itu kerajaan mesti hormat pilihan rakyat dan jangan sesekali mengkhianati mereka. Kehendak mereka amat penting dan perlu dikekalkan. Mana-mana kerajaan hari ini mesti peka dengan suara kehendak rakyat kerana kerajaan tersebut perlu kembali kepada rakyat setiap lima tahun untuk mendapatkan mandat seterusnya.

Parlimen ada beberapa ketetapan (Standing Orders), peraturan, konvensyen manakala Speaker Dewan adalah bebas dan berkecuali. Demokrasi dan Parlimen bergabung untuk menjadi Demokrasi Berparlimen seperti yang diamalkan di Malaysia. Dengan menyekat persidangan Parlimen kepada satu hari, apa yang Kerajaan PN lakukan adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi di dalam sejarah negara ini. Ia semata-mata untuk mendiamkan suara ahli Parlimen dan benar-benar menghina Parlimen sebagai lambang negara yang demokrasi. Dan jika kerajaan mengabaikan fungsi ahli-ahli parlimen dan hanya menjadikan mereka sekadar tukang angguk atau pun sekadar pemerhati saja, ini bermakna kerajaan ini tidak menghiraukan suara rakyat.

Ahli Parlimen sebenarnya mewakili suara dan kehendak rakyat. Apabila ahli parlimen bercakap di dalam parlimen, mereka bercakap sebagai wakil kepada rakyat. Melenyapkan suara mereka adalah amalan yang tidak demokratik. Ramai yang berpendapat apa yang Kerajaan PN ini lakukan sebenarnya memberitahu rakyat bahawa pendapat mereka tidak penting, pilihan mereka tidak penting, suara mereka tidak penting dan yang paling utama, undi mereka tidak penting.

Seperti yang anda tahu, Kerajaan PH sedang di dalam proses membuat begitu banyak pembaharuan penting ke atas institusi parlimen. Jawatankuasa Pembaharuan Institusi di bawah Majlis Penasihat Kerajaan telah mencadangkan senarai panjang pembaharuan yang patut dilakukan dan telah mengemukakan cadangan ini kepada Perdana Menteri ketika itu. Malangnya ada cadangan diketepikan, ada yang ditolak mentah-mentah tetapi ada juga yang sedang di dalam proses pelaksanaan ketika kerajaan PH jatuh dan tidak lagi menjadi kerajaan.

Walaupun begitu, kerajaan PH sempat juga melakukan pembaharuan tertentu seperti menurunkan had umur mengundi ke 18 tahun, melantik ahli parlimen pembangkang sebagai pengerusi jawatankuasa kira kira wang negara, dan mewujudkan Jawatankuasa Pemilihan Khas untuk memberi Parlimen untuk memantau keputusan kerajaan.

Ini adalah antara pembaharuan yang senang dilakukan kerana ia tidak memerlukan pindaan Perlembagaan. Hanya apabila pembaharuan memerlukan pindaan Perlembagaan barulah Parlimen menjadi gelanggang yang mustahak. Di sinilah baru kita boleh membuat pembaharuan penting seperti menghadkan tempoh Perdana Menteri dan mengawal dana politik.

Apa pendapat Tun mengenai industri penerbangan di Malaysia? Sebelum ini Tun tidak bersetuju dengan projek HSR KL – Singapura kerana ia akan membunuh industri penerbangan. Adakah ini bermakna Tun lebih menyokong industri penerbangan dari industri rel? Mengapa?

Sektor yang paling teruk terjejas akibat wabak ini adalah industri penerbangan dan mungkin ia akan menjadi sektor terakhir untuk pulih, selain dari industri pelancongan. Syarikat penerbangan di seluruh dunia menghadapi tekanan dari segi kewangan dan mungkin ada yang akan muflis tidak lama lagi. Ada yang terpaksa membuang beribu-ribu pekerja. Kerajaan di beberapa negara telah memberi banyak pakej bantuan kepada industri ini untuk mengelak dari berlakunya bencana yang lebih besar. Tapi jangan pula krisis ini dijadikan alasan untuk menyelamatkan pemegang saham. Kita harus bezakan antara memastikan rakyat boleh menggunakan khidmat penerbangan dan menyelamatkan pekerja biasa, dengan menyelamatkan pemilik syarikat. Kerugian syarikat persendirian tidak patut ditanggung rakyat, manakala keuntungan masuk poket tuan punya syarikat (socialise losses, privatized profits).

