Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee: Sukar kemuka pembelaan Najib jadi mangsa penipuan

KES SRC NAJIB | Pasukan pembelaan mendapati sukar untuk mengemukakan pembelaan bahawa Najib Razak merupakan mangsa penipuan, menurut peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau yang merupakan ketua pasukan pembelaan berkata ini kerana kedudukan Najib sebagai individu yang pernah memegang kuasa.

"Orang yang berkuasa besar ini dahulunya perdana menteri, dan saya katakan oleh kerana kedudukannya itu, ada banyak prejudis yang boleh ditimbulkan terhadapnya.

"Seperti yang dikatakan (pihak pendakwaan), bagaimana seorang yang memiliki pengetahuan seumpama itu (dengan kedudukan) kewangan dan kuasa, tidak sedar berkenaan wang yang masuk ke akaunnya?

"Walaupun ia agak menarik, saya perlu katakan bahawa kebenarannya ialah dalam pembelaan kami, sangat rumit (complicated) untuk kami memberikan pembelaan sebaik mungkin.

"Ini kerana pembelaan kami, yang menyatakan kebenaran, adalah Najib sendiri menjadi mangsa penipuan dan siri muslihat (misrepresentation) oleh orang seperti Jho Low dan Nik Faisal, dan sejumlah ahli perbankan jahat (rogue) seperti Joanna Yu dan ahli pentadbiran kanan SRC yang lain," katanya ketika penghujahan lisan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kata Shafee lagi, hakikat bahawa Najib dikelilingi oleh orang yang menipunya membuatkan senang untuk mahkamah dan orang awam merasakan keadaan dan persekitaran bekas perdana menteri itu menyebabkan pembelaan untuknya tidak boleh dibuat seperti pembelaan bagi orang biasa.

Antara hujah utama pembelaan adalah Najib tidak tahu berkenaan RM42 juta yang didakwa daripada SRC dimasukkan ke akaunnya dan merasakan ia adalah "derma".

Bagaimanapun, Shafee berkata beberapa faktor perlu dilihat dalam kes tersebut, antaranya Najib didakwa hanya menerima wang tersebut kira-kira tiga tahun setelah SRC International menerima pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Beliau mempersoalkan sama ada ia selari dengan patologi biasa dalam perlakuan rasuah.

"Bukankah orang yang paling berkuasa, jika benar dia seorang yang korup, akan berkata 'Saya beri anda RM4 bilion, anda perlu beri saya RM42 juta dahulu atau sehari atau dua hari sebelum urusan ini dilakukan?" katanya.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS