Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Balak dan PAS tak boleh dipisahkan - Raja Bahrin
Diterbitkan:  May 28, 2020 4:08 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Pengerusi Biro Alam Sekitar Amanah Raja Bahrin Shah hari ini menyindir PAS dalam isu pembalakan di Kedah.

Katanya, belum pun dua minggu mentadbir Kedah, isu pembalakan kembali bergema.

“Nampaknya balak dan PAS tidak boleh dipisahkan dan isu balak kerajaan PAS 2008-2013 telah kembali dihidupkan semula,” katanya menyindir parti lamanya itu.

Isu hampir sama pernah menjadi isu di Kelantan sebelum ini.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor semalam berkata laporan berkaitan pembukaan semula konsesi balak Kedah masih berstatus cadangan.

Sanusi Md Nor 

Katanya, ia untuk menyelesaikan masalah berbangkit setelah kelulusan konsesi dibatalkan kerajaan negeri sebelum ini, sedangkan syarikat terbabit telah membayar premium.

Sanusi berkata jumlah tuntutan ganti rugi yang dikemukakan syarikat yang dibatalkan kelulusan itu mencecah RM1.5 bilion.

Bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir bagaimanapun mendakwa jumlah tuntutan itu sebagai “pembohongan”.

Katanya, tiada mana-mana pihak menuntut pampasan daripada kerajaan Kedah sehingga mencecah RM1.0 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, Raja Bahrin turut menggesa Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man campur tangan dalam isu yang “berpotensi menjadi masalah nasional” itu.

“Kedah merupakan pengeluar padi terbesar Malaysia dan Pulau Pinang pula adalah pengeluar industri elektronik utama negara.

“Masalah alam sekitar hutan Kedah akan menjadi masalah utama nasional jika masalah ini berterusan,” katanya.

Tuan Ibrahim Tuan Man 

Raja Bahrin juga mengingatkan supaya Menteri Besar anusi Md Nor tidak mudah “dipujuk dan ditundukkan tauke balak”.

“Janganlah pula menteri besar PAS mudah dipujuk serta ditundukan oleh tauke-tauke balak yang kaya yang akan menjejaskan hidup petani serta pekebun miskin di kampung dan desa di Kedah dan Kelantan.

“Merekalah yang lebih perlu pembelaan dan bukan peniaga besar tauke balak,” katanya.

Lihat Komen
ADS