Bagi HSR pula, saya rasa ada ruang untuk kedua-dua sistem pengangkutan ini untuk hidup bersama, dan melengkapi satu sama lain walaupun di dalam negara kecil seperti Malaysia.

Saya pernah menyatakan keraguan saya mengenai HSR KL – Singapura kerana saya merasakan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan adalah berat sebelah dan tidak berpihak kepada kita. Sebagai contoh, ia membolehkan Singapura mempunyai hak bersama untuk memutuskan bagaimana laluan kita di Malaysia beroperasi. Itu tidak betul, dan akan memberi kesan kepada kedaulatan negara kita. Malaysia akan hilang hak ke atas kerja-kerja landasan, sistem isyarat dan kawalan, dan tidak ada hak sepenuhnya ke atas jadual dan perkhidmatan keretapi di dalam negara kita sendiri. Ini bermakna, segala penggunaan landasan domestik HSR perlu mendapat kebenaran dari Singapura.

Adalah menjadi kebiasaan sejak akhir-akhir ini untuk perkhidmatan kereta api merentas sempadan. Tetapi setiap negara masih berhak untuk mengawal dan membina semua infrastruktur, landasan dan sistem yang terdapat di dalam sempadan negara mereka. Melalui cara ini, negara tersebut boleh memaksimumkan dan memajukan potensi landasan di dalam negara mereka sendiri.

Bagi projek ECRL pula, landasan sepanjang 680km itu mempunyai potensi untuk bersambung dengan landasan HSR menjadikan Malaysia mempunyai landasan keretapi laju sepanjang 1,070km dalam ’sekelip mata’. Landasan keretapi laju ini boleh dibangunkan lagi untuk menyambung ke utara Semenanjung Malaysia hingga ke sempadan Thailand. Ini membolehkan Malaysia mempunyai rangkaian sistem rel yang lengkap dari utara ke selatan, timur ke barat.

Oleh itu, jika kita menyerahkan hak kita di dalam projek HSR kepada Singapura, ia akan menyebabkan semua ini tergendala. Kedaulatan negara, tidak ada campur tolak, mestilah diberi keutamaan pada setiap masa.

Tun juga pernah menjadi Utusan Khas Perdana Menteri ke China. Adakah misi Tun telah berjaya? Adakah terdapat beberapa perkara yang masih di peringkat rundingan selain dari projek ECRL? Apakah nasihat Tun tentang China? Bagaimana caranya untuk kita mengurus mereka.

Saya masih di peringkat rundingan mengenai projek laluan paip gas semasa kerajaan bertukar tangan. Saya telah menulis kepada Perdana Menteri, mungkin beliau ada calon baru yang boleh meneruskan kerja-kerja saya.

Tambahan pula kerajaan PN telah melantik Duta Khas ke China, duta baru tersebut boleh menasihati kerajaan bagaimana cara terbaik untuk berurusan dengan China.

Pembaharuan

Ada banyak pembaharuan yang telah di buat oleh Pakatan Harapan. Salah satunya ialah dana politik. Adakah Tun setuju bahawa salah satu sebab 1MDB terjadi adalah kerana sistem dana politik yang baik tidak wujud di negara ini? Apakah jenis sistem dana politik yang paling ideal dan praktikal?

Saya rasa punca terjadinya 1MDB adalah sifat tamak, tiada integriti, tidak amanah dan ketiadaan sistem pengurusan yang baik. Mereka yang mempunyai kuasa mesti ada prinsip. Berapa banyak wang 1MDB yang diselewengkan untuk dana pilihan raya, berbanding berapa banyak wang tersebut yang dibelanjakan untuk membeli harta mewah seperti rumah, kapal, barang kemas, lukisan dan sebagainya? Jangan lupa yang jumlah asal wang yang diselewengkan tidak pernah dimasukkan ke akaun parti, jikalah benar ia adalah untuk dana politik. 1MDB sebenarnya adalah tabung untuk kegunaan peribadi dan hanya sedikit saja digunakan untuk aktiviti politik.

