Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penganalisis: Strategi beri jawatan tak jamin kedudukan Muhyiddin

Dakwaan wujudnya penawaran jawatan tertentu untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan anggota parlimen bagi membentuk kerajaan dilihat tidak mampu memberi jaminan jangka panjang terhadap kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Malah kata penganalisis, pendedahan satu rakaman audio mirip suara presiden Bersatu itu seolah-olah mengesahkan wujudnya strategi tawar jawatan kepada ahli parlimen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk memperolehi kuasa.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, selepas terbentuknya kerajaan PN, dianggarkan sekitar 80 peratus ahli parlimen diberikan tanggungjawab dalam kerajaan sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, pengerusi syarikat berkait kerajaan (GLC) ataupun pengerusi agensi.

Jelasnya, strategi itu bakal melahirkan kecenderungan wujudnya politik ugut-mengugut.

"Strategi ini mungkin akan gagal, kerana menawarkan jawatan akan melahirkan kecenderungan seseorang ahli parlimen memeras ugut perdana menteri dan lebih banyak aktiviti tawar-menawar akan berlaku.

"Ia akan menyebabkan lebih banyak tawar-menawar akan berlaku untuk mendapatkan imbuhan yangg lebih lumayan.

"Dalam aspek politik, strategi ini akan wujudkan persaingan antara parti-parti dalam PN bagi meraih kedudukan yang lebih kukuh," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, halaman (page) Facebook yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendedahkan satu lagi rakaman audio yang didakwa dirakam pada mesyuarat majlis tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang suaranya mirip Muhyiddin didengar mengatakan bahawa ahli parlimen Umno akan bergabung dengan Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sejak berkuasa, kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin telah melantik lebih daripada tiga belas anggota parlimen dari parti komponen gabungan itu sebagai pengerusi GLC, agensi kerajaan dan jawatan diplomatik yang baru dibuat.

Anggota majlis tertinggi Bersatu Akramsyah Sanusi sebelum ini berkata Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Februari telah menolak idea untuk "membeli" Ahli Parlimen Umno dengan janji politik.

"Kami tidak pernah menyetujui rancangan untuk membeli kesetiaan ahli parlimen dengan kedudukan GLC kerana ini bertentangan dengan nilai-nilai pemerintahan yang baik yang kami kempen semasa pilihan raya umum ke-14 bersama Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Tak dapat jawatan akan berpaling tadah

Sementara itu, Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana UTM berkata, mana-mana individu dalam kalangan ahli parlimen yang masih belum menerima jawatan mungkin akan kecewa dan berpaling tadah.

"Muhyiddin juga pasti akan berdepan dengan kesukaran untuk mengawal ahli-ahli parlimen PN yang tidak ditawarkan jawatan kerana mempunyai kes di mahkamah.

"Selain itu, pemberian jawatan-jawatan ini juga memberi imej yang kurang baik kepada kepimpinan Muhyiddin di mata rakyat dan masyarakat sivil," katanya.

Sementara itu bagi Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Rusdi Omar, strategi dan amalan yang diambil oleh kerajaan PN dilihat kurang memberi kesan yang kukuh untuk jangka masa panjang.

"Saya kurang bersetuju dengan strategi politik seperti itu, ia kurang berkesan untuk Muhyiddin dalam jangka masa panjang. Dalam jangka masa pendek beliau boleh survive (bertahan) dengan berikan jawatan-jawatan kepada ahli parlimen tetapi ia tidak akan kekal.

"Muhyiddin perlu membentuk kabinet yang benar-benar mantap sekiranya mahu bertahan lama sebagai perdana menteri, strategi dengan memberi jawatan tertentu tidak memberi jaminan mereka itu akan terus bersama beliau," katanya yang juga dekan di Ghazali Shafie Graduate School of Government UUM.

Tambah Rusdi, pendekatan yang dibuat oleh Muhyiddin itu memberi gambaran kelemahan kerajaan PN kepada pembangkang.

"Keadaan itu mungkin wujudkan ketidakstabilan kerajaan, cara memberi jawatan seperti itu menunjukkan kepada pembangkang bahawa kedudukan beliau lemah.

"Bagaimanapun saya berpendapat, beliau terpaksa mengambil langkah itu dan secara tidak langsung memperlihatkan beliau sukar untuk mengawal pemimpin-pemimpin politik dalam kerajaan," ujarnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS