Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PM tebuk atap' takut bentang pakej rangsangan ekonomi di parlimen'
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 11:42 PM
Dikemaskini: 5:32 PM

Ketakutan menyelubungi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin apabila mengumumkan pakej rangsangan pemulihan ekonomi tanpa membentang dan membahaskannya di parlimen, kata Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin.

Menggelarkan Muhyiddin sebagai 'PM tebuk atap', Hanipa berkata dalam mana-mana negara demokrasi, kerajaan tidak sepatutnya mengumumkan pakej rangsangan ekonomi melibatkan perbelanjaan negara tanpa kelulusan parlimen.

"PM gomen tebuk atap umum pakej ransangan pemulihan ekonomi sekali lagi.

"Kali ini jumlahnya RM35 bilion. Masuk hari ini dah kali ketiga PM tebuk atap umum pakej ransangan. Tiga kali umum dalam keadaan pakej dua yang pertama pun masih belum pernah dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat, jauh sekali diluluskan.

"Kesian. Ketakutan menyelubungi beliau. Apa pun, dalam sistem demokrasi berparlimen, nak isytihar apa pun isytiharlah tapi kena ingat, mesti kena bagi parlimen lulus," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi merangsang ekonomi susulan wabak Covid-19.


Baca: PM: Pelan jana semula ekonomi perkasakan rakyat, rangsang ekonomi


Pelan jangka pendek bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ itu juga bertujuan melonjakkan perniagaan yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kerajaan mengariskan 40 inisiatif dengan peruntukan RM35 bilion bagi mencapai matlamat tersebut dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung.

Antara lain, Muhyiddin mengumumkan 'Sukuk Prihatin' berjumlah RM500 juta pada suku ketiga tahun ini untuk membiayai perusahaan mikro dan geran penyelidikan bagi penyakit berjangkit.

Pada 27 Feb lalu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion.

Pada waktu itu, beliau telah meletakkan jawatan sebagai sebagai perdana menteri tetapi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri sementara sehingga perdana menteri baru dilantik.

Muhyiddin, yang dilantik menggantikan Mahathir kemudiannya mengumumkan pakej rangsangan RM250 bilion pada 27 Mac, dengan tambahan bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana dalam bentuk pinjaman dan geran percuma pada 6 April.

Beberapa pihak termasuk pembangkang sebelum ini menegaskan pakej rangsangan berkenaan perlu dibahaskan di parlimen terlebih dahulu sebelum dikeluarkan.

Persidangan parlimen pada bulan Mac ditangguhkan pada 18 Mei, tetapi hanya untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong tanpa sesi perbahasan.

Menurut Hanipa, kerajaan bukan sahaja mengumumkan satu, malah tiga pakej rangsangan ekonomi melibatkan wang negara tanpa mendapat restu parlimen.

"Dalam pakej rangsangan terbaru ini, PM gomen tebuk atap kata gomen akan terbitkan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta dengan tema "Daripada rakyat, kepada rakyat" tapi tak pernah pergi Dewan Rakyat!

"Anyway, gomen tanpa mandat rakyat tak malu ke nak cakap "dari rakyat". Cakaplah dari pengkhianat, kan nampak lebih jujur!"

"Apapun, bergembiralah selagi boleh ya," katanya.

Lihat Komen
ADS