Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan 'penjenayah perang' seperti George W Bush, Tony Blair dan John Howard perlu dibicarakan dan dihukum penjara seumur hidup.

Malangnya kata beliau, tindakan itu tidak dapat dilakukan kerana semua agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terletak di bawah telunjuk mereka.

"Ketika ini, tiada apa yang dapat dilakukan oleh masyarakat dunia terhadap para pemimpin yang suka berperang itu, kecuali rakyat mereka sendiri bertindak terhadap mereka.

Dr Mahathir berkata, kini menjadi tanggungjawab rakyat Amerika, Britain dan Australia untuk menyingkirkan 'penjenayah perang' seperti Bush, Blair dan Howard dari tampuk kuasa.

"Ketika ini hanya rakyat negara-negara berkenaan yang boleh 'membicarakan' penjenayah-penjenayah perang itu.

"Malangnya Bush, Blair dan Howard telahpun dipilih semula untuk mengetuai negara mereka dalam pilihanraya, walaupun mereka tahu ketiga-tiga pemimpin itu berbohong berhubung senjata pemusnah di Iraq," ujar beliau.

Penjenayah perang

Dr Mahathir menegaskan bahawa pemimpin yang memilih peperangan sebagai jalan untuk memulihkan demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan, adalah tidak layak diangkat sebagai pemimpin.

Beliau menegaskan demikian sewaktu sesi-soal jawab di Forum Keamanan Global Perdana di ibunegara hari ini. Seorang peserta forum tersebut bertanyakan di manakah para 'penjenayah perang' hendak dibicarakan apabila semua agensi antarabangsa, termasuk PBB sudah mereka kuasai.

Forum itu dianjurkan oleh Pertubuhan Keamanan Global Perdana yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri itu. Forum hari ini dihadiri lebih 1,000 orang dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Sebelum sesi soal-jawab tersebut, Dr Mahathir telah menyampaikan ucaptamanya. Ucapan beliau diselang seli dengan tayangan imej-imej peperangan Perang Dunia Kedua, ledakan bom atom di Hiroshima serta Nagasaki, penderitaan mangsa perang Vietnam dan rintihan mangsa kekejaman Amerika di Iraq.

Dua ahli panel jemputan hari ini ialah dua orang bekas penolong Setiausaha Agung PBB, Denis Halliday dan Hans Von Sponek.

Menurut Dr Mahathir lagi, mungkin sudah sampai masanya mereka yang mahu menjadi calon Presiden dan Perdana Menteri sesebuah negara berikrar tidak akan melancar perang terhadap negara lain sebelum dibenarkan bertanding jawatan berkenaan.

Pulau Dolar Amerika

Bekas Perdana Menteri itu juga mahu warga dunia bertindak memulaukan Dollar Amerika bagi melemahkan ekonomi negara itu.

Menurutnya, apabila tiada permintaan terhadap Dollar Amerika, negara kuasa dunia itu menjadi bangkrap dan tidak mempunyai wang untuk mengeluarkan senjata.

"Tidak dinafikan jika ekonomi Amerika runtuh, ia akan turut menjejaskan negara kita kerana lebih 30 peratus produk negara ini dieksport ke sana.

"Memang ada harga yang perlu dibayar untuk setiap pengorbanan tetapi jika diberi pilihan, saya tetap memilih untuk melihat ekonomi Amerika runtuh," tambahnya.

Menurut beliau, setiap kali warga dunia menggunakan Dollar Amerika, ia bermakna mereka membantu membiayai negara tersebut mengeluarkan senjata baru.

Dr Mahathir juga menegaskan perlunya usaha dijalankan untuk mengubah tanggapan masyarakat dunia terhadap peperangan.

"Seluruh dunia perlu sedar bahawa peperangan adalah satu jenayah," tegasnya.