Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelawaan MB untuk kerjasama tidak jujur - PH Johor
Diterbitkan:  Jun 4, 2020 6:55 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

PH Johor menyifatkan pelawaan menteri besar Hasni Mohamad terhadap semua pemimpin politik di negeri itu unutk bersama-sama membangunkan Johor sebagai "tidak jujur".

Kepimpinan PH Johor mendakwa ini kerana selama ini Hasni sendiri tidak membalas keinginan mereka untuk membincangkan hal-hal berkaitan negeri sebelum ini.

"Seandainya Hasni benar-benar serius mahu bekerjasama dengan pembangkang untuk mentadbir negeri, beliau sekurang-kurangnya patut membalas mesej-mesej Ketua Pembangkang DUN Aminolhuda Hassan yang telah beberapa kali cuba berbincang hal ehwal kepentingan awam," kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan (Amanah), Syed Ibrahim Syed Noh (PKR) dan Liew Chin Tong (DAP).

Mereka juga berkata Hasni juga tidak mengendahkan kenyataan rasmi PH untuk berbincang tentang isu-isu negeri itu, sebelum ini.

"Justeru, apabila Hasni tiba-tiba menghulurkan tangan mengajak semua berhenti berbalah dan bekerjasama membangunkan negeri, kami kira ia tidak jujur kerana beliau sendiri enggan menerima salam perbincangan sejak hari pertama menjadi menteri besar," kata mereka lagi.

Semalam, Hasni menyeru agar perbalahan dihentikan dan berkata beliau sentiasa terbuka kepada semua pihak untuk memberi pandangan bagi memulihkan ekonomi negeri.

Ia susulan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi amaran baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Berkenaan titah tersebut, PH Johor semalam berkata mereka menjunjungnya dan berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dalam menghadapi situasi politik semasa.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa ada Adun Bersatu yang ingin meninggalkan Perikatan Nasional (PN), seterusnya menjadikan PH Johor cukup sokongan untuk merampas semula pentadbiran negeri.

Pentadbiran PN Johor hanya mempunyai 29 kerusi DUN, berbanding 27 dari PH. Pembelotan seorang sahaja Adun PN cukup untuk menyaksikan DUN negeri itu tergantung.

Lihat Komen
ADS