Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahrudin sah letak jawatan timbalan menteri kerja raya
Diterbitkan:  Jun 4, 2020 4:21 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Kerajaan Perikatan Nasional yang rapuh menerima satu tamparan hari ini berikutan peletakan jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya Shahruddin Salleh.

Sebelum ini, spekulasi pengunduran dirinya tersebar susulan kenyataan media bertarikh hari ini yang memetik Ahli Parlimen Sri Gading itu sebagai berkata beliau telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional PN.

“Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14.

“Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh YAB Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, peletakan jawatannya yang dibuat ketika pergolakan kuasa dalam Bersatu di antara presidennya Muhyiddin dan pengerusi yang jawatannya dipertikaikan Dr Mahathir Mohamad, berkuatkuasa serta merta.

Walaupun kenyataan itu tidak dapat disahkan, Shahruddin mengesahkan pengunduran dirinya dalam pesanan ringkas kepada Berita Harian.

"Ya, betul saya meletakkan jawatan," katanya ringkas menerusi WhatsApp yang mengesahkan perkara itu.

Sebelum itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesahkan pengunduran itu.

"Shahruddin Md Salleh lepas jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya. Majoriti tinggal 1,” ciapnya di laman Twitter.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu yang jawatannya turut dipertikaikan, Dr Marzuki Yahya mengesahkan bahawa Shahruddin telah meletak jawatan.

"Ya, betul Datuk Shahruddin letak jawatan," katanya menerusi mesej ringkas.

Pada Isnin lalu, Shahruddin berkata, beliau berharap Muhyiddin dan Mahathir akan merapatkan jurang dengan tidak membiarkan perbalahan mereka melemahkan Bersatu.

Berdasarkan tempat duduk sidang Parlimen terakhir pada 18 Mei, PN hanya memiliki majoriti dua kerusi sementara Pakatan Harapan memberi bayangan bahawa ia memiliki sejumlah kerusi yang mencukupi untuk merampas kembali Putrajaya.

PN menerajui Putrajaya susulan rampasan kuasa pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Harapan, yang menyaksikan kerajaan persekutuan PH yang memerintah selama 22 bulan itu tumbang.

Berikutan krisis politik selama seminggu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan setelah membentuk pakatan PN dengan Umno, BN, PAS dan GPS.

Lihat Komen
ADS