Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu Indera Mahkota kecam penyingkiran enam pemimpin parti
Diterbitkan:  Jun 1, 2020 6:29 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Pemimpin akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Indera Mahkota tampil menolak penyingkiran enam pemimpin kanan mereka, baru-baru ini.

Pemangku ketua bahagiannya, Abdullah Bohari Mansor berkata, pihaknya juga menyatakan sokongan dan mempertahankan kedudukan Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi Bersatu.

"Saya selaku pemangku ketua bahagian Bersatu Indera Mahkota bersama seluruh pimpinan dan ahli mengutuk sekeras-kerasnya tindakan memecat dan menyingkirkan keahlian lima pemimpin tertinggi Bersatu.

"Kami juga mengiktiraf jawatan Setiausaha Agung Bersatu yang disandang oleh Senator Marzuki Yahya sebagai sah mengikut perlembagaan parti.

"Pemecatan dan penyingkiran Dr Mahathir berempat lagi pemimpin itu tidak sah, berniat jahat dan tidak mengikut perlembagaan parti," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, keahlian Dr Mahathir, Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; serta anggota Majlis Tertinggi Bersatu Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah digugurkan kerana duduk di barisan pembangkan pada sidang parlimen 18 Mei lalu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh setiausaha kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Bagaimanapun kesemua mereka menolak pemecatan itu sekali gus menimbulkan polemik dalam kalangan parti itu.

Marzuki pula sebelum ini dipecat daripada jawatan setiausaha agung Bersatu oleh presidennya, Muhyiddin Yassin pada 20 Mac lalu dan diganti dengan Zainuddin Hamzah, namun tindakan itu turut dipertikai termasuk oleh Mahathir sendiri.

Sementara itu Abdullah menggesa agar jawatan Muhammad Suhaimi bukan hanya dipecat tetapi turut digugurkan daripada keahlian Bersatu.

"Kami percaya ada tangan-tangan ghaib yang mengarahkan beliau (Muhammad Suhaimi) berbuat demikian.

"Kami menuntut supaya Bersatu kembali kepada matlamat dan perjuangan asal parti dan tidak bersekongkol dengan mereka yang sebelum ini kita tentang sebagai kleptokrat," tegasnya.

Lihat Komen
ADS