Namun begitu, ada juga jumlah wang besar diberi kepada parti BN dan anggota parti. Ini menunjukkan kelemahan undang-undang yang patutnya mengekang perkara seperti ini. Seperti yang anda tahu, Bersih telah mengutarakan cadangan untuk membentuk sistem dana politik. Mereka mencadangkan satu had untuk sumbangan tahunan dan ketelusan identiti bagi mereka yang menyumbang. Orang awam boleh mengetahui berapa banyak yang didermakan kepada dana tersebut. Ada juga yang mencadangkan supaya mengharamkan sumbangan dana politik dari luar negara.

Kerana kita tahu terdapat hubungan rapat antara parti politik dan dunia perniagaan, kita perlu ada sistem dana politik yang lebih telus. Kita mesti cari satu sistem yang sesuai untuk negara ini. Adakah kita sudah menjumpainya? Kita mesti mulakan proses ini.

DEB

Tun pernah bercakap bagaimana Dasar Ekonomi Baru mesti bertukar dari berteraskan kaum kepada berteraskan keperluan. Adakah Tun lihat ia akan berlaku?

Jika kita mahu ini berlaku, kita perlu kestabilan politik yang membolehkan adanya kekuatan politik untuk mewujudkan pelan menyeluruh yang boleh diguna pakai dan boleh dilaksanakan oleh Kerajaan. Walau bagaimanapun, kita tidak dapat melihat ia akan berlaku dalam waktu terdekat kerana tidak ada kerjasama dan konsensus antara parti parti di dalam kerajaan.

Pertanian

Apa visi Tun terhadap sektor pertanian. Ke mana saja Tun pergi, Tun akan bercakap mengenai pertanian dan ada banyak perkara yang sedang dilakukan oleh FELDA untuk menstruktur semula tanah mereka. FGV juga sedang berkecimpung di dalam perkebunan dan penanaman durian dan terdapat juga kolaborasi dengan syarikat komunikasi untuk membawa 5G ke sektor pertanian. Apa sebenarnya pelan tersebut?

Visi saya adalah mahu melihat sektor pertanian di Malaysia membangun dengan lebih baik untuk memberi pendapatan yang adil kepada petani dan nelayan, dan membawa pembangunan menyeluruh ke kawasan luar bandar. Saya banyak kali bercakap mengenai pertanian moden, kerana ini adalah kunci untuk menambahkan pendapatan para petani. Teknik pertanian moden membolehkan kita menggembleng segala sumber yang kita ada, meningkatkan produktiviti dan tidak perlu ramai pekerja asing dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Apabila syarikat besar mula mencebur di dalam bidang pertanian, ini membolehkan Malaysia mencapai self sufficiency. Di negara ini, kita terlampau bergantung kepada barangan import. Apabila kita ada barangan tempatan pula, orang tengah banyak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan dengan menaikkan harga jualan. Hasilnya, pengguna terpaksa membayar pada harga yang sangat tinggi. Kos sara hidup naik tinggi.

Syarikat besar seperi FELDA dan FELCRA mempunyai akses kepada ladang besar dan modal yang banyak, tidak seperti pekebun kecil. Mereka boleh melabur di dalam teknologi pertanian moden yang memerlukan jumlah modal yang besar. Kos permulaan yang tinggi inilah yang menyebabkan pekebun kecil tidak dapat menembusi industri pertanian moden. Mereka masih terperangkap di dalam pertanian cara lama. Apabila teknik moden pertanian makin menjadi kebiasaan di Malaysia, syarikat-syarikat pertanian tempatan dapat meningkatkan produktiviti mereka. Contoh, kita ada syarikat dron tempatan, tetapi kos mereka tidak cukup rendah untuk membantu pekebun kecil. Dalam masa yang sama, makanan haiwan ternakan dan baja untuk sayur sayuran kebanyakannya diimport. Ini menambahkan kos, dan apabila ringgit kita jatuh, barang ini semua jadi mahal.

