Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP: Selamatkan sektor penerbangan, bawa ke kabinet segera

Pengerusi Biro Buruh DAP Kebangsaan, A Sivanesan menggesa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan segera membawa masalah sektor penerbangan ke mesyuarat kabinet.

Beliau memberi amaran sektor penerbangan negara mungkin 'lenyap' pada masa akan datang sekiranya isu kekangan kewangan syarikat penerbangan dan pemberhentian kakitangan tidak diselesaikan secepat mungkin.

"Saya kecewa kerana sehingga hari ini, kerajaan masih tidak mengambil sebarang langkah proaktif untuk menyelamatkan sektor penerbangan yang merupakan antara sektor terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumum sebelum ini pun, tidak ada apa-apa spesifik kepada sektor penerbangan.

"Saya menggesa kerajaan segera membincangkan isu ini di kabinet untuk mendapatkan satu penyelesaian," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas pengumuman oleh dua syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia dan Malindo Air mengenai pemberhentian kakitangan syarikat terbabit baru-baru ini.

Pada 29 Mei, Malindo menerusi memo dalamannya menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada lebih kurang 5,000 kakitangannya selepas mendakwa gagal memperolehi sebarang pinjaman atau jaminan daripada kerajaan bagi mengekalkan perniagaan mereka.

Dalam memorandum tersebut Malindo Air turut memberitahu kemerosotan perniagaan, kedudukan kewangan yang menurun secara drastik selama lima bulan terakhir dan tidak ada arah aliran yang menunjukkan kenaikan dalam jangka masa enam hingga 12 bulan antara sebab utama VSS ditawarkan.

Tambahnya, pengurangan perkhidmatan pesawat kepada 50 peratus iaitu 12 jet dan 13 pesawat ATR menjadikan jumlah tenaga kerja pada ketika ini berlebihan.

Sementara itu lebih 300 pekerja AirAsia Bhd bakal dihentikan perkhidmatan mereka oleh syarikat penerbangan tambang murah itu dalam usaha pengecilan operasi susulan daripada situasi sukar akibat wabak Covid-19.

Dilaporkan, selain tidak mempunyai pelbagai pilihan dalam memastikan AirAsia terus beroperasi seperti sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Riad Asmat berkata penstrukturan semula organisasi dilihat sebagai alternatif yang boleh diambil buat masa ini kerana situasi yang dihadapi kini adalah amat sukar.

Sementara itu, The Edge Markets pada 12 Mac melaporkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) meminta 13,000 kakitangannya mengambil cuti tidak bergaji susulan penularan Covid-19 yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan itu, bermula bulan April.

"MAS sebelum pandemik Covid-19 sudah berada dalam situasi kewangan yang lemah. Kerajaan PH ketika itu sedang berusaha mencari dana untuk memulihkan syarikat itu.

"Malindo merupakan pemain kecil berbanding MAS dan AirAsia, sekiranya AirAsia meneruskan pemberhentian pekerja, maka ia juga secara tidak langsung menjejaskan dua syarikat penerbangan yang lain.

"Tapi, sehingga hari ini kita tidak sebarang usaha dari Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia untuk mencari satu penyelesaian," kata Sivanesan.

Adun Sungkai itu berkata sepatutnya, Saravanan selaku menteri sumber manusia perlu mengadakan mesyuarat Majlis Penasihat Pekerja Kebangsaan (NLAC) yang merangkumi pihak kerajaan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

"Apa yang saya nampak, segala tindakan daripada syarikat-syarikat penerbangan ini berdasarkan undang-undang sedia ada. Nampaknya, mereka tiada pilihan, selain menghentikan pekerja selepas tiada bantuan ataupun jaminan daripada kerajaan.

"Hampir 40,000 pekerja dalam tiga syarikat penerbangan ini. Lebih 60 peratus daripadanya adalah pekerja yang mempunyai latihan kemahiran. Kini, mata pencarian mereka sudah terjejas teruk.

"Janganlah, sampai mereka ini berhijrah ke negara lain seperti yang berlaku 10 tahun yang lalu, apabila sekumpulan besar juruterbang dari MAS bertindak ke Gulf Air kerana gaji yang tinggi,"katanya.

Tambahnya, MAS, AirAsia dan Malindo merupakan lambang kebanggaan negara, dan ia tidak boleh 'lenyap' begitu sahaja dengan tindakan lewat oleh kerajaan.

Lihat Komen
ADS