Malaysiakini
BERITA

Meskipun PH ada nombor, hubungan tegang Dr M - Anwar jadi penghalang

Hariz Mohd & Annabelle Lee

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Mei 2020, 6:06 pagi

ANALISIS | Pada tahun 2018, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim mengenepikan perbezaan mereka untuk menumbangkan kerajaan BN, namun hubungan kedua-duanya kembali tegang dengan isu peralihan kuasa.

Malah ketika berada dalam pembangkang kini pun, hubungan tegang semakin meningkat antara kedua-dua kem ketika cakap-cakap mengenai pertukaran kerajaan semakin kedengaran.

Pemimpin terkemuka dalam kalangan mereka yang rapat dengan Mahathir dan Anwar berkata kepada Malaysiakini, kedua-dua tokoh itu yakin Perikatan Nasional (PN) tidak lagi mempunyai majoriti untuk menjadi kerajaan dan oleh itu saling bersaing untuk membentuk gabungan baru.

Namun, sekiranya "Pakatan Harapan ++" membentuk gabungan baru, persoalan utama daripada hubungan dingin Mahathir dan Anwar tetap sama - siapa yang akan menjadi perdana menteri?

Anwar adalah pemimpin gabungan Pakatan Harapan (PH) secara rasmi.

Namun, menurut sumber, Anwar hanya mendapat sokongan padu sebagai perdana menteri daripada partinya sendiri, PKR.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad misalnya secara terbuka berkata PH telah mengenal pasti calon perdana menteri jika gabungan itu kembali menerajui kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Khalid tidak mendedahkan nama calon berkenaan, yang secara tersirat menjelaskan Anwar bukan pilihan PH.

Menurut sumber terdekat PKR yang rapat dengan lingkaran kepemimpinan tertinggi, perkara itu tidak diterima dengan baik oleh Anwar.

"Dia (Anwar) sangat sabar sebelum ini. Tetapi sekarang, dia percaya kini adalah gilirannya untuk memimpin reformasi yang diusahakan PH," kata sumber itu, merujuk kepada perjanjian PH sebelum PRU14 bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri sebelum peralihan kuasa diberikan kepada Anwar.

Menurut sumber, Khalid memberi maklum balas sedemikian susulan pertemuan Anwar dan Muhyiddin, di mana Muhyiddin meminta presiden PKR itu bergabung dalam Perikatan Nasional sebagai kerajaan.

Pada 29 Mei lalu, Anwar mengesahkan beliau ditawarkan jawatan PM atau TPM jika menyertai kumpulan yang mengkhianati parti itu, namun menolaknya.

Akhirnya dua-dua rugi

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan siapa yang membuat tawaran tersebut.

"Apa yang dia (Khalid) lakukan dalam sidang medianya itu perlu difahami sebagai apa yang kita sebut sebagai 'insurans' [...] untuk memberi isyarat kepada Anwar agar tidak membuat perjanjian dengan Muhyiddin," kata sumber.

Walaupun Anwar mengakui menolak tawaran tersebut namun difahamkan kepimpinan PN kini sedang mengorak langkah membuat tawaran baru, seperti gabungan yang melibatkan anggota parlimen dari pelbagai parti tetapi bukan mereka yang mempunyai masalah.

Sumber Amanah dan DAP memberitahu Malaysiakini, sebilangan ahli parlimen mereka kini lebih cenderung kepada Mahathir berbanding Anwar.

Ini kerana "Langkah Sheraton" sebelum ini dikatakan telah menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.

"Dia asyik cakap dia ada nombor (majoriti). Kemudian dia sokong Mahathir. Dan akhirnya, kedua-duanya rugi," kata sumber DAP.

Tokoh DAP lain pula memberitahu Malaysiakini bahawa sekiranya Anwar dan penyokongnya enggan membentuk kerajaan hanya kerana Mahathir adalah calon perdana menteri maka "Pakatan Harapan ++" akan kekal sebagai pembangkang.

"Menolak untuk membentuk kerajaan hanya kerana Mahathir sama dengan mengabsahkan pentadbiran Muhyiddin. Anwar akan melakukan politik bunuh diri jika menganggap Mahathir sebagai musuh yang lebih besar daripada Muhyiddin dan Azmin Ali," kata sumber itu.

Sekalipun Anwar bersetuju Mahathir kembali memimpin negara, ramai ahli parlimen PKR tidak bersetuju, termasuk penyokong setianya Abdullah Sani yang menolak idea tersebut.

"Mahathir ada majoriti? Dari mana dia dapat angka tu? Dia hanya ada lima (sokongan) dan mungkin jika digabungkan dengan Warisan, dia akan dapat 14. Jadi jika dia tak mahu bergabung dengan kami, dia hanya ada itu saja," katanya.

Tambah Abdullah Sani beliau percaya Anwar mempunyai majoriti sekarang walaupun beliau tidak menyatakan berapa banyak sokongan diperolehi Anwar.

Sementara di pihak Mahathir, penyokong bekas perdana menteri itu percaya beliau akan mendapat sokongan antara "129 dan 137 anggota Parlimen" dari pelbagai pihak termasuk yang kini berada dalam PN.

"Usaha mendapatkan sokongan GPS (Gabungan Parti Sarawak) sedang diusahakan. 

"Tetapi GPS telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka hanya akan menyokong kerajaan semasa, jadi setelah kami mendapat majoriti, kami yakin mereka juga akan bersama," kata sumber berkenaan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.