Saya berharap syarikat-syarikat besar yang telah merancang untuk melabur di dalam sektor pertanian meneruskan niat mereka kerana penduduk Malaysia memerlukan makanan. Negara kita ketinggalan jauh dari segi ‘self sufficiency’ di dalam sektor pertanian. Sejak PKP bermula, kita dapat melihat kelemahan yang ketara di dalam rantaian bekalan. Pihak berkuasa mesti cekap dan mempunyai pemahaman cukup untuk mewujudkan sektor pertanian yang moden dan berteknologi tinggi. Mereka mesti menggalakkan pelaburan di dalam sektor ini, meningkatkan latihan kepada graduan yang berminat dan memberi sokongan secukupnya kepada petani baru.

Apakah sasaran kita untuk sektor pertanian? Adakah mengurangkan kos import makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak sawit? Tun rasa apa yang Tun lakukan selama ini akan diteruskan?

Bila saya bercakap tentang sektor pertanian, objektif utama saya adalah meningkatkan produktiviti, meningkatan pendapatan petani, dan pengurangan kos import makanan. Ini semua boleh mengurangkan kos barang makanan dan menguatkan ringgit. Daripada kita mengurangkan sektor sawit, kita patut mempelbagaikan industri pertanian kita untuk meningkatkan pembuatan makanan dan mengurangkan tanaman sejenis. Menanam hanya satu jenis tanaman amat berisiko kepada petani dan boleh merosakkan alam sekitar.

Sama ada apa yang saya cuba buat akan diteruskan atau tidak, sebenarnya kita tidak ada pilihan lain kecuali perlu juga meneruskannya. Kita terlalu bergantung kepada import. Ini tidak boleh diteruskan. Memberi subsidi kepada petani dan nelayan untuk selama-lamanya juga tidak memberi kesan yang baik untuk jangka masa panjang. Apa yang diperlukan sekarang ialah pelaburan sasar untuk menaiktaraf kehidupan para petani dan nelayan ini dengan memberikan mereka pendapatan berterusan untuk jangka masa yang panjang, berdasarkan usaha yang mereka lakukan. Melabur di dalam pertanian moden bermakna melabur untuk masa depan.

Pada masa PKP ini kita mula mendengar terma ‘essential worker’. Apakah yang lagi penting kepada masyarakat kita selain keupayaan kita sendiri untuk memastikan ada bekalan makanan? Kita dengar banyak cerita di mana orang ramai menjadi pekebun sewaktu PKP berjalan. Mereka bercucuk tanam, dan bertani kecil kecilan. Saya memuji ini semua dan berharap kita dapat mewujudkan lebih banyak pekebun kecil selepas PKP berakhir. Tentu kita sedar bahawa banyak tenaga dan masa digunakan untuk menjadi pengeluar makanan. Adakah adil pekerja di bidang perladangan dan kebun merupakan mereka yang paling sedikit dibayar gaji? Sudah tentu tidak. Masalah ini mesti diselesaikan segera.

Kita sudah sampai peringkat terdesak untuk mencapai matlamat ‘self sufficiency’ di Malaysia. Selepas PKP ditamatkan kelak, kita akan menghadapi proses pemulihan ekonomi. Salah satu kesan dari krisis Covid-19 ini ialah jurang pendapatan yang makin membesar. Kumpulan B40, terutama yang terdiri dari para petani dan nelayan telah terjejas dengan teruk. Kerajaan dan pihak swasta mesti memainkan peranan untuk menangani krisis ini dan mereka kena pastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai makanan di atas meja. Dalam erti kata lain, bukan sahaja setiap rakyat Malaysia mempunyai pendapatan tetap, tapi tidak ada lagi risiko kekurangan bekalan makanan di negara ini. Kita patut mulakan ini semalam. Jika tidak, hari ini.

Lihat Komen
